Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenaikan GST 9%: Sebilangan peniaga rancang serap kenaikan kos apabila GST kuat kuasa

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bimbang perniagaan akan merosot dan akan kehilangan pelanggan apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dinaikkan kepada 9 peratus nanti.

Itulah antara antara yang disuarakan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan para peniaga sendiri berhubung kenaikan GST yang kedengaran semakin hampir dilaksanakan.

Disebabkan itu, sebilangan peniaga kini menyatakan mereka mungkin mengambil langkah strategik dengan menyerap sebahagian kenaikan GST demi lebih bertahan.

APA YANG DIRISAUKAN PARA PENIAGA BILA GST NAIK?

Kenaikan GST kini hanya menunggu masa sahaja untuk dilaksanakan setelah Perdana Menteri Lee Hsien Loong minggu lalu menyatakan, ia akan "digerakkan" menerusi Belanjawan Negara bulan depan, pada 18 Feb .

Para peniaga yang BERITAmediacorp temui juga sudah mula mencongak apa yang akan berlaku apabila GST dinaikkan daripada 7 peratus kepada 9 peratus nanti.

"Hari ini hidangan biasa katalah S$10. (GST) 9% bermakna 90 sen. Ditambah bayaran perkhidmatan, hidangan S$10 kini menjadi S$12. Itu bagi makanan $10. Bagaimana dengan S$100? Akan ada tambahan $19 (dengan caj khidmat). S$19 untuk komponen GST cukup tinggi untuk seorang pelanggan," kata pemilik restoran Cherry & Oak, Hairul Hidayat Isa, kepada BERITAmediacorp.

Kenaikan GST juga akan memberi kesan kepada kos-kos lain seperti pembelian bahan-bahan makanan bagi perniagaan beliau.

"Katakanlah bekalan pembelian daging S$10,000, kalau dua peratus ada tambahan S$200. Jadi itu tambahan kos. Ini baru satu komponen. Kalau komponen seperti sewa, katakan sebanyak S$20,000, itu dah tambahan $400," ujar peniaga 38 tahun itu, yang baru membuka restorannya itu tiga bulan lalu.

Pengarah Urusan Amani Weddings Pte Ltd, Encik Mohamed Nor Ismail, juga menjangkakan bahawa peningkatan kos yang perlu dipikul akan agak ketara nanti dengan kenaikan GST.

--

"Kalau kita tempah di Ballroom atau hotel. Mereka akan mengecas tambahan (++). Maknanya sekitar 10% dan tambah lagi pula 9% GST. Jadi 2% daripada Ballroom sendiri boleh berharga sekitar beberapa ratus dolar. Itu belum termasuk barang-barang mentah kita perlu beli, gas, elektrik," kongsi Encik Nor.

DPPMS menyatakan, itulah yang banyak bermain di fikiran para peniaga - mereka bimbang jika peniaga menaikkan harga, para pelanggan mungkin akan lari.

PARA PENIAGA PERLU BUAT PERSEDIAAN DALAM FASA PERALIHAN

Disebabkan itu Dewan yang menaungi lebih 700 peniaga Melayu/Islam itu menasihatkan para anggotanya supaya membuat persediaan dalam fasa peralihan sekarang ini, sebelum GST dinaikkan nanti.

"Masih ada lima, enam minggu sebelum Belanjawan, mereka perlu gunakan masa ini untuk memberitahu para pelanggan mereka jadi mereka tahu bahawa harga akan naik. Ini akan dapat mengelakkan reaksi negatif," ujar Pengarah Eksekutif DPPMS, Encik Azrulnizam Shah.

--

Para peniaga, tambah beliau, kemudian perlu bertanya sama ada pihak syarikat boleh menyerap kenaikan kos semasa fasa peralihan.

Sebahagian syarikat yang ditinjau BERITAmediacorp akur bahawa demi kekal berdaya saing di tengah-tengah kenaikan GST nanti, penyerapan kos suatu strategi utama yang sedang mereka fikirkan.

Ini pandangan Encik Hairul: "Kita sebagai pemilik perniagaan semestinya perlu menyerap kenaikan GST - harga lebih tinggi kepada kita.

--

"Mungkin pada nisbah 70:30. 70 peratus untuk kita buat penyesuaian dan menambah kepada harga jualan. Sementara 30 peratus adalah kerugian yang syarikat harus serap untuk menjadi bersaing dan menarik di mata pelanggan."

Encik Nor pula menambah, bagi perspektif perniagaan perkahwinannya, "apa yang kita boleh buat adalah untuk kekalkan harga pakej buat masa sekarang ini dan kita perlu serap GST".

Ini juga bermakna bahawa syarikatnya perlu "potong sikit" keuntungan.

JENIS SYARIKAT YANG LEBIH TERJEJAS

Pukulan GST dijangka menjejas syarikat-syarikat secara berbeza-beza.

--

Ia bergantung kepada cara sesebuah syarikat beroperasi, menurut DPPMS.

"Industri-industri yang mungkin terjejas adalah dalam industri seperti pengubahsuaian, renovasi, ataupun yang mengendalikan acara, mengendalikan majlis kerana saiz-saiz kontrak ini - maksudnya adalah selalunya berpuluhan ribu dolar," terang Encik Azrulnizam.

"Jadi kenaikan 2 peratus ni adalah signifikan bagi mereka."

Tapi bagi syarikat-syarikat yang menjual produk-produk atau khidmat-khidmat yang lebih murah, kata beliau, ia mungkin tidak akan begitu terjejas kerana peningkatan GST juga akan jauh lebih kecil.

GST kali terakhir dinaikkan pada tahun 2007 di Singapura.
 

Sumber : BERITAmediacorp/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa