Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenali bahasa dan budaya Melayu menerusi 5 deria jadi tarikan Pesta Bahasa & Seni di Marsiling

Usaha mengajak orang Melayu mencintai dan memelihara bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan lambang jati diri perlu dipertingkatkan lagi. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha mengajak orang Melayu mencintai dan memelihara bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan lambang jati diri perlu dipertingkatkan lagi. 

Ini lebih-lebih lagi memandangkan Bahasa Melayu mempunyai kedudukan istimewa di Singapura iaitu sebagai Bahasa Kebangsaan selain menjadi salah satu bahasa ibunda dan bahasa rasmi di negara ini. 

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad bagaimanapun akur kesedaran memartabatkan bahasa Melayu sudah terlihat dengan pelbagai usaha dijalankan. 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis pelancaran acara Pesta Bahasa & Seni @ Marsiling yang diadakan di Pusat Sivik Woodlands siang tadi (4 Sep). 

''

Ini merupakan kali pertama acara itu diadakan semula secara fizikal setelah dua tahun di ruang maya. 

Lebih istimewa lagi, penganjuran acara kali ini turut disertai sekitar 60 pelajar dan belia bagi menampilkan pelbagai aspek budaya Melayu di bawah satu bumbung. 

PARA PENGUNJUNG BOLEH CUBA BELAJAR MAIN KOMPANG, BUAT BUNGA RAMPAI

Harum semerbak wangian bunga rampai, paluan kompang mengikut irama dan juga kemanisan rasa Kuih Lapis. 

Setiap deria para pengunjung dirangsang di Pesta Bahasa & Seni @ Marsiling kali di pondok-pondok pameran yang menampilkan pelbagai aspek bahasa dan budaya Melayu. 

''

Ini dijayakan oleh sekitar 60 pelajar dan belia daripada enam buah sekolah di daerah Woodlands dan Marsiling. 

Misalnya, murid-murid Sekolah Rendah West View memperkenalkan seni lukisan batik kepada para pengunjung, di mana mereka boleh mencuba sendiri mewarnakan kanvas bercorak batik. 

''

Mengusik deria rasa para pengunjung pula adalah para pelajar dari Sekolah Menengah Marsiling yang memperkenalkan kuih-kuih tradisional Melayu. 

Salah seorang daripada 16 pelajar dari sekolah itu yang sanggup meluangkan hari cutinya bagi melestarikan budaya Melayu adalah pelajar menengah tiga, Muhammad Azri Azmi.

''

Lebih sekadar hanya memberikan kuih-kuih tradisional seperti pulut serunding dan koleh-koleh kepada para pengunjung, Azri berharap para pengunjung dapat membawa pulang pengalaman mempelajari budaya kaum lain. 

"Saya harapkan para pengunjung dapat mempelajari budaya Melayu kerana Singapura merangkumi masyarakat majmuk dan kita harus memahami budaya antara satu sama lain," kata Azri. 

Di acara tersebut, Encik Zaqy turut mengiktiraf peranan para pelajar untuk menjayakan pesta itu. 

"Dengan inisiatif begini kita dapat menggunakan tenaga belia kita untuk menggunakan pengalaman harian mereka seperti penggunaan deria, pendengaran sebagainya untuk menjalankan gerai-gerai dengan menggunakan format seronok seperti kuiz dan teknologi untuk menggalakkan penggunaan bahasa," ujar Encik Zaqy.

''

"Kita di Marsiling amat menghargai golongan belia kita dan acara pada hari ini juga diterajui anak-anak muda kita untuk menggalak minat dan cinta para penduduk kepada bahasa dan budaya Melayu menerusi pelbagai acara menarik dan kreatif," kata beliau.

TARIK PENGUNJUNG BUKAN MELAYU 

Pesta Bahasa & Seni @ Marsiling yang berlangsung hingga 2 petang itu tadi berjaya menarik lebih 300 pengunjung, termasuk mereka yang bukan berbangsa Melayu.

''

Salah seorang pengunjung pesta tersebut, Cik Irene Yap berkata, "Acara ini sangat menggembirakan dan ia membuat saya terkenang zaman kanak-kanak saya dahulu." 

''

"Saya ternampak ada kuih lapis yang disediakan. Meskipun bungkusannya lain, tetapi inilah kuih yang kita ada pada zaman kanak-kanak. Saya juga lihat ada bunga manggar, bunga rampai, semua yang boleh dilihat semasa majlis perkahwinan orang Melayu. Sangat meriah lebih-lebih lagi ada lagu-lagu Melayu," tambah Cik Irene. 

Pasangan adik-beradik Julius dan Jordan Goh juga menjadi antara pengunjung yang menikmati suasana meriah kebudayaan Melayu siang tadi. 

''

"Saya suka budaya Melayu. Saya suka bunga rampai dan suka sekali dapat membuatnya di sini," kata Julius. 

"Saya suka melukis batik, bila sudah siap, nampak cantik!" ujar adiknya, Jordan. 

Bagi Encik Zaqy, acara sebegini juga merupakan satu usaha untuk memastikan bahasa dan budaya Melayu tidak ditelan zaman dan pengaruh bahasa Inggeris yang lebih kuat. 

"Sedang bahasa Inggeris kian menjadi bahasa utama kita, lebih-lebih di kalangan golongan muda kita, adalah perlu bagi kita untuk terus memelihara Bahasa Melayu. Bahasa adalah jiwa bangsa. Dalam bahasa terdapat identiti dan gambaran watak dan jiwa bangsanya."

"Namun dalam arus pembangunan dan realiti kehidupan masyarakat majmuk seperti Singapura, dengan bahasa Inggeris menjadi bahasa kerja dominan, penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu sedikit terhakis, sekali gus rasa cinta terhadap bahasa juga berkurang."

''

Dalam hal tersebut, Encik Zaqy menarik perhatian kepada permintaan khidmat tuisyen Bahasa Melayu yang meningkat sekitar 30 peratus sejak tiga tahun lalu. 

Encik Zaqy berkata: "Adalah perlu mempertingkatkan usaha mengajak orang Melayu kembali mencintai dan memelihara bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan lambang jati diri."

''

Pesta anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Marsiling itu merupakan antara barisan acara yang diadakan bersempena Bulan Bahasa yang akan berlangsung hingga 9 Oktober nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan