Skip to main content

Singapura

Kemungkinan berlaku jerebu di SG rendah meski jumlah tompok panas di Sumatera meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
Kemungkinan berlaku jerebu di SG rendah meski jumlah tompok panas di Sumatera meningkat

Gambar: CNA/Hidayah Salamat

Diterbitkan : 17 Oct 2023 07:58PM Dikemas Kini : 17 Oct 2023 07:59PM
SINGAPURA: Terdapat kemungkinan yang rendah jerebu akan menjejas Singapura, sekalipun jumlah tompok panas yang dikesan di Singapura meningkat.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan dalam makluman jerebu harian pada Selasa (17 Okt), bahawa cuaca akan kekal kering di kebanyakan daerah.

Sebanyak 530 titik panas secara keseluruhannya dikesan di selatan dan tengah Sumatera, dengan lebih 285 tompok panas dikesan pada Isnin, tambah agensi tersebut. Jerebu asap di selatan dan tengah Sumatra juga didapati bertiup ke arah barat laut.

"Lebih banyak hujan diramalkan berlaku di Singapura dan daerah sekeliling mulai esok. Angin dijangka bertiup sebahagian besarnya dari tenggara atau selatan, dan akan melemah dan berubah-ubah arah dalam beberapa hari seterusnya.

"Kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan yang menjejas Singapura diramalkan rendah," menurut NEA.

Setakat pukul 6.00 petang, bacaan PM2.5 sejam berada dalam julat normal sementara Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam berada dalam julat sederhana antara 51 hingga 65.

Bagi 24 jam seterusnya, PSI di Singapura diramalkan berada dalam julat sederhana juga.

Langit kebanyakannya cerah sejak 7 Oktober lalu semasa mutu udara merosot ke julat tidak sihat buat kali pertama sejak 2019.

Kepulan asap dari kebakaran hutan di tengah dan selatan Sumatera ditiup angin menghala ke Singapura pada 7 dan 8 Oktober, yang sekali gus menyebabkan keadaan berjerebu berlaku.

Cuaca hujan yang melanda Singapura dan daerah sekeliling minggu lalu mengurangkan kemungkinan berlakunya jerebu.

Lebih banyak hujan diramalkan di Asia Tenggara dalam dua minggu akan datang, yang mungkin dapat memperbaiki keadaan, serta mengurangkan berlakunya jerebu rentas sempadan yang menjejas Singapura.

"Kemungkinan bacaan PSI 24 jam mencecah julat tidak sihat di Singapura adalah rendah bagi dua minggu akan datang," dedah Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MetService) pada Isnin dalam makluman cuaca bagi dua minggu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita