AS kenakan sekatan terhadap 2 firma S’pura, pengarah dituduh labur wang haram bantu Korea Utara
Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap dua entiti yang berpangkalan di Singapura, dan terhadap seorang lelaki yang didakwa melaburkan wang haram menerusi sistem kewangan Amerika.

Tan Wee Beng, yang dituduh labur wang haram. (Gambar: FBI)
WASHINGTON: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap dua entiti yang berpangkalan di Singapura, dan terhadap seorang lelaki yang didakwa melaburkan wang haram menerusi sistem kewangan Amerika, untuk mengelak sekatan yang dikenakan terhadap Korea Utara. Demikian menurut kenyataan jabatan tersebut semalam (25 Okt).
Menurut Amerika Syarikat, lelaki yang menjadi sasaran sekatan tersebut, Tan Wee Beng, seorang pengarah dan pemegang saham syarikat perdagangan komoditi Wee Tiong Holdings, merahsiakan maklumat mengenai bayaran-bayaran dan melakukan urus niaga berstruktur bagi memenuhi kontrak dengan Korea Utara yang bernilai jutaan dolar sejak 2011.
Jabatan Perbendaharaan Amerika turut mengenakan sekatan terhadap dua kapal yang terkait dengan sebuah syarikat di bawah Tan selaku pengarah urusan, yang menurut Amerika, turut terlibat dalam kegiatan perniagaan haram dengan Korea Utara.
Menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat sudah mengenakan tuduhan jenayah terhadap Tan. Tan didakwa atas kesalahan menipu bank, melabur wang haram, dan menipu pemerintah Amerika Syarikat, menurut satu notis FBI.
Waran tangkap sudah dikeluarkan terhadap Tan Ogos lalu.
Seorang wakil dari Wee Tiong Holdings bagaimanapun tidak memberi sebarang respons apabila diminta mengulas mengenai perkara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.