Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenaikan GST dilengahkan; naik kepada 8% pada 2023, kemudian hingga 9% pada 2024

Pemerintah akan melengahkan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehingga 2023 dan melaksanakan kenaikan itu melalui dua peringkat, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam kenyataan Belanjawan 2022 pada Jumaat (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Feb 2022 06:55PM Dikemas Kini : 18 Feb 2022 10:39PM

SINGAPURA: Pemerintah akan melengahkan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehingga 2023 dan melaksanakan kenaikan itu melalui dua peringkat, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam kenyataan Belanjawan 2022 pada Jumaat (18 Feb).

Kenaikan pertama dari 7 peratus kepada 8 peratus akan dilaksanakan pada 1 Januari 2023 dan kenaikan kedua dari 8 peratus kepada 9 peratus akan dilaksanakan pada 1 Januari 2024.

Ini setelah Perdana Menteri Lee Hsien Loong mendedahkan dalam Amanat Tahun Baru pada Disember lalu bahawa Pemerintah perlu meneruskan rancangan untuk menaikkan kadar GST tahun ini, dengan ekonomi diramal pulih daripada COVID-19.

Rancangan untuk menaikkan kadar GST sebanyak 2 peratusan mata, dari 7 peratus kepada 9 peratus, pertama kali diumumkan pada 2018 oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada ketika itu dalam kenyataan Belanjawannya.

Encik Wong berkata pada Jumaat (18 Feb) bahawa kenaikan GST itu perlu dilaksanakan untuk menyokong perbelanjaan jagaan kesihatan Singapura dan bagi menjaga warga emas.

Berhubung pelaksanaannya, Encik Wong berkata beliau sudah menimbangkan situasi keseluruhan - pandemik, keadaan ekonomi Singapura dan unjuran inflasi.

"Keperluan pendapatan kita semakin mendesak. Namun saya juga memahami keprihatinan rakyat Singapura terhadap kenaikan GST yang berlaku pada masa yang sama dengan kenaikan harga."

Pemerintah akan terus menyerap GST ke atas jagaan kesihatan dan pendidikan yang diberikan subsidi awam, katanya.

Majlis-majlis bandaran akan menerima tambahan S$15 juta setahun untuk menampung kos GST yang dikenakan terhadap Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan.

Yuran dan kos Pemerintah tidak akan dinaikkan pada 2023. Ini termasuk yuran lesen serta yuran yang dikenakan oleh agensi-agensi pemerintah bagi khidmat yang disediakan. Ini termasuk yuran sekolah, yuran Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik serta yuran tempat letak kereta di tempat-tempat awam.

"Bagi menangani keprihatinan seandainya perniagaan-perniagaan akan mengambil kesempatan daripada kenaikan GST untuk menaikkan harga, Pemerintah akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Membanteras Pencatutan," kata Encik Wong, sambil menambah ia akan dipengerusikan oleh Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling.

MENGURANGKAN KESAN

Bagi mengurangkan kesan daripada kenaikan GST, Pemerintah akan menokok S$640 juta kepada Pakej Jaminan GST - yang diumumkan pada 2020 - dan mempertingkatkan skim Baucar GST (GSTV).

Kedua-dua Pakej Jaminan GST dan skim GSTV yang dipertingkatkan akan dilaksanakan bersama dengan kenaikan GST supaya rakyat Singapura boleh meraih manfaat daripada kedua-dua skim secara serentak, kata Encik Wong.

Pakej Jaminan GST yang dipertingkatkan itu akan menampung perbelanjaan GST tambahan selama sekurang-kurangnya lima tahun bagi sebahagian besar isi rumah rakyat Singapura dan sekitar 10 tahun bagi keluarga berpendapatan rendah, katanya.

Di bawah pakej itu, setiap golongan dewasa rakyat Singapura akan menerima bayaran wang tunai antara S$700 dengan S$1,600, manakala warga emas yang layak akan mendapat Baucar GST (GSTV) - Tunai (Bonus Warga Emas) antara S$600 dengan S$900.

Keluarga yang menetap di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang layak akan mendapat rebat tambahan U-Save antara S$330 hingga S$570 bergantung kepada jenis flat mereka, sementara semua warga emas dan kanak-kanak rakyat Singapura akan mendapat tokokan MediSave sebanyak S$450.

Semua keluarga rakyat Singapura juga akan menerima dua agihan baucar CDC bernilai S$200 setiap satu pada 2023 dan 2024. Baucar-baucar itu boleh digunakan di semua kedai dan pusat penjaja di kawasan kejiranan yang menyertai skim tersebut serta pasar raya utama.

"Sekalipun dengan bantuan ini, sesetengah keluarga yang mudah terjejas mungkin memerlukan lebih banyak sokongan," kata Encik Wong, sambil menambah bahawa mereka dengan keperluan mendesak boleh menghubungi Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) masing-masing untuk mendapatkan bantuan.

Pemerintah akan memberi tokokan S$5 juta kepada Dana Comcare Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) sepanjang lima tahun dan akan memberi dana S$12 juta kepada kumpulan-kumpulan bantu diri selama empat tahun.

Hampir S$40 juta akan diketepikan di bawah Geran Meningkatkan Daya Penghasilan untuk syarikat-syarikat perusahaan membuat permohonan bagi huraian perakaunan dan tempat jualan bersubsidi

SKIM BAUCAR GST DIPERTINGKAT

Skim GSTV sekarang ini terdiri daripada tiga komponen: Bayaran tunai, tokokan MediSave dan rebat bil api air.

Di bawah penambahbaikan ini, rebat bayaran khidmat dan penyenggaraan akan dijadikan sebagai komponen tetap di bawah skim GSTV.

Ambang pendapatan yang boleh dinilai bagi GSTV - Tunai akan dinaikkan dari S$28,000 kepada S$34,000 untuk meliputi lebih ramai rakyat Singapura.

Kuantum GSTV-Tunai juga akan dinaikkan kepada S$500 bagi mereka yang tinggal di rumah dengan nilai tahunan S$13,000 dan ke bawah; dan sehingga S$250 bagi mereka yang tinggal di rumah dengan nilai tahunan antara S$13,000 dengan S$21,000.

"Skim GSTV tetap yang dipertingkat akan terus menawarkan pengimbangan berterusan bagi perbelanjaan GST isi rumah berpendapatan rendah hingga pertengahan dan kebanyakan isi rumah pesara menjangkaui tempoh peralihan yang dirangkumi oleh Pakej Jaminan GST," kata Encik Wong.

Misalnya, skim GSTV dipertingkat akan mengimbangi sepenuhnya keseluruhan GST yang perlu dibayar oleh isi rumah pesara yang tinggal di flat HDB satu hingga empat bilik, sementara bagi kebanyakan pesara yang tinggal di flat-flat besar bayaran GST mereka juga akan diimbangi dengan "jumlah yang ketara", katanya.

"Bagi isi rumah berpendapatan rendah yang tidak mempunyai anggota keluarga warga emas, skim GSTV akan mengimbangi sekitar separuh daripada keseluruhan bayaran GST mereka setiap tahun," katanya lagi.

Encik Wong berkata keluarga berpendapatan rendah khususnya akan "dijaga dengan baik", sambil menambah bahawa langkah-langkah itu memastikan mereka menerima "sokongan yang besar secara berterusan".

"Ini sebabnya kenaikan GST tidak akan menjejas keluarga berpendapatan rendah. Bagi mereka, kesan kenaikan GST akan diimbangi."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan