Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenaikan gaji jururawat harus selaras dengan perkembangan kerjaya secara keseluruhan - Pakar

Jururawat dalam sektor penjagaan kesihatan awam serta karyawan kesihatan boleh menjangkakan kenaikan gaji antara 5 dengan 14 peratus, secara bertahap mulai Julai nanti.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Mar 2021 06:40PM Dikemas Kini : 07 Mar 2021 08:45PM

SINGAPURA: Jururawat dalam sektor penjagaan kesihatan awam serta karyawan kesihatan boleh menjangkakan kenaikan gaji antara 5 dengan 14 peratus, secara bertahap mulai Julai nanti.

Menurut karyawan industri itu langkah tersebut berada di landasan yang tepat untuk menarik lebih ramai bakat tempatan ke sektor berkenaan. Bagaimanapun, ia juga harus selaras dengan langkah-langkah meningkatkan pembangunan kerjaya secara keseluruhan.

Bagi Cik Seri Sastika yang berusia 38 tahun, beliau tidak menganggap kerjayanya sebagai jururawat satu tugas semata-mata sekadar untuk dapat gaji.

Sejak menceburi bidang itu 18 tahun lalu, ia satu tanggungjawab besar yang harus digalas dengan sepenuh hati dan ikhlas.

Sebagai jururawat kanan di Hospital Universiti Nasional (NUH), beliau mempunyai pelbagai peranan.

Bukan saja menjaga pesakit, Cik Seri juga perlu memastikan operasi harian di wad berjalan dengan lancar.

Semasa pandemik COVID-19 memuncak di sini tahun lalu, beliau juga menerajui sebuah pasukan jururawat untuk menubuhkan dan mengendalikan Kemudahaan Jagaan Masyarakat Tuas South.

Beliau menyifatkan pengalaman tiga bulan menjaga pekerja asing pada ketika itu antara detik paling penting dalam kerjaya beliau.

Pengumuman berhubung peningkatan gaji jururawat daripada lima peratus hingga 14 peratus, menurut Cik Seri, mencerminkan bagaimana peranan mereka sudah berubah.

Buat masa ini, gaji permulaan jururawat berkelulusan diploma adalah S$2,300 sebulan dan jururawat NITEC pula S$1,740 tidak mengambil kira CPF pekerja dan komponen lain.

Kementerian Kesihatan (MOH) juga sedang meningkatkan latihan di bawah Program Penukaran Profesional (PCP) yang menyasarkan golongan pekerja pertengahan kerjaya.

Ini termasuk lebih ramai jururawat PCP dan program dipertingkat supaya dapat memastikan para pelatih juga dapat menyertai tenaga kerja lebih awal lagi.

Sementara itu, pemerintah juga akan meningkatkan sokongan dana bagi pertubuhan penjagaan masyarakat yang dibiayai awam untuk memastikan gaji kakitangan mereka kekal berdaya saing.

Sumber : CNA/RU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan