Kenaikan GST tidak sebabkan 'lonjakan inflasi' seperti didakwa ketua WP
Kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sepanjang dua tahun lalu tidak menyebabkan 'lonjakan' inflasi seperti didakwa oleh Ketua Pembangkang, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (28 Feb).

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Lawrence Wong menggulung perbahasan mengenai belanjawan negara di Parlimen pada 28 Feb 2025.
Sebaliknya, faktor-faktor luaran merupakan pemacu utama inflasi di Singapura. Sepanjang dua tahun di mana GST meningkat, kadar inflasi mengikut Indeks Harga Pengguna (CPI) sebenarnya merosot, kata Encik Wong dalam ucapannya bagi menggulung perbahasan tentang Belanjawan 2025.
Pada hari pertama perbahasan Ketua Parti Pekerja Pritam Singh menyoal tindakan Pemerintah menaikkan GST dan "sekali gus menyebabkan inflasi melonjak".
"Pusat bank MAS (Penguasa Kewangan Singapura) telah menilai kesan GST terhadap inflasi hanyalah sementara. Dan itu yang sebenarnya berlaku," katanya.
Menurut Encik Wong pada 2022, inflasi CPI adalah 6.1 peratus. Dengan kenaikan GST, ia sebenarnya jatuh kepada 4.8 peratus pada 2023, dan jatuh lagi kepada 2.4 peratus pada 2024.
"Di mana lonjakannya? Lihat, saya tahu pilihan raya semakin menghampiri tetapi dewan ini bukanlah satu perhimpunan pilihan raya. Jangan kita terbawa-bawa oleh kenyataan yang ditokok tambah dan sebaliknya adakan perbahasan berdasarkan fakta," kata Encik Wong.
Belanjawan itu akhirnya diluluskan sebulat suara di parlimen pada Jumaat.
KEPUTUSAN SUKAR TETAPI WAJAR
Menjawab soalan para Anggota Parlimen mengenai keperluan menaikkan GST walaupun dengan kedudukan fiskal Singapura yang kukuh, Encik Wong berkata kedudukan itu "adalah kerana pemerintah telah melaksanakan langkah-langkah penting pada awal penggal ini untuk meningkatkan pendapatan".
Encik Wong berkata Singapura mungkin menamatkan tahun kewangan 2024 dengan defisit jika Pemerintah tidak memutuskan untuk menaikkan GST disebabkan ia bukan satu keputusan popular, dan jika ia tidak melihat kutipan cukai pendapatan korporat yang tidak dijangkakan di mana ia hanya muncul dua tahun kebelakangan ini.
"Baki unjuran pada FY2025 juga mungkin satu defisit, dan ini bermakna kurang pendanaan bagi perkhidmatan penting, kurang sokongan bagi warga emas dan kurang sumber untuk dilaburkan terhadap masa depan kita.
"Pendek kata, Singapura dan rakyat Singapura akan berada di kedudukan lebih lemah," katanya.
Di kemuncak pandemik COVID-19 pada permulaan dekad ini, di mana Encik Wong berkata "ibarat satu mimpi buruk dan sesuatu yang berlaku lama dahulu untuk kebanyakan orang", Singapura menyaksikan lima Belanjawan pada 2020 dan tiga pada 2021, di mana Pemerintah memohon kelulusan Presiden untuk menggunakan wang rizab negara sebanyak lima kali.
Terdapat banyak ketidaktentuan mengenai beberapa perkara seperti bilakah pandemik akan berakhir, sama ada lebih banyak langkah sekatan akan dilaksanakan dan betapa besar perbelanjaan fiskal yang perlu ditanggung oleh Singapura, kata Encik Wong.
"Tetapi kita sudah mengetahui dengan pasti bahawa keperluan perbelanjaan akan terus meningkat. Ia berlaku tahun demi tahun. Kami dapat melihatnya berlaku. Perbelanjaan jagaan kesihatan meningkat, terutama sekali bagi penduduk yang semakin menua," katanya.
"Kami mengkaji pelbagai cara untuk menambah pendapatan, termasuk melalui cukai hartanah dan pendapatan, tetapi langkah-langkah ini tidak mencukupi untuk menampung kenaikan perbelanjaan yang dijangkakan, di mana ia tentu sekali akan berlaku."
Bagi merapatkan jurang perbelanjaan, "keputusan paling sukar" yang perlu dilakukan adalah untuk menaikkan GST, kata Encik Wong.
"Tidak mudah untuk menaikkan cukai, dan tentu sekali bukan cukai seperti GST, tetapi tadbir urus adalah tentang membuat pilihan bertanggungjawab, bukan hanya pilihan popular," katanya.
"Kita perlu menanyakan diri sendiri, adakah kita mahukan populisme jangka pendek atau kestabilan jangka panjang? Adakah kita mahu menangguhkan daripada membuat keputusan penting atau mengambil keputusan sukar tetapi penting?"
Encik Wong menarik perhatian bahawa sebuah pakej jaminan menyeluruh dilancarkan bersama kenaikan GST, sekali gus ia bantu menangguhkan kesan kenaikan GST bagi sebahagian besar isi rumah penduduk Singapura selama sekurang-kurangnya lima tahun.
"Pada masa yang sama, kita juga mempunyai baucar GST yang berkekalan ini di mana ia sudah pun dipertingkatkan.
"Ini memastikan GST dan skim baucar GST, apabila digabungkan bersama, dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan akan melindungi mereka, bukan sepanjang lima atau 10 tahun akan datang, tetapi secara berkekalan dan berterusan," katanya.
KETEPATAN UNJURAN BELANJAWAN
Menjawab kritikan mengenai ketepatan ramalan belanjawan oleh Kementerian Kewangan (MOF), Encik Wong berkata sesebuah belanjawan itu akhirnya adalah satu unjuran, berdasaran maklumat dan andaian terbaik yang ada.
Semasa perbahasan itu, Ketua WP Pritam Singh telah bertanya mengenai keperluan mengumpul banyak dana sedangkan ramalan fiskal pemerintah tidak dapat menentu, manakala ketua Parti Kemajuan Singapura (PSP) berkata lebihan rizab yang lebih banyak bermakna para pembayar cukai perlu menanggung beban kos lebih tinggi kerana pemerintah mengumpul lebih banyak cukai daripada yang diperlukan bagi program-program awamnya.
Unjuran pemerintah Singapura "selalunya tidak jauh tersasar", dengan sisihan purata dalam julat sekitar 5 peratus sepanjang tahun kewangan 2010 hingga 2019, katanya.
Sepanjang dua tahun lepas di mana lebih banyak ketidaktentuan dilihat, julat sisihannya lebih jauh pada sekitar 7 peratus.
"Saya tidak akan mempertahankan perangkaan itu jika ia tersasar, tetapi saya akan mempertahankan pegawai MOF kita yang jalankan tugas ini dengan penuh dedikasi dan profesionalisme, daripada sebarang kritikan tidak adil," kata Encik Wong yang berkongsi bahawa beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang ahli ekonomi di kementerian itu berdekad lalu dan beliau faham apakah tuntutan pekerjaan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.