Kenapa bilangan orang Melayu beli flat HDB 1 & 2 bilik naik dari 3% kepada 8%
Menteri Pembangunan Negara (MND) Desmond Lee menyatakan bilangan orang Melayu yang membeli flat HDB 1 bilik dan 2 bilik naik daripada 3 peratus pada tahun 2010 kepada 8 peratus pada 2020.
(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Menteri Pembangunan Negara (MND) Desmond Lee menyatakan bilangan orang Melayu yang membeli flat HDB 1 bilik dan 2 bilik naik daripada 3 peratus pada tahun 2010 kepada 8 peratus pada 2020.
Ini sebahagiannya kerana golongan bujang dibenarkan membeli flat-flat 2 bilik yang baru sejak tahun 2013. Selain itu, warga emas juga berpindah dari flat lebih besar kepada flat-flat 2 bilik Flexi yang lebih kecil.
Trend yang sama juga dilihat bagi kaum-kaum lain.
Encik Lee menjelaskan demikian dalam jawapan bertulis sebagai menjawab soalan Parlimen AP GRC Sengkang, Raeesah Khan yang mahu tahu sebab-sebab bilangan besar orang Melayu tinggal di flat 3 bilik atau lebih kecil.
Menurut beliau lagi, lebih ramai orang Melayu kini tinggal di flat sewa kerana HDB mewujudkan lebih banyak bekalan flat sewa 1 dan 2 bilik - daripada 45,500 sedekad lalu, kepada 62,000 pada tahun lalu.
Mereka termasuklah pasangan muda yang sedang dalam proses untuk membeli flat sendiri, atau mereka yang tiada pilihan perumahan lain selepas menjual rumah mereka kerana isu keluarga atau kewangan.
RAMAI KELUARGA TINGGAL DI RUMAH SEWA SUDAH ADA RUMAH SENDIRI
Namun demikian Encik Lee berkata beliau berasa terdorong kerana banyak keluarga yang tinggal di flat sewa kini sudah memiliki rumah sendiri.
Sejak lima tahun lalu sekitar 4,600 isi rumah sudah berbuat demikian kata beliau dan 40 peratus adalah keluarga Melayu.
Lima tahun sebelum itu, 2,600 keluarga berbuat demikian. Jadi perangkaan mereka yang tinggal di rumah sewa dan kemudian memiliki rumah sendiri, kini naik 70 peratus.
Lagi 2,000 isi rumah yang tinggal di flat sewa HDB pula sudah memohon flat baru dan 40 peratus daripada mereka adalah Melayu, kata beliau.
Encik Lee turut menekankan bahawa MND dan HDB memiliki pelbagai geran perumahan dan skim keutamaan bagi memastikan perumahan awam kekal terus dimampui bagi semua rakyat Singapura.
Tambahnya, MND dan HDB bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sebagai sebahagian daripada inisiatif Community Link (ComLink), bagi mendampingi keluarga-keluarga yang mempunyai anak-anak yang tinggal di rumah sewa.
Usaha itu bertujuan membantu mereka meraih kestabilan dan mobiliti sosial.
Dapatan Banci Penduduk 2020 yang didedahkan bulan lalu menunjukkan bahawa bilangan isi rumah Melayu yang tinggal di flat-flat 1 dan 2 bilik bertambah.
Daripada 8.7 peratus pada 2010, ia meningkat kepada 16 peratus pada 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.