Skip to main content

Singapura

Kenderaan bawa jenazah Aloysius Pang tiba di Krematorium Mandai

Kereta yang membawa jenazah pelakon Aloysius Pang tiba di Krematorium Mandai dari tempat upacara peringatan di Macpherson pada sekitar jam 5.00 petang pada Ahad (27 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jan 2019 07:16PM Dikemas Kini : 27 Jan 2019 09:38PM

SINGAPURA: Kereta yang membawa jenazah pelakon Aloysius Pang tiba di Krematorium Mandai dari tempat upacara peringatan di Macpherson pada sekitar jam 5.00 petang pada Ahad (27 Jan).

Mendiang yang meninggal dunia pada Rabu setelah mengalami kecederaan akibat satu kemalangan semasa latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di New Zealand, akan diberikan upacara persemadian istiadat tentera.

Pada awal Ahad (27 Jan), para selebriti dan orang awam datang bertali arus untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di upacara peringatan yang dibuka kepada awam pada Sabtu (25 Jan), mulai 12.00 tengah hari.

Perasaan sayu menyelubungi para pelakon seperti Rayson Tan, Chen Shucheng, Ian Fang, Aileen Tan dan Hong Huifang yang datang menziarah. Anggota kumpulan muzik pop The Sam Willows turut hadir bagi memperingati mendiang dan memberikan penghormatan terakhir.

Sebelum itu, Anggota Parlimen Alex Yam datang untuk menyampaikan ucap takziah kepada keluarga mendiang.

Sehingga tengah hari tadi, orang awam masih lagi tiba meskipun upacara persemadian mendiang semakin hampir.

Upacara memperingati mendiang pada Ahad bermula pada sekitar jam 1.30 tengah hari, dengan rakan-rakan serta ahli keluarga mendiang Pang menyampaikan eulogi.

Menyifatkan mendiang sebagai "lelaki baik", pelakon Kym Ng mengenang bagaimana Pang akan bermain ping pong bersamanya dan meluangkan masa berbual dengannya di acara-acara keramaian.

"Beliau seorang yang amat ikhlas, tidak mempunyai sebarang agenda... Beliau bersikap wajar, selalu memikirkan tentang orang lain dan berdedikasi terhadap rakan-rakan dan kerjayanya."

Pelakon Hong Huifang pula menyifatkan mendiang Pang sebagai "anak yang diidamkan setiap ibu bapa".

Para ahli politik seperti Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Sim Ann turut menghadiri upacara peringatan itu.

Sekitar 50 anggota kelab peminat mendiang, "Pangsters", tiba petang tadi. Antara mereka memakai baju kemeja T berwarna oren terang, yang memaparkan wajah mendiang, sambil teresak-esak sedang mereka tiba di tempat upacara peringatan itu.

Di satu sidang media pada Khamis, SAF menyatakan bahawa Pang terhimpit antara bahagian hujung laras dengan bahagian dalam meriam gerak sendiri jenis Howitzer setelah beliau "tidak dapat keluar" apabila laras meriam itu diturunkan.

Sebuah Jawatankuasa Siasatan bebas akan ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF).

MINDEF dan SAF akan terus menghulurkan bantuan dan sokongan kepada keluarga Pang, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan media.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita