Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kencing manis bukan lagi 'penyakit orang tua', golongan muda 'tak kebal'

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Nov 2023 08:16PM Dikemas Kini : 14 Nov 2023 10:37PM
SINGAPURA: Penyakit kencing manis didapati menjejas lebih ramai orang muda dan bukan sahaja golongan lebih tua.

Doktor di Singapura merawat lebih ramai pesakit sedemikian, dengan ada yang semuda 30 tahun.

Terdapat dua sebab utama, iaitu gaya hidup moden, serta meningkatnya kesedaran bagi mendapatkan pemeriksaan awal.

Di klinik Phoenix Medical, sekitar 25 peratus pesakit yang menghidap penyakit kencing manis Jenis 2 berusia antara 30-an hingga 40-an tahun.

Jumlah itu naik 10 peratus sejak beberapa kebelakangan ini.

"Dengan keadaan hidup yang semakin tertekan, ramai pesakit jalani gaya hidup tidak aktif. Mereka bekerja berjam-jam lamanya dan tidak mempunyai masa untuk bersenam," kata Dr Chua Hshan Cher, pengarah perubatan Phoenix Medical Group.

"Selain itu, ialah meningkatnya makanan segera serta yang mudah dimakan. Makanan sebegini banyak mengandungi gula yang diproses dan kadangkala apabila tiada masa, mereka akan mengambil makanan yang paling mudah dicapai."

Di klinik Healthway Medical pula, seorang daripada setiap empat pesakit kencing manis kini berusia bawah 40 tahun.

Antara sebab utama ialah lebih ramai orang mengesan penyakit itu awal lagi selepas menjalani pemeriksaan.

"Jika dulu, kami hanya mengesan penyakit kencing manis apabila melihat gejala-gejalanya. Itu sesuatu yang kami cuba ubah, dengan mengesan penyakit kencing manis pada peringkat lebih awal," kata Dr Teo Cheng Rong, seorang doktor keluarga di Healthway Medical (Limbang).

"Baiknya, doktor dan pesakit mempunyai lebih banyak masa untuk bekerjasama bagi mengurangkan atau kadangkala merawat penyakit ini sebelum kencing manis menimpakan kerosakan selama-lamanya pada tubuh badan," tambahnya.

Menurut klinik One Care Medical yang 20 peratus pesakit kencing manisnya berusia bawah 40 tahun, rawatan yang diberikan kini boleh lebih disasarkan.

Dengan pesakit yang lebih muda dan berpelajaran, lebih mudah untuk mengatasi kencing manis.

"Kami ingin pastikan mereka dapat mengawal kencing manis dengan ketat. Oleh itu, kami akan berikan rawatan yang lebih agresif, dan sudah tentu, ini bagi semua aspek," kata Dr Jimmy Chew, CEO OneCare Medical.

"Perubahan gaya hidup, bermakna bersenam, mengurangkan berat badan, mengawal pengambilan karbohidrat. Dan dari segi ubat, kami sesuaikan dos menurut keberkesanan kawalan kencing manis mereka," tambahnya.

Para doktor bagaimanapun menekankan, mencegah penyakit kencing manis jelas lebih baik berbanding merawatnya.

Dengan inisiatif peringkat nasional seperti label kandungan khasiat, orang ramai diingatkan untuk memantau pengambilan gula dan makanan mereka, selain mengamalkan gaya hidup yang aktif agar kekal sihat.
Sumber : CNA/NY/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan