Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenaikan premium MediShield Hayat disebabkan pembayaran dan jumlah penuntut lebih tinggi

Premium MediShield Hayat lebih tinggi diusulkan atas tiga faktor utama, termasuk pembayaran tahunan dan jumlah penuntut yang lebih tinggi, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen pada Isnin (2 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Kenaikan premium MediShield Hayat disebabkan pembayaran dan jumlah penuntut lebih tinggi

Wad hospital di Singapura. (Gambar fail: SGH)

Diterbitkan : 02 Nov 2020 07:55PM Dikemas Kini : 02 Nov 2020 07:57PM

SINGAPURA: Premium MediShield Hayat lebih tinggi diusulkan atas tiga faktor utama, termasuk pembayaran tahunan dan jumlah penuntut yang lebih tinggi, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen pada Isnin (2 Nov).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Pekerja (WP) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) tentang sebab mengapa Pemerintah ingin menaikkan premium, apakah skim-skim tersedia untuk membantu mereka yang tidak mampu membayarnya, selain bil hospital yang kian meningkat.

Majlis MediShield Hayat membentangkan beberapa saranan pada September untuk mempertingkat manfaat MediShield Hayat, selain menambah premium kepada sehingga 35 peratus bagi sesetengah pemegang polisi insurans. Ia merupakan kali pertama semakan besar dilakukan terhadap skim insurans kebangsaan, sejak ia diperkenalkan pada 2015.

Dr Koh mendedahkan sepanjang empat tahun lalu, jumlah mereka yang menuntut MediShield meningkat sebanyak sekitar 30 peratus sementara pembayaran tahunan melonjak sekitar 40 peratus.

Antara 2001 dengan 2019, bil hospital bagi institusi-institusi penjagaan kesihatan awam secara purata meningkat sebanyak 6 peratus setiap tahun, disebabkan inflasi kos perubatan, demografi dan kemajuan dalam bidang perubatan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, tambah beliau.

"Kenaikan dalam penggunaan dan pembayaran membentuk sekitar dua pertiga kenaikan premium berkenaan," Dr Koh memberitahu Dewan.

25 peratus kenaikan premium disebabkan had tuntutan yang diubah bagi MediShield Hayat, sementara bakinya, kurang 10 peratus, "menampung peningkatan pada manfaat-manfaat (skim)", termasuk peningkatan yang dilaksanakan sejak 2018. Ini termasuk perlindungan yang diluaskan kepada pesakit hospis mahupun wanita hamil yang mengalami komplikasi.

"Premium tidak berubah bagi lima tahun pertama MediShield Hayat, selaras dengan komitmen awal kami. Premium perlu diubah suai untuk memastikan Dana MediShield Hayat kekal mencukupi dan dapat bertahan dalam memenuhi keperluan semua pemegangnya," terang Dr Koh.

Menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi PSP Leong Mun Wai tentang sama ada meningkatkan premium sebanyak 35 peratus sesuatu yang tidak biasa mengikut piawai antarabangsa, Dr Koh berkata, adalah tidak sesuai untuk membuat perbandingan kerana premium ditentukan berdasarkan banyak faktor dan ia tentunya "berlainan bagi setiap negara".

"Ia juga tidak wajar untuk mengira berapa tinggi premium yang perlu dibayar seseorang rakyat Singapura sepanjang hayatnya - dengan hanya membuat andaian kadar faedah tetap ditambah setiap tahun," kata Dr Koh.

"Premium pada masa depan bergantung kepada banyak perkara yang berubah-ubah, dan ini juga bergantung kepada banyak faktor, termasuk apa yang boleh dicapai untuk menguruskan kos jagaan kesihatan. Jumlah subsidi premium yang diterima seorang individu berubah sepanjang hayatnya, bergantung kepada kedudukan kewangan mereka."

MEMASTIKAN PREMIUM DIMAMPUI

Sungguhpun begitu, Dr Koh berkata, terdapat skim-skim bantuan kewangan yang tersedia untuk memastikan semua rakyat Singapura boleh terus membayar premium mereka.

Misalnya, keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan, mahupun warga emas dari Generasi Merdeka dan Generasi Perintis, akan menerima subsidi dan bantuan premium.

"Jika dikira, sekitar 35 peratus jumlah keseluruhan premium dibayar Pemerintah menerusi pelbagai skim subsidi dan bantuan pada 2019. Bagi warga emas berusia 65 tahun dan ke atas, sumbangan dari Pemerintah lebih tinggi lagi, iaitu sekitar 50 peratus premium mereka," katanya lagi.

Rakyat Singapura boleh menggunakan MediSave untuk membuat pembayaran penuh, dan mereka juga boleh menggunakan MediSave masing-masing untuk membayar premium anggota keluarga mereka.

Mereka yang masih memerlukan bantuan boleh membuat permohonan bagi Bantuan Premium Tambahan (APS), termasuk mereka yang sedang menjalani rawatan perubatan atau mereka yang baru-baru ini hilang pekerjaan dan sebahagian pendapatan mereka.

APS juga akan meliputi semua premium tertunggak dan akan datang, kata Dr Koh.

Beliau menarik perhatian bahawa Pemerintah ada mempertimbangkan untuk menangguhkan semakan MediShield Hayat dan kenaikan premium disebabkan "keadaan ekonomi yang sukar" dengan COVID-19.

"Namun saya harus tekankan bahawa penting untuk memastikan MediShield Hayat kekal bertahan supaya ia dapat memenuhi keperluan masa hadapan, iaitu apabila para pemegang polisi insurans membuat tuntutan. Perlindungan yang ditawarkan juga perlu dikemas kini dan dipertingkat agar ia relevan kepada keperluan jagaan kesihatan rakyat Singapura," katanya lagi.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan