Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenali sejarah 100 tahun pasar malam di Singapura

Lembaga Warisan Negara (NHB) melancarkan satu pameran bergerak berkaitan sejarah pasar malam.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lembaga Warisan Negara (NHB) melancarkan satu pameran bergerak berkaitan sejarah pasar malam pada Jumaat (22 Jul)

Perniagaan pasar malam adalah antara yang terjejas akibat pandemik COVID-19, namun kini kembali rancak diadakan setelah terpaksa berhenti beroperasi selama lebih dua tahun.

ALAMI SUASANA RIUH PASAR MALAM PADA TAHUN 1920-AN

Pasar malam sangat digemari masyarakat tempatan disebabkan berbagai-bagai jenis makanan dan minuman dijual, serta suasana riuh-rendah yang dapat dirasakan.

Di sebalik pelanggan yang berasak-asak serta gerai-gerai berwarna-warni, pasar malam sebenarnya mempunyai sejarah yang menjangkaui tahun 1920-an dan sudah menjalani pelbagai perubahan menjadi pasar-pasar malam yang dilanggani sekarang.

Perubahan dan sejarah pasar malam itulah yang ingin ditonjolkan di pameran "Lelong lelong! Pasar Malam in Singapore" anjuran NHB.

Para pengunjung pameran tersebut boleh mengenali jenis-jenis pemasangan lampu serta beraneka barangan yang dijual, selain seolah-olah merasakan suasana pasar malam berpuluh-puluh tahun lalu.

Timbalan Pengarah Pendidikan dan Pendampingan Masyarakat NHB Norsaleen Salleh berkata: "Kami memilih topik pasar malam kerana kami ingin menyampaikan pengalaman warisan hidup, membawa suasana unik dan boleh dikaitkan dengan rakyat Singapura."

Pameran tersebut adalah yang ke-14 dianjurkan NHB bagi siri pameran bergerak dipanggil "Heritage on the Move" yang bertujuan membuat warisan lebih mudah diakses kepada masyarakat tempatan.

"Melalui pameran ini, kami berharap dapat berkongsi cerita dan kenangan warga Singapura yang sering melanggani pasar malam dan juga dapat mempamerkan aspek pasar malam yang kurang dikenali."

"Antara fakta yang kurang dikenali seperti bagaimana pasar malam ini berkemungkinan besar muncul daripada tempat perlindungan penjaja yang beroperasi pada waktu malam pada tahun 1920an. Bagaimana pasar malam juga pernah diharamkan pada 1970an dan bagaimana pasar malam terus berkembang sepanjang zaman daripada dulu hingga sekarang, daripada bazar fizikal ke e-bazar," tambah beliau lagi.

Pameran "Lelong lelong! Pasar Malam in Singapore" sedang berlangsung di Perpustakaan Awam Sembawang dan akan singgah ke empat perpustakaan awam lain menjelang Disember ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan