Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenaikan kadar inflasi buat lebih ramai masyarakat Melayu mahu jadi celik wang

Kadar inflasi yang meningkat menyebabkan lebih ramai dalam kalangan masyarakat yang ingin tahu tentang perancangan kewangan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kadar inflasi yang meningkat menyebabkan lebih ramai dalam kalangan masyarakat yang ingin tahu tentang perancangan kewangan. 

Dalam masa tiga bulan sahaja, jumlah klien yang cuba mendapatkan khidmat para penasihat kewangan melonjak sehingga 60 peratus pada sekitar bulan Mac dan April. 

Ini sewaktu inflasi teras Singapura diumumkan mencapai kadar tertinggi dalam masa sedekad iaitu sebanyak 2.9 peratus. 

Kadar itu terus meningkat hingga 4.8 peratus yang dicatatkan pada bulan Julai. 

''

Salah seorang penasihat kewangan yang ditemui BERITAmediacorp memberitahu bahawa 80 peratus kliennya merujuk kepadanya berkenaan cara-cara mengatasi inflasi. 

RISAU AKAN KESAN INFLASI, CUBA BUAT PERANCANGAN AWAL

Antara mereka ialah Muhammad Syariffuddin Salino, 28 tahun yang risau tentang kenaikan kadar inflasi dan kesannya dalam perbelanjaannya. 

Disebabkan inflasi, Syariffuddin dan isterinya merasakan bahawa mereka semakin perlu berjaga-jaga dan berjimat. 

''

Syariffuddin berkata: "Kita cuba belanja hanya untuk barang keperluan dan cuba untuk mengurangkan membeli-belah. Kalau membeli-belah pun kita cuba melakukannya secara online kerana lebih murah."

"Saya rasa kos sara hidup semakin meningkat, bersamaan dengan kadar inflasi. Saya rasa jikalau kita tidak sediakan diri untuk masa depan, mungkin wang yang kita kumpul tidak akan cukup. Itu mungkin sebabnya generasi saya perlu cuba untuk melabur bagi memastikan aset kita bersedia untuk masa depan," ujar Syariffuddin. 

Lantaran itulah, Syariffuddin kerap bertemu dengan penasihat kewangan, untuk berbincang cara-cara beliau dapat mempersiapkan diri lebih mantap lagi untuk masa depan dari segi kewangan. 

"Dalam masa sekarang hingga ke usia persaraan, banyak benda boleh berlaku. Kita rasa takut dengan kadar inflasi dan membuat kita lebih celik kewangan dan mempunyai pemikiran terbuka untuk mengembangkan wang dan menjadi lebih berjimat supaya kita ada," kata Syariffuddin.  

''

"Mengikut unjuran kadar inflasi yang akan meningkat dalam 10, 20 tahun mendatang. Apabila masanya sudah sampai, kita akan nilai kembali dan melihat di mana kita boleh mengubah suai portfolio kewangan kita atau mungkin membuka pelan wang simpanan agar pada masa depan, anak-anak kita boleh bersedia untuk persekolahan dan kita tidak perlu risau untuk dapat pinjaman dari bank."

Cara tersebut menurut Syariffuddin adalah cara bagi dirinya mengatasi inflasi, sekali gus memastikan generasi anak-anaknya juga tidak perlu menangani kesan inflasi dengan terlalu hebat. 

80 PERATUS KLIEN MAHU CARI CARA ATASI KESAN INFLASI 

Untuk itu, Syariffuddin cuba mendapatkan pandangan dan nasihat daripada beberapa penasihat kewangan. 

Salah seorang daripadanya adalah Konsultan Khidmat Kewangan syarikat TAQ Wealth Associates (TAQWA), Muhammad Redhwan Wahid. 

''

Penasihat kewangan dengan pengalaman hampir lima tahun itu akur bahawa kenaikan kadar inflasi menjadikan lebih ramai orang lebih sedar tentang kepentingan dalam merancang dan menguruskan kewangan mereka. 

"Sebelum ini mungkin mereka merasakan bahawa inflasi tidak ada kesan langsung kepada mereka. Sekarang dengan kenaikan kadar inflasi agak tinggi, mereka mula merasakan mereka tidak boleh duduk diam dan membuat sesuatu agar wang mereka dapat bekerja lebih keras untuk mereka," jelas Encik Redhwan. 

"Pada awal tahun, anggaran kurang 12 orang yang datang kepada kita dalam sebulan faham kesan inflasi ini kepada mereka. Berbanding dengan semenjak mungkin bulan April dan Mei, nombornya melonjak kepada lebih 20 orang yang kita jumpa yang khuatir tentang inflasi," tambahnya. 

''

Menurut Encik Redhwan, 80 peratus kliennya yang merujuk kepadanya sejak bulan April lalu, khuatir tentang kadar inflasi yang meningkat. 

Mengikut trend tersebut juga, Encik Redhwan merasakan bahawa klien-kliennya lebih cenderung untuk melihat simpanan mereka tumbuh dari segi nilai dalam usaha cuba mengatasi kadar inflasi. 

''

Encik Redhwan berkata, "Yang kita perasan, ramai klien yang lebih terbuka untuk mendapatkan produk pelaburan 100 peratus. Maksudnya tidak ada insurans dan hanya untuk mereka luaskan kewangan mereka"

KOS BARANGAN MENINGKAT - MASYARAKAT KIAN RASA PERIT

Seorang lagi penasihat konsultan yang menyaksikan trend yang serupa adalah Konsultan Kewangan Utama bagi syarikat Ethiqal Wealth Advisory (EWA), Fara Azlin Buang. 

Cik Fara merasakan terdapat beberapa sebab yang membuat masyarakat menjadi lebih celik kewangan dan salah satu sebabnya adalah kesempitan yang kian mereka rasakan.  

''

"Walaupun inflasi memang sudah lama wujud, orang ramai sekarang lebih prihatin dan risau. Kos kehidupan semakin lama semakin meningkat. Kos perumahan, harga minyak petrol tetapi apa yang orang ramai yang tidak sedar adalah nilai wang kita pun semakin lama semakin merosot. Kalau dahulu S$100 boleh membelikan kita macam-macam tetapi sekarang S$100 sekarang tidak akan memberikan kita nilai yang sama seperti dahulu," ujar Cik Fara. 

Beliau menambah: "Bila nilai duit merosot, masyarakat lebih berjaga-jaga, mereka lebih berwaspada. Macam mana mereka belanjakan duit mereka dan bagaimana hendak menguruskan dan merancang kewangan mereka." 

Cik Fara merasakan bahawa inflasi memberikan kesan yang langsung kepada masyarakat sehingga menimbulkan pemikiran yang lebih terbuka mengenai nasihat kewangan. 

''

"Sekarang, semakin lama kita nampak lebih ramai orang yang datang untuk meminta nasihat kewangan dan membincangkan tentang kewangan mereka. Kalau dulu, kita yang kena mendekati mereka untuk menimbulkan kesedaran," kata Cik Fara. 

GOLONGAN BELIA MAKIN PEKA TENTANG PELABURAN 

Cik Fara juga merasakan bahawa golongan remaja dan belia lebih peka tentang kewangan mereka. 

''

Beliau memerhatikan bahawa golongan belia lebih cenderung untuk mengembangkan simpanan wang mereka berbanding golongan dewasa. 

Cik Fara berkata: "Masalah inflasi ini bukan sahaja menjejas golongan dewasa, juga golongan remaja. Dalam masa terdekat ini, kita melihat trend meningkat di mana klien-klien boleh berusia semuda 17 tahun." 

"Kalau dulu, remaja hanya membentuk 5-7 peratus klien kami. Sekang lebih, 10 hingga 15 peratus klien kami adalah golongan remaja dan awal 20-an tahun."
 
"Pelaburan dan mengembangkan aset kewangan adalah penting untuk mereka. Banyak yang sudah tahu bahawa mereka perlu merancang awal, sebelum mereka jatuh sakit, sebelum mereka berkahwin, itu masa terbaik," kata Cik Fara.

Demikian juga diperhatikan Encik Redhwan, "Generasi muda semakin celik kewangan atau atau lebih tahu perlunya mereka melabur. Tidak menghairankan, keupayaan mereka memang kurang tetapi mereka lebih gigih melakukan sesuatu dan mereka terbuka untuk berbual dengan penasihat kewangan."

MASYARAKAT LEBIH MAHUKAN PELABURAN YANG PATUH SYARIAH

Satu lagi trend yang diperhatikan para penasihat kewangan yang ditemui adalah semakin ramai klien Muslim yang mahukan produk-produk atau pelan-pelan pelaburan dan kewangan yang mematuhi syariah.

Pilihan itu kini lebih banyak tersedia di pasaran dan syarikat EWA sendiri baru sahaja melancarkan produk sebegitu pada Julai lalu. 

Cik Fara berkata: 'Kalau sebelum adanya dana ini, ramai masyarakat kita was-was dan ragu untuk meletakkan duit mereka dan melabur. Dengan adanya dana ini, mereka menjadi lebih terjamin dari segi di mana duit mereka akan diletakkan." 

''

"Ini kerana ada juga proses untuk sesebuah dana untuk mematuhi syariah. Ia adalah dana yang dicap mematuhi syariah. Apa dinilai adalah untuk memastikan semua dana itu beretika dan tidak ada aspek berjudi, alkohol, atau senjata. Sama kalau kita pergi makan, ada logo Halal daripada MUIS. Jadi sama juga dengan dana mematuhi syariah," tambah beliau.

Melihat kadar inflasi yang meningkat sebagai pencetus trend ini, Cik Fara dan Encik Redhwan mengalu-alukan perubahan ini dengan ramai kini yang mahu menjadi lebih celik kewangan. 

Bagi Cik Fara, dengannya masyarakat Melayu/Islam mampu untuk "meningkatkan status dari segi kewangan dan mengembangkan wang simpanan mereka, dan boleh lihat ada kemajuan dalam masyarakat".

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan