Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenaikan kes COVID-19 tidak beri tekanan pada kapasiti jagaan kesihatan: MOH

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah jangkitan  COVID-19 yang meningkat di Singapura baru-baru ini tidak menyebabkan tekanan pada kapasiti jagaan kesihatan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (27 Mac) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp. 

Gelombang jangkitan baru dijangka berlaku secara berkala dan MOH menyatakan, ia akan terus memantau rapi situasi setempat dan sebarang kemunculan varian baru. 

"Lebih penting lagi, kami juga memantau betapa serius jangkitan itu dan kesannya terhadap sistem jagaan kesihatan kami," tambahnya. 

Singapura menyaksikan kenaikan jangkitan  mingguan COVID-19, dengan jumlah kes setiap minggu melebihi 10,000 pada dua minggu sebelum 18 Mac. 

Jumlah itu lebih seganda daripada dua minggu sebelumnya, sebanyak kurang 4,500 kes setiap minggu. 

Jumlah jangkitan COVID-19 dianggarkan berdasarkan Program Pemantauan Jangkitan Pernafasan Akut (ARI) Nasional, menurut laman web MOH. 

Program itu termasuk purata jumlah harian pesakit ARI di poliklinik. Purata  harian pesakit yang mendapatkan rawatan ARI di poliklinik adalah 2,592 pada minggu antara 12 hingga 18 Mac, dan 2,823 pada minggu sebelum itu. 

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung turut menyentuh tentang kenaikan jangkitan COVID-19 semasa menjawab komen dibuat di Instagram beliau. 

"Perkara paling penting adalah sama ada gejala yang dialami itu teruk. Hari ini, jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital berkaitan dengan COVID-19 sangat rendah dan lebih rendah berbanding jangkitan berkaitan dengan bukan COVID-19. Justeru, kami boleh menganggap COVID-19 sebagai penyakit endemik," katanya. 

"Tetapi kami akan terus memantau dengan rapi agar kekal pada landasan yang betul." 

MOH turut mendedahkan, setakat 26 Mac, tiada kes XBB.1.16 dikesan di Singapura. 

XBB.1.16 merupakan subvarian Omicron yang semakin timbul dan sudah dilaporkan di India. 

"Buat masa ini, tiada bukti di peringkat antarabangsa bahawa XBB.1.16 lebih mudah berjangkit atau lebih teruk berbanding subvarian-subvarian yang dikesan sebelum ini," menurut MOH. 

"Subvarian COVID-19 yang merebak dan dikesan di Singapura adalah XBB, XBB.1.5 dan XBB.1.9 yang masing-masing dikesan di Singapura buat kali pertama pada hujung Disember 2022 dan pertengahan Januari 2023."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan