Kenaikan kes COVID-19 di SG didorong varian XBB; gelombang jangkitan dijangka 'dari semasa ke semasa'
Jumlah kes jangkitan COVID-19 meningkat sekali lagi, namun para doktor mengatakan kebanyakannya adalah kes ringan, sambil menambah ia adalah sebahagian daripada meneruskan kehidupan dengan virus itu sedang Singapura beralih ke fasa endemik.
Orang ramai dilihat menunggu untuk melintasi jalan raya di Orchard Road pada 29 Mac 2022. (Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)
Perangkaan mingguan rasmi baru-baru ini menunjukkan lonjakan tertinggi sejauh ini untuk tahun 2023, dengan jumlah kes meningkat sejak awal bulan lalu.
Pada minggu terakhir Mac, 28,410 kes dilaporkan, iaitu hampir seganda berbanding 14,467 kes pada minggu sebelumnya.
Kementerian Kesihatan (MOH) memberitahu Mediacorp bahawa gelombang jangkitan COVID-19 kini didorong oleh gabungan subvarian XBB termasuk XBB.1.5, XBB.1.9 dan XBB.1.16.
Namun ia menambah buat masa ini, tiada bukti peningkatan pada tahap kemudaratan bagi kes-kes tersebut.
Sungguhpun jumlah kes kemasukan baru ke hospital kerana COVID-19 meningkat secara berterusan sepanjang beberapa minggu lalu, di mana jumlah kes mencecah 339 pada penghujung Mac, kemasukan ke unit jagaan rapi (ICU) telah merosot.
"Kami dapat terus menjangkakan gelombang jangkitan COVID-19 yang baru dari semasa ke semasa, serupa dengan jangkitan pernafasan endemik yang lain seperti influenza," menurut MOH dalam satu kenyataan.
KLINIK MENYAKSIKAN LEBIH BANYAK KES
Klinik-klinik juga menyaksikan lonjakan pada jumlah pesakit, namun para doktor berkata peningkatan sedemikian dapat dijangkakan, memandangkan kini langkah sekatan COVID-19 sudahpun dilonggarkan.
Menurut klinik Unihealth pada minggu lalu, setiap satu daripada kliniknya menerima sekitar 15 hingga 20 pesakit COVID-19 setiap hari, iaitu naik hampir dua ganda sepanjang bulan lalu.
"Kebanyakan pesakit COVID-19 yang kami temui di klinik mengalami gejala ringan," kata pengarah perubatan firma itu, Dr Xie Huizhuang.
"Keadaan vital mereka stabil dan mereka tidak perlu dimasukkan ke hospital. Mereka diberi rawatan berdasarkan gejala yang dialami dan pulih dengan lancar selepas itu."
Demi menampung kenaikan pada jumlah pesakit, rangkaian klinik itu menempah lebih banyak ubat-ubatan termasuk rawatan yang menyasarkan COVID-19.
Di Phoenix Medical Group pula, klinik-kliniknya menyaksikan jumlah pesakit naik dua kali ganda sepanjang dua minggu lalu. Seperti klinik Unihealth, kebanyakan kes di klinik tersebut juga merupakan kes ringan.
Pengarah perubatan Phoenix Medical Group, Dr Chua Hshan Cher, berkata kebanyakan pesakit mengalami "gejala pernafasan rutin". Beliau lazimnya menasihati para pesakit supaya "pulang dan rehat" serta minum lebih banyak air.
Namun, beliau memberi amaran bahawa pesakit yang berisiko lebih tinggi - seperti warga emas dan mereka yang menghidapi keadaan perubatan sedia ada - harus terus berwaspada.
MENGAPA JUMLAH KES MENINGKAT?
Para doktor mengaitkan lonjakan pada jumlah kes kepada pelonggaran langkah-langkah sekatan dan penyambungan semula perjalanan ke luar negara.
Singapura memansuhkan peraturan memakai pelitup bagi penumpang pengangkutan awam pada Februari lalu dan pelawat belum divaksin yang masuk ke Singapura tidak lagi perlu menunjukkan hasil negatif ujian COVID-19 sebelum pelepasan.
Selain daripada COVID-19, lebih ramai pesakit juga mendapatkan rawatan perubatan bagi influenza atau demam selesema.
"Kebanyakan orang telah meneruskan kehidupan seperti sediakala. Apabila kita teruskan dengan rutin harian, anda akan melihat lebih ramai orang yang tidak memakai pelitup di luar sana," kata Dr Chua.
"Ini mungkin salah satu sebab mengapa jumlah kes jangkitan pernafasan telah meningkat seperti keadaan sebelum COVID-19."
Menurut Dr Xie, klinik-klinik Unihealth menyaksikan kenaikan 30 peratus pada jumlah pesakit yang menghidap jangkitan pernafasan akut.
Sekitar seperlima daripada kes sedemikian mengalami jangkitan influenza, sekitar 5 hingga 10 peratus pula dijangkiti COVID-19 dan yang bakinya mengalami jangkitan virus.
Sedang kegiatan dan kehidupan diteruskan seperti sediakala, klinik-klinik menyatakan ia menjangkakan kes COVID-19 akan terus meningkat sebelum keadaan menjadi stabil.
TIDAK PERLU BIMBANG
Dengan Singapura kini juga menganggap COVID-19 sebagai endemik, para doktor kini juga beralih daripada memberi tumpuan kepada jumlah kes keseluruhan.
"Kami sedang hidup bersama COVID-19... kami fikir ia bukan satu keprihatinan kerana ia sudah diketahui bahawa jenis virus COVID-19 kini menyebabkan gejala ringan dalam kebanyakan kes," kata pengarah perhubungan OneCare Medical, Dr Wong Kia Boon.
"Terdapat juga pemantauan ketat dalam negeri, di rantau ini (dan) di peringkat antarabangsa bagi sebarang jenis virus baru yang mungkin mencetuskan jangkitan teruk sekali lagi," katanya.
"Garis panduan tentu sekali akan berubah bagi menangani sebarang trend baru jika ia berlaku."
Sedang Singapura meneruskan kehidupan bersama virus itu, MOH dan para doktor mengingatkan orang awam supaya mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19 apabila sudah tiba masanya dan mengamalkan tabiat peribadi yang baik seperti memakai pelitup di tempat-tempat yang sesak serta mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika berasa kurang sihat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.