Kenaikan tambang pengangkutan awam harus seiring gaji, bonus lebih baik bagi pekerja: NTWU
Kenaikan tambang pengangkutan awam harus diiringi gaji lebih baik, kenaikan gaji tahunan, bonus serta peningkatan kebajikan bagi para pekerja pengangkutan.
Para penumpang di Stesen MRT HarbourFront pada 29 September 2026. (Gambar fail: CNA/Ili Mansor)
- NTWU berkata kenaikan tambang pengangkutan awam Singapura sebanyak 7 peratus mulai 26 Disember harus disertai gaji lebih baik, kenaikan tahunan, bonus dan kebajikan pekerja.
- PTC mengumumkan penyesuaian itu selepas formula tambang mengambil kira kos seperti gaji dan tenaga, dengan harga tenaga meningkat antara Julai 2025 hingga Jun 2026.
- Kenaikan tersebut dijangka menambah hasil tahunan S$176.9 juta, termasuk kepada SBS Transit Rail, SMRT Trains serta LTA bagi bas dan Laluan Thomson-Pantai Timur.
- NTWU turut mengecam gangguan dan tingkah laku kesat terhadap pekerja selepas pengumuman tambang, sambil menggesa mereka dilayan dengan hormat ketika berkhidmat.
Demikian menurut Kesatuan Pekerja Pengangkutan Nasional (NTWU) pada Rabu (30 Sep), sehari selepas Majlis Pengangkutan Awam (PTC) mengumumkan penyesuaian tambang bagi tahun ini.
Mulai 26 Disember, tambang pengangkutan awam bagi pengguna kad dewasa akan naik antara 12 dengan 13 sen bagi setiap perjalanan.
Secara keseluruhannya, tambang pengangkutan awam akan meningkat 7 peratus, berbanding kenaikan 5 peratus pada tahun lalu.
PTC sebelum ini menyatakan peningkatan ketara harga tenaga antara Julai 2025 dengan Jun 2026 akibat konflik di Timur Tengah menyebabkan formula semakan tambang mencadangkan kenaikan yang lebih tinggi.
"NTWU percaya bahawa apabila penyesuaian tambang mengambil kira peningkatan kos, termasuk gaji dan kos tenaga, tenaga kerja pengangkutan awam juga harus mendapat manfaat sewajarnya daripada pendapatan tambahan yang diraih," menurut kesatuan itu dalam catatan di Facebook.
"Ini harus disertai gaji lebih baik, kenaikan gaji tahunan, bonus dan peningkatan kebajikan pekerja," tambahnya.
NTWU turut menggesa pengendali pengangkutan awam dan rakan kongsi tiga pihak agar memastikan manfaat daripada penyesuaian tambang dikongsi secara adil dengan para pekerja.
HASIL TAMBANG TAMBAHAN S$176.9 JUTA SETAHUN
Kenaikan tambang 7 peratus itu dijangka menjana tambahan S$176.9 juta dalam hasil tambang tahunan.
Pendapatan tahunan SBS Transit Rail dijangka meningkat S$26.9 juta, manakala SMRT Trains pula dijangka menerima tambahan S$52.9 juta.
Pendapatan tambang bagi khidmat bas dan Laluan Thomson-Pantai Timur yang dikumpulkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pula akan meningkat S$97.1 juta bagi menampung kos operasi.
Formula tambang pengangkutan awam mengambil kira beberapa faktor termasuk indeks gaji dan indeks tenaga.
'TIDAK BERTOLAK ANSUR' TERHADAP PENDERAAN PEKERJA
NTWU turut menyuarakan kebimbangan selepas dimaklumkan mengenai kejadian gangguan dan tingkah laku kesat terhadap pekerja pengangkutan menyusuli pengumuman kenaikan tambang.
Kesatuan itu menyifatkan tingkah laku sedemikian sebagai tidak boleh diterima.
"NTWU tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk gangguan atau penderaan terhadap pekerja pengangkutan, tanpa mengira sebarang rasa tidak puas hati berhubung kenaikan tambang," menurut kesatuan itu.
NTWU menambah bahawa pekerja pengangkutan harus dilayan dengan hormat dan bermaruah sedang mereka terus memberikan khidmat kepada para penumpang setiap hari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.