Skip to main content

Singapura

Kenaikan GST adalah perlu, kata Heng Swee Keat

Kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang diumumkan pada 2018, adalah satu langkah perlu bagi menampung kenaikan dalam perbelanjaan kesihatan serta keperluan-keperluan lain seperti pendidikan prasekolah dan (sektor) keselamatan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kenaikan GST adalah perlu, kata Heng Swee Keat

Menteri Kewangan Heng Swee Keat di parlimen pada 28 Feb.

Diterbitkan : 28 Feb 2019 03:34PM Dikemas Kini : 28 Feb 2019 03:35PM

SINGAPURA: Kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang diumumkan pada 2018, adalah satu langkah perlu bagi menampung kenaikan dalam perbelanjaan kesihatan serta keperluan-keperluan lain seperti pendidikan prasekolah dan (sektor) keselamatan, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat di Parlimen hari ini (28 Feb).

Encik Heng berkata demikian semasa menjawab pertanyaan AP Foo Mee Har yang menggesa Pemerintah supaya menangguhkan kenaikan GST seberapa lama mungkin. Cik Foo menyarankan agar dana yang diketepikan Singapura bagi pelbagai perbelanjaaan masa depan seperti Pakej Generasi Merdeka dan penggunaan pinjaman bagi perbelanjaan prasarana masa depan, digunakan untuk menangguhkan kenaikan GST.

Namun, Encik Heng menekankan bahawa perbelanjaan jagaan kesihatan yang diperlukan "sama sekali pada skala dan dasar berlainan" dari pakej mengikut kohort yang diketepikan untuk Generasi Merdeka.

"Saya menghargai saranan Cik Foo untuk menangguhkan kenaikan GST. Saya ingin memberi jaminan kepadanya dan para ahli Dewan ini bahawa keputusan menaikkan GST bukanlah mudah. Sebagai Pemerintah, ia menjadi tanggungjawab kami untuk merancang masa depan Singapura. Untuk itu, kita perlu membezakan apa yang memerlukan sokongan jangka panjang," kata Encik Heng.

Encik Heng selanjutnya menggariskan bahawa Kementerian Kesihatan menjangkakan perbelanjaan bernilai S$6.1 bilion pada 2019 dalam bentuk subsidi pesakit menerusi skim-skim tetap sedia ada yang bermanfaat bagi semua rakyat Singapura.

Beliau menekankan bahawa perbelanjaan itu tidak termasuk kos untuk mempertingkat kemudahan-kemudahan jagaan kesihatan dan penyelidikan untuk menawarkan rawatan-rawatan lebih berkesan.

"Sedang masyarakat kita kian menua, perbelanjaan bagi skim-skim tetap jagaan kesihatan serta aspek-aspek lain dalam sistem jagaan kesihatan akan terus meningkat secara berstruktur," katanya.

"Membiayai semua itu memerlukan kenaikan struktur dalam pendapatan operasi kita. Dalam erti kata lain, perbelanjaan asas kita kian meningkat. Atas sebab ini, kami melakarkan pakej-pakej khas bagi generasi perintis dan merdeka," tambah Encik Heng.

Setiap masyarakat menua, kata Encik Heng, berdepan dengan cabaran serupa. Beliau menarik perhatian kepada satu kajian Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) tentang perbelanjaan kesihatan awam yang meningkat.

Ia menyarankan setiap pemerintah OECD dianggarkan memerlukan pendapatan tambahan sebanyak 6.5 peratusan mata GDP menjelang 2060.

"Apa yang dimaksudkan 6.5 peratusan mata GDP? Kami dijangka meningkatkan GDP sebanyak 0.7 peratusan mata dengan kenaikan 2 peratusan mata yang dianggarkan," katanya.

Encik Heng turut menekankan bahawa Pemerintah belum lagi memutuskan bila khususnya GST akan dinaikkan tetapi "ia akan berhati-hati apabila melakukannya".

"Kami akan terus memantau keadaan ekonomi, trend perbelanjaan, dan keupayaan mengimbangi pendapatan kami dengan berhati-hati," kata Encik Heng. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita