Kenaikan harga elektrik sekitar 10% dijangka jejas isi rumah SG mulai Jul
Sekitar 10 peratus — itulah kadar kenaikan harga elektrik yang dijangka berpotensi menjejaskan isi rumah di Singapura mulai Julai.
Petikan skrin daripada sebuah rakaman video yang menunjukkan panel-panel suria di bumbung sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). (Gambar: Sembcorp Industries)
This audio is generated by an AI tool.
SP Group kini menjual elektrik pada kadar 27.27 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh), yang sudahpun meningkat 2.1 peratus berbanding kadar sebelumnya, sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Namun, kumpulan milik Temasek Holdings itu belum mengambil kira sepenuhnya kesan konflik di Timur Tengah semasa menetapkan tarif terkawal bagi suku sekarang ini.
Lonjakan seterusnya mungkin menyaksikan harga meningkat kepada sekitar 30 sen bagi setiap kWh, menurut perunding kanan Rystad Energy, David Chew.
Beliau turut menjangkakan harga akan terus meningkat bagi tempoh sekitar enam bulan.
Ini meskipun keadaan di Timur Tengah pulih dengan segera dan walaupun kurang 10 peratus daripada gas asli Singapura diperoleh dari Qatar sebelum gangguan bekalan berlaku.
Qatar menyumbang hampir seperlima bekalan gas asli cecair (LNG) global sebelum perang meletus, sekali gus menyebabkan persaingan sengit untuk mendapatkan bekalan alternatif mendorong kenaikan harga.
Namun, kejutan tenaga kini melangkaui isu rantaian bekalan disebabkan oleh akibatnya yang lebih meluas terhadap kemudahan berkaitan tenaga, yang dianggarkan Rystad mencecah sehingga AS$58 bilion (S$74.13 bilion).
Akibatnya, “harga (elektrik) mungkin kekal tinggi bagi tempoh yang lebih lama,” kata Encik Chew. Berdasarkan penilaian firma perundingannya, Qatar khususnya mungkin memerlukan antara tiga hingga lima tahun untuk “memulihkan sepenuhnya” bekalan LNGnya.
USAHA TENAGA SINGAPURA
Di tengah-tengah krisis tenaga global, Singapura mendapatkan tambahan kargo LNG dari negara-negara seperti Australia, Mozambique dan Amerika Syarikat.
Singapura “telah melakukan usaha yang baik dalam mempelbagaikan portfolio gasnya”, kata Encik Chew. “Dengan cara itu, kita mempunyai jaminan bekalan yang lebih baik berbanding banyak negara lain.”
Namun, perkara itu berasingan daripada isu harga. Dari satu sisi, harga gas dari segi sejarah berkait rapat dengan harga minyak, yang merupakan komoditi lebih matang. “Dengan harga minyak yang meningkat,” kata beliau, “harga gas juga akan meningkat.”
Harga LNG secara purata adalah sekitar AS$10 (S$12.78) hingga AS$11 (S$14.06) sebelum perang. Ia kemudian melonjak kepada hampir AS$18 (S$23.01) pada pertengahan Mei. Ini mencerminkan premium yang perlu dibayar Singapura bagi mendapatkan bekalan baharu, sementara simpanan gas aslinya kekal tidak digunakan.
“Sumber alternatif ini … adalah untuk memenuhi keperluan biasa dan berterusan,” kata Pengarah Jabatan Strategi dan Perancangan Tenaga, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Jesse Chin.
“Namun pada masa hadapan, … ini mengingatkan kita semua bahawa kita tidak boleh bergantung sepenuhnya atau terus bergantung terlalu banyak kepada import."
EMA sedang mengkaji sumber tenaga rendah karbon termasuk sistem geoterma serta pelepasan, penggunaan dan penyimpanan karbon. “Malah tenaga nuklear juga merupakan satu pilihan,” tambah beliau.
Namun, pilihan-pilihan tersebut masih memerlukan masa berbanding tenaga solar, yang telah menjadi tumpuan Singapura sejak pemasangan panel suria di bumbung flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 2008.
Buat masa ini, tenaga solar membentuk sebahagian kecil daripada campuran tenaga elektrik Singapura: 2.5 peratus setakat separuh pertama tahun lalu, dengan anggaran rasmi bagi 2050 menunjukkan ia akan memenuhi 10 peratus daripada keperluan Singapura.
Jumlah itu lebih rendah berbanding perkongsian tenaga solar di kawasan-kawasan dengan tanah yang terhad seperti Cyprus (23.2 peratus penjanaan elektrik) dan Malta (sekitar 15 peratus).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.