Skip to main content

Singapura

Kenaikan GST akan bantu S'pura jana pendapatan labur dalam rakyat, prasarana, kata Lawrence Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Feb 2022 06:33PM Dikemas Kini : 09 Feb 2022 09:14PM

SINGAPURA: Kenaikan Cukai Barangan dan Khidmat (GST) yang sudah dirancang akan membantu Singapura untuk menjana pendapatan yang diperlukan untuk melabur dalam rakyat dan prasarana kata Menteri Kewangan, Lawrence Wong hari ini (9 Feb).

Encik Wong memberikan komen itu menerusi satu rakaman video di Faceboook beliau seminggu lalu sebelum kenyataan Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan pada 18 Februari.

Singapura sedang "dalam tempoh yang genting" sedang ia terus menangani pandemik COVID-19 ini, kata beliau, sambil menambah bahawa pemerintah masih "bekerja keras untuk membina Singapura yang lebih baik pada masa hadapan."

"Untuk melakukan demikian, kita harus lebih banyak melabur dalam rakyat dan prasarana sosial. Kenaikan GST ini akan menjana pendapatan yang diperlukan bagi tujuan ini, " kata Encik Wong.

Pendapatan tambahan ini akan dimanfaatkan untuk menyokong keperluan semakin meningkat Singapura dalam jagaan kesihatan dan membolehkannya menjaga warga tua dengan lebih baik, tambah beliau.

Rancangan untuk menaikkan GST sebanyak dua peratusan mata, daripada tujuh peratus kepada sembilan peratus, pertama kali diumumkan pada 2018 sewaktu pembentangan Belanjawan oleh bekas menteri kewangan Encik Heng Swee Keat.

Encik Heng berkata bahawa kenaikan itu akan berlaku antara tahun 2021 dengan 2025. Masa yang tepat ia dilaksanakan akan bergantung kepada faktor seperti keadaan ekonomi.

Dalam rakaman video itu, Encik Wong berkata akan ada beberapa langkah peralihan untuk meringankan kesan kenaikan GST.

"Sebagai contoh, pasangan yang membawa pulang pendapatan sebanyak $5,000 sebulan dan mempunyai dua anak akan menerima sekitar $6,500 dalam faedah di bawah Pakej Jaminan GST," beliau menambah.

Pemerintah juga akan mempertingkat skim baucar GST untuk membantu keluarga perpendapatan rendah.

Encik Wong menambah bahawa beliau akan berkongsi butiran lanjut dalam Kenyataan Belanjawan yang bakal dibentangkan pada 18 Februari pada pukul 3.30 petang.

Kenyataan Belanjawan itu akan disiarkan secara langsung melalui Saluran 5, CNA, CNA938, Capital 958, laman CNA, YouTube CNA, Facebook CNA, 8 World News, YouTube 8 World News, Facebook 8 World News serta meWATCH Mediacorp dan laman Facebook BERITA Mediacorp.

Kemas kini kenyataan itu akan dimuat naik secara langsung ke laman-laman MOF, ataupun melalui saluran media sosial mereka.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita