Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenaikan harga COE bukan disebabkan syarikat kereta sewa privet atau warga asing: Chee Hong Tat

Anggaran Waktu Membaca:
Kenaikan harga COE bukan disebabkan syarikat kereta sewa privet atau warga asing: Chee Hong Tat

(Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 12 Nov 2024 06:03PM Dikemas Kini : 12 Nov 2024 06:10PM
SINGAPURA: Pendorong utama bagi kenaikan harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi beberapa suku kebelakangan ini kemungkinan disebabkan oleh permintaan kukuh daripada pembeli individu tempatan, dan bukan warga asing atau syarikat kereta sewa, kata Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat di parlimen pada Selasa (12 Nov).

Jumlah bidaan yang diluluskan bagi syarikat kereta sewa dan warga asing jatuh sejak 2022, manakala jumlah bidaan yang diluluskan oleh pembeli individu tempatan meningkat.

Encik Chee membentangkan data tentang bidaan yang diluluskan bagi Kategori A dan B daripada 2022 hingga Oktober 2024.

Dalam tempoh tersebut, penduduk Singapura membentuk majoriti bidaan yang diluluskan, naik daripada 66 peratus pada 2022 kepada 84 peratus setakat Oktober tahun ini.

Jumlah bidaan yang diluluskan bagi warga asing kekal rendah dan turun daripada 3 peratus pada 2022 kepada kira-kira 2 peratus setakat Oktober tahun ini.

Jumlah bidaan yang diluluskan bagi syarikat kereta sewa, yang membida untuk kenderaan dan kemudian disewakan sebagai kereta sewa privet, juga turun daripada 26 peratus pada 2022 ketika harga COE agak rendah, kepada kira-kira 10 peratus tahun ini.

Encik Chee juga menarik perhatian bahawa Premium Kuota Sedia Ada (PQP), iaitu harga purata COE sepanjang tiga bulan lalu dan harga yang perlu dibayar pemilik kenderaan untuk memperbaharui COE mereka, juga turun merentasi semua kategori kenderaan.

Sebagai contoh, PQP bagi kereta Kategori A jatuh 4 peratus daripada S$102,584 pada November 2023 kepada S$98,317 pada November tahun ini.

Kereta bagi Kategori B menyaksikan kemerosotan paling besar sebanyak 21 peratus, daripada S$138,094 kepada S$109,698.

KATEGORI COE BERASINGAN BUAT KERETA SEWA PRIVET?

Bidaan daripada syarikat kereta sewa yang berkurangan sejak beberapa tahun lalu juga menunjukkan bahawa cadangan bagi kategori COE berasingan untuk kereta sewa privet "bukan perkara yang mudah", kata Encik Chee.

"Permintaan bagi COE oleh syarikat kereta sewa mungkin berbeza dari suku ke suku, dan dari tahun ke tahun. Ia sukar untuk memastikan kuota yang diperlukan lebih awal untuk memenuhi keperluan pemandu dan penumpang,” katanya.

Jika terlalu banyak kuota sedia ada daripada Kategori A dan B dipindahkan kepada kategori baharu untuk kereta sewa privet, ia akan mengurangkan bekalan bagi kedua-dua kategori. Ia boleh menyebabkan kenaikan harga COE bagi kategori tersebut, kata Encik Chee.

“Sebaliknya, jika kami mengurangkan kuota yang ingin dipindahkan kepada kategori berasingan untuk kereta sewa privet, ia akan mengurangkan bekalan kereta sewa privet, yang akan menyebabkan kenaikan harga kereta sewa privet serta mengurangkan akses untuk penumpang,” katanya.

"TIDAK MUDAH" KLASIFIKASIKAN KERETA SEWA PRIVET

Anggota Parlimen (AP) Louis Chua (WP-Sengkang) menarik perhatian melalui soalan tambahan bahawa harga COE baru-baru ini turun berbanding setahun lalu, namun pada masa yang sama, jumlah bidaan yang diluluskan bagi syarikat kereta sewa jatuh mulai 2022.

Encik Chua bertanya: "Bukankah ini menunjukkan bahawa syarikat kereta sewa mempunyai pengaruh ke atas premium kuota?"

Encik Chee berkata antara 2022 dan 2024, harga COE sudah meningkat.

"Jadi, ini adalah satu tanda bahawa pemacu utama kenaikan harga COE mungkin bukan disebabkan oleh syarikat kereta sewa privet," katanya.

Beliau menambah bahawa kategori berasingan bagi kereta sewa privet sedang dikaji, namun kategori tersebut "tidak bermakna anda akan dapat bekalan COE yang lebih tinggi".

Encik Chee berkata bahawa klasifikasi kereta sewa privet di bawah satu lagi kategori disukarkan lagi dengan "sejumlah besar" kenderaan itu digunakan sebagai kenderaan privet.

 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan