Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenaikan tambang perlu bagi tampung kos operasi bas, kereta api: Janil

Pembayar cukai di Singapura membayar subsidi sekitar S$1 bagi setiap perjalanan yang dilakukan dengan menaiki bas dan kereta api, menurut Menteri Negara Kanan bagi Pengangkutan Janil Puthucheary hari ini (9 Okt) dalam wawancara bersama CNA938.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Oct 2019 03:45PM Dikemas Kini : 09 Oct 2019 09:15PM

SINGAPURA: Pembayar cukai di Singapura membayar subsidi sekitar S$1 bagi setiap perjalanan yang dilakukan dengan menaiki bas dan kereta api, menurut Menteri Negara Kanan bagi Pengangkutan Janil Puthucheary hari ini (9 Okt) dalam wawancara bersama CNA938.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) awal tahun ini, 7.54 juta perjalanan dilakukan setiap hari dengan menaiki bas dan kereta api.

Dr Janil membincangkan sebab-sebab di sebalik kenaikan tujuh peratus tambang pengangkutan awam yang diumumkan oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Selasa (8 Okt).

Dengan kenaikan tambang yang berkuatkuasa pada 28 Disember ini tambang pengangkutan akan naik sembilan peratus untuk setiap perjalanan bagi penumpang dewasa yang menggunakan kad tambang.

Meskipun tambang pengangkutan awam dapat menampung kos operasi bas dan kereta api di Singapura sebelum ini, kenaikan kos bermakna para pembayar cukai perlu menampung beban kos subsidi seperti pelaburan infrastruktur, kata Dr Janil.

"Isu utama adalah kos untuk pengendali meningkat secara ketara, sehingga 30 peratus sepanjang beberapa tahun lalu dan harga tambang kami tidak sejajar dengan peningkatan itu," ujar beliau.

JURANG MELUAS ANTARA KOS DENGAN HASIL

Syarikat pengendali kereta api SMRT Trains - yang mengendalikan laluan Utara-Selatan, Timur-Barat dan Circle serta Laluan Thomson-East Coast yang bakal dibuka - melaporkan kerugian bersih S$155 juta bagi tahun kewangan berakhir pada Mac.

Divisyen kereta api SBS Transit yang mengendalikan Laluan Timur Laut dan Downtown - kerugian "puluhan juta dolar" pada tahun kewangan yang lalu, dengan kerugian S$125 juta bagi Laluan Downtown sepanjang tiga tahun lalu.

Kedua-dua syarikat memohon bagi kenaikan tujuh peratus itu sambil memberi sebab kos yang meningkat akibat perbelanjaan yang meningkat dalam bidang-bidang seperti penyenggaraan dan tenaga kerja.

"Kami berpeluang menaikkan tambang jauh lebih banyak (sepanjang beberapa tahun lalu) tetapi kami tidak berbuat demikian, akibatnya jurang antara kos pengendali dan hasilnya (telah melebar)," kata Dr Janil.

Kenaikan tambang membantu mengurangkan jurang, katanya kepada hos program, Arnold Gay dan Yasmin Jonkers.

Dr Janil turut menarik perhatian bahawa keandalan kereta api di Singapura jauh lebih baik sekarang
dan ini dilakukan dalam tempoh masa yang singkat.

Perangkaan LTA menunjukkan rangkaian MRT di Singapura mencatatkan jarak 955,000 kilometer antara penangguhan-penangguhan khidmat melebihi lima minit pada Jun tahun ini.

Ini berbanding hanya 181,000 kilometer dua tahun lalu.

Namun, peningkatan itu melibatkan kos. Dr Janil berkata bahawa kedua-dua pengendali kereta api itu meningkatkan usaha menggajikan bakat-bakat kejuruteraan kereta api bagi mempertingkatkan keupayaan penyenggaraan.

Pakar ekonomi pengangkutan Universiti Nasional Singapura (NUS) Timothy Wong, yang turut serta dalam wawancara itu berkata menyediakan subsidi bagi pengangkutan awam dapat menggalakkan orang ramai untuk menaikinya dan memajukan visi Singapura untuk mengurangkan jumlah kereta di jalan raya.

"Pada masa yang sama, jika kami tidak membenarkan harga meningkat supaya mereka (pengendali pengangkutan) tidak meraih hasil, tidak kira kecekapan kos, mereka tidak akan mendapat keuntungan," kata beliau.

Dr Wong menambah ia akan menjadi "keprihatinan besar'" jika para pengendali pengangkutan tidak mampu meraih keuntungan kerana ini akan mencegah syarikat-syarikat luar negara daripada menyertai industri kereta api Singapura sekaligus membangunkan sekitaran kurang berdaya saing.

Meskipun terdapat tanggapan bahawa pengendali pengangkutan awam tidak harus menumpukan kepada keuntungan, "dinamik daya saing" tersebut membantu mengurangkan kos, kata Dr Janil, sambil menambah tambang pengangkutan awam di Singapura adalah antara terendah di dunia.

Satu kajian terhadap 12 bandar utama oleh Universiti Teknologi Nanyang tahun lalu meletakkan Singapura pada kedudukan kedua dari segi kemampuan tambang pengangkutan awam, di belakang San Francisco.

Dr Janil berkata kenaikan tambang sepanjang dua tahun lalu membolehkan harga konsesi ditawarkan kepada lebih ramai orang.

Ini membolehkan pelajar politeknik - yang sebelum ini perlu membayar tambang dewasa - untuk menikmati harga konsesi pelajar dengan harga tambang dihadkan pada S$0.63 setiap perjalanan, sama seperti para pelajar maktab rendah dan Institut Pendidikan Teknikal.

Menurut Dr Janil, Kementerian Pengangkutan akan meluaskan penyediaan baucar Pengangkutan Awam bagi membantu golongan berpendapatan rendah, dengan satu daripada lima isi rumah kini layak menerima baucar bernilai S$50 bagi menampung perbelanjaan pengangkutan.

Walaupun tambang dinaikkan, khidmat pengangkutan awam akan terus diberi subsidi, katanya.

Keprihatinan utama adalah jumlah subsidi yang diberikan bagi memastikan dana tidak disalurkan daripada aspek-aspek lain.

Ini kerana pengangkutan adalah sebahagian penting kehidupan seharian, katanya.

Dr Janil berkata sistem pengangkutan yang baik adalah penting supaya fungsi sehari-hari dapat berjalan seperti biasa di Singapura.

Beliau menambah ia juga penting untuk masa depan Singapura dan "jenis bandar yang kita impikan: sebuah ekonomi yang dinamik, berkembang dan mewujudkan peluang." 

Sumber : CNA/HA/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan