Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemudahan warga emas, prasekolah tingkatkan langkah pencegahan COVID-19

Beberapa kemudahan warga emas seperti rumah rawatan meningkatkan langkah-langkah pencegahan berikutan pertambahan besar jumlah kes COVID-19 di sini.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Beberapa kemudahan warga emas seperti rumah rawatan meningkatkan langkah-langkah pencegahan berikutan pertambahan besar jumlah kes COVID-19 di sini.

Ia termasuk menghadkan jumlah pelawat dan memastikan pemakaian pelitup.

Dalam tempoh antara 5 hingga 11 Mei, sekitar 26 ,000 kes COVID-19 dicatatkan iaitu hampir seganda lebih banyak berbanding seminggu sebelumnya.

Bagi rumah penjagaan warga emas Thye Hua Kwan (THK) misalnya, ia tidak lagi membenarkan pelawat ke kemudahan itu menyusuli pengumuman pada Sabtu (18 Mei).

Namun, sejak itu peraturan tersebut telah dilonggarkan.

Kini, tidak lebih daripada lima pelawat dibenarkan masuk pada satu-satu masa selepas kes jangkitan harian mula merosot.

Ia juga menambah bekalan alat perlindungan peribadi (PPE) bagi meliputi tempoh sebulan seandainya keadaan menjadi teruk.

Jika ia berlaku, THK mungkin akan menghentikan semua program melibatkan sukarelawan, dan menetapkan ruang pengasingan bagi penghuni yang mempunyai gejala atau positif COVID-19.

Pelawat juga tidak akan dibenarkan ke rumah jagaan itu.

Beberapa kemudahan kanak-kanak dan prasekolah yang dihubungi pula berkata tiada langkah tambahan dilaksanakan setakat ini.

Namun, persiapan sudah dibuat sekiranya keadaan menjadi lebih teruk.

“Jika keadaan menjadi lebih teruk, kami akan tingkatkan langkah pencegahan COVID-19 dan kebersihan diri dengan lebih kerap," kata Win Moh Han, pegawai kanan prasekolah Tzu Chi Great Love.

"Kami juga akan melakukan pemeriksaan kesihatan, setiap pagi dan juga pada sebelah petang selepas tidur siang. Ini bagi memastikan kanak-kanak selamat dan juga sihat," tambahnya.

Kanak-kanak di taman permainan pula dikehendaki memakai stokin dan diperiksa bagi sebarang gejala COVID-19.

Mereka yang batuk atau menunjukkan simpton demam selesema tidak akan dibenarkan ke taman permainan.
Sumber : CNA/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan