Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenaikan gaji perkhidmatan awam gesa majikan nilai semula pampasan, faedah pekerja lain

Kenaikan gaji yang bakal diberikan kepada para pegawa awam selaras dengan keadaan pasaran dan boleh memberi kesan pada gaji bagi sektor swasta, menurut pakar-pakar sumber manusia.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kenaikan gaji yang bakal diberikan kepada para pegawa awam selaras dengan keadaan pasaran dan boleh memberi kesan pada gaji bagi sektor swasta, menurut pakar-pakar sumber manusia.

Pada Ahad (5 Jun), Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) mengumumkan gaji pegawai awam dalam skim-skim biasa akan disesuaikan bagi "mengikut rentak pasaran".

Kenaikan gaji itu - yang dijadualkan berkuat kuasa Ogos - adalah antara lima peratus hingga 14 peratus, dengan kenaikan lebih tinggi bagi pegawai awam dengan jurang pendapatan lebih besar berbanding penanda aras pasaran selain mereka di tangga gaji lebih rendah.

PSD menyatakan perkhidmatan awam juga akan meningkatkan inisistif-inisiatif pembangunan dan memperkenalkan lebih banyak aturan kerja fleksibel bagi menjadikan kerjaya dalam perkhidmatan awam lebih menarik.

PSD turut menekankan dalam kenyataan medianya bahawa perkhidmatan awam menilai semula gaji-gajinya bagi "memastikan ia secara amnya seiring tetapi bukan menentukan tanda aras pasaran".

KENAIKAN GAJI BAGI PENJAWAT AWAM

Para pegawai dalam Skim Eksekutif Pengurusan (MXS), Skim Sokongan Pengurusan(MSS) dan Skim Sokongan Korporat (CSS) akan menerima penyesuaian gaji antara lima hingga 10 peratus, dengan penyesuaian lebih tinggi bagi gred-gred dengan jurang lebih besar dengan penanda aras pasaran.

Para pegawai dalam Skim Sokongan Operasi (OSS) pula akan menerima penyesuaian lebih tinggi antara enam hingga 14 peratus.

Selain penyesuaian ini, PSD bekerjasama dengan Gabungan Kesatuan Pekerja Awam (AUPE) bagi mereka bentuk semula pekerjaan para pegawai OSS, meningkatkan kemajuan kerjaya dan meningkatkan daya penghasilan dalam jangka panjang.

Sekitar 23,000 pegawai akan meraih manfaat daripada penyesuaian gaji itu. Mereka menggalas pelbagai peranan dalam perkhidmatan awam, dari penggubalan dasar hingga ke kerja-kerja pentadbiran dan operasi.

Semakan gaji terakhir kali dilakukan ke atas perkhidmatan awam pada 2014.

Pakar-pakar yang ditemui Mediacorp berkata bahawa terdapat kekurangan bakat secara meluas, dengan kebanyakan syarikat mendapatinya semakin sukar untuk mendapatkan pekerja dan mengisi jawatan kosong.

KESAN TERHADAP SEKTOR SWASTA

Encik Peter Hamilton, Naib Presiden APAC dan Pengarah Urusan di KellyOCG, berkata ada kemungkinan ia juga akan meninggalkan "kesan" pada pasaran, dengan memaksa majikan untuk turut menilai semula pampasan serta faedah yang ditawarkan dalam bidang-bidang lain.

Cik Linda Teo, Pengurus Negara ManpowerGroup Singapore, berkata ini "secara tidak langsung menetapkan tanda aras" bagi syarikat-syarikat dalam sektor swasta serta akan menjejas perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (SME).

Pakar-pakar menekankan gaji bukanlah satu-satunya faktor di sini. Encik Hamilton menambah selain menyemak semula pampasan dan faedah bagi pekerja, ia juga penting untuk menilai pengalaman pekerja selain memelihara kesejahteraan mental dan kesihatan mereka.

Beliau berkata secara global, 37 peratus jangkaan pekerja sudah berubah sejak pandemik melanda, sambil merujuk kepada tinjauan Re:Work global yang dijalankan oleh KellyOCG.

Mereka mempunyai jangkaan lebih tinggi mengenai keseimbangan antara kerja dengan kehidupan, faedah dan sokongan bagi kesejahteraan diri mereka, kata Encik Hamilton.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan