Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenaikan inflasi: Mengapa belia perlukan lebih banyak perhatian dan bantuan?

Semua orang terkesan dengan inflasi, namun bertentangan dengan kepercayaan umum, golongan belia adalah antara golongan yang paling teruk terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
Kenaikan inflasi: Mengapa belia perlukan lebih banyak perhatian dan bantuan?

Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY

SINGAPURA: Semua orang terkesan dengan inflasi, namun bertentangan dengan kepercayaan umum, golongan belia adalah antara golongan yang paling teruk terjejas.

Warga muda Singapura juga terhimpit dengan tanggungjawab kewangan tetapi mereka membawa pulang gaji median lebih rendah jika dibandingkan dengan rakan sekerja yang lebih tua.

Sebagai contoh, siswazah yang baru menggenggam segulung ijazah mungkin sudah memikul beban hutang pelajar. Manakala mereka yang sudah berkeluarga pula perlu mengimbangi perbelanjaan bagi jagaan kanak-kanak di samping pembayaran bagi gadai janji.

Semua ini menjejaskan kesihatan mental belia.

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) baru-baru ini, sekitar 40 peratus responden berusia antara 21 hingga 29 tahun meluahkan rasa "amat bimbang" terhadap kos sara hidup berbanding 24 peratus responden yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Kajian itu turut menarik perhatian bagaimana kesihatan mental belia terjejas apabila mereka tidak dapat mencapai matlamat kewangan yang diingini seperti memperolehi sebuah hartanah atau menabung untuk mendirikan rumah tangga.

Sebaliknya, responden lebih tua berasa kurang bimbang kerana mereka mungkin pernah terselamat daripada kesulitan ekonomi sebelum ini atau sudah mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menempuhi tempoh inflasi yang tinggi.

Temu bual Mediacorp bersama belia dalam satu rencana yang diterbitkan baru-baru ini juga mendedahkan bagaimana inflasi mungkin memberi kesan jangka panjang pada masa depan mereka sedang mereka memperuntukkan wang untuk pelaburan.

Para pakar berkata bahawa dengan tidak melabur, belia berdepan risiko kehilangan kuasa membeli daripada simpanan mereka dek dihakis inflasi.

Beberapa alasan yang diberikan untuk tidak melabur adalah golongan belia memilih untuk mempunyai lebih banyak wang dalam genggaman mereka buat perbelanjaan, tidak rela mengambil risiko dan kurang mengorbankan gaya hidup mereka yang saban hari semakin tinggi.

Ini adalah satu masalah memandangkan inflasi di Singapura diramal akan terus meningkat sehingga suku ketiga tahun ini, sebelum ia stabil pada paras "sekitar 3.5 hingga 4 peratus". Sekalipun demikian, kadar itu masih menjangkaui purata 1.5 peratus yang dicatatkan sejak tahun 2000.

Lantaran itu, terdapat keperluan untuk memberi lebih banyak perhatian dalam membantu golongan belia.

Pemerintah menghulurkan sokongan kepada warga Singapura untuk menangani kos sara hidup yang meningkat. Antaranya, ia memperkenalkan pakej bernilai S$1.5 bilion yang akan memberi manfaat kepada 1.5 juta rakyat dewasa melalui pembayaran tunai sekali sahaja dan kredit untuk bil api air.

Sungguhpun demikian, dasar-dasar yang bersasar ke arah usaha membantu belia menabung simpanan buat tempoh jangka panjang mungkin dapat mengurangkan sedikit tekanan yang timbul daripada keselamatan kewangan masa depan mereka.

Statistik rasmi menunjukkan kenaikan gaji sejak sekurang-kurangnya tahun 2019 untuk rakyat Singapura yang lebih muda dalam lingkungan usia 20-an tahun jauh ketinggalan berbanding rakan sekerja mereka yang lebih tua.

Andai kata semua keadaan sama, termasuk tahap daya penghasilan, ia akan membantu pekerja lebih muda jika kenaikan gaji mereka boleh menandingi kadar pekerja yang lebih tua.
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan