Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenderaan diesel akan perlu patuhi peraturan tiga suku tangki di kastam

Kenderaan diesel berdaftar di Singapura akan perlu mematuhi peraturan tiga-suku tangki apabila memasuki Malaysia. Ini susulan pindaan Akta Kastam yang diluluskan di Parlimen pada Isnin (9 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Kenderaan diesel akan perlu patuhi peraturan tiga suku tangki di kastam

Gambar fail (Gambar: Malay Mail Online)

Diterbitkan : 10 Jul 2018 12:04PM Dikemas Kini : 10 Jul 2018 12:07PM

SINGAPURA: Kenderaan diesel berdaftar di Singapura akan perlu mematuhi peraturan tiga-suku tangki apabila memasuki Malaysia. Ini susulan pindaan Akta Kastam yang diluluskan di Parlimen pada Isnin (9 Jul).


Undang-undang yang diperkenalkan pada 1991 itu bertujuan mencegah pemandu daripada mengelak membayar cukai minyak dengan memanfaatkan perbezaan harga petrol antara Malaysia dengan Singapura. Kali terakhir ia dipinda adalah 2012 untuk merangkumi kenderaan gas asli mampat (CNG).

Dengan pindaan terbaru itu, undang-undang tersebut juga akan merangkumi kenderaan lebih besar seperti bas pelancongan dan lori yang mungkin tidak boleh membuat pusingan-U kembali ke Singapura untuk mengisi tangki minyak.

Menteri Kedua Kewangan Lawrence Wong berkata atas dasar praktikal, kenderaan dibenarkan untuk membayar denda dan tidak perlu membuat pusingan-U kembali ke Singapura "kerana keterbatasan infrastruktur" di pusat-pusat pemeriksaan darat Singapura.

Klausa juga diperuntukkan untuk memberi pegawai Kastam Singapura "budi bicara" untuk membenarkan kenderaan tanpa jumlah minimum minyak untuk meninggalkan Singapura selepas dikenakan denda, tambah beliau.

Meskipun demikian, demi "memastikan kesaksamaan" dengan pemandu yang diarahkan membuat pusingan-U, Encik Wong berkata Kastam Singapura sedang mempertimbangkan mengenakan kenderaan berkuasa diesel "penalti lebih tinggi".

Sebelum pindaan terbaru itu, peraturan tiga suku tangki dikenakan terhadap kenderaan menggunakan petrol dan CNG. Undang-undang menyatakan pemandu "perlu pusing balik" untuk mengisi tangki minyak sehingga sekurang-kurangnya tiga-suku penuh sebelum dibenarkan meninggalkan Singapura.

Jika didapati kurang daripada paras itu, pemandu boleh dibawa di mahkamah dan didenda sehingga S$500.

Sebagai menjawab pertanyaan media, Kastam Singapura memberitahu Mediacorp bahawa perincian penguatkuasaan pemindaan Akta itu akan diumumkan di masa akan datang.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan