Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemudahan latihan AI dilancarkan di Kolej Tengah ITE, kerjasama dengan firma teknologi Nvidia

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jan 2022 03:34PM Dikemas Kini : 19 Jan 2022 08:59PM

SINGAPURA: Sebuah kemudahan latihan Kecerdasan Buatan (AI) dilancarkan hari ini (19 Jan) di Kolej Tengah Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dengan kerjasama firma teknologi Nvidia.

Syarikat itu terkenal dengan teknologi pengkomputeran grafik, yang memainkan peranan besar dalam metaverse.

Kemudahan di Kolej Tengah ITE itu akan menempatkan platform superkomputer Nvidia, yang digunakan bagi pembangunan aplikasi AI.

Para penuntut akan bekerjasama dengan syarikat itu untuk membangunkan huraian-huraian AI untuk menangani keperluan perniagaan, menurut kolej itu dalam satu kenyataan media.

Kerjasama antara ITE dengan Nvidia akan menyediakan para penuntut ITE dengan "beberapa keupayaan AI" untuk masa depan, kata Menteri Pendidikan, Chan Chun Sing di majlis pelancaran itu.

"Para penuntut akan didedahkan kepada kemahiran dalam visi komputer, pengecaman corak dan analitik data serta dilatih untuk menyokong aplikasi AI dalam penyenggaraan ramalan, pemeriksaan industri dan analitik video,” tambah beliau.

Hampir 400 pelajar akan mendapat manfaat daripada perkongsian itu setiap tahun, menurut ITE.

Nvidia juga akan melatih para pensyarah ITE dan jurulatih bertauliah, yang akan menyampaikan kurikulum AI syarikat itu kepada para penuntut.

Singapura menyasarkan untuk menjadi peneraju dalam membangunkan dan menggunakan huraian-huraian AI menjelang tahun 2030, kata Encik Chan.

"Untuk mencapai sasaran menggunakan AI dalam ekonomi kita, kemahiran dan peranan kerja yang meluas diperlukan.

Sistem pendidikan Singapura memainkan peranan penting untuk mengasah bakat dalam sektor itu, kata Encik Chan.

Walaupun universiti masih melatih para mahasiswa untuk memenuhi permintaan yang tinggi dalam mencari bakat AI, para karyawan AI yang "serba terlatih" tidak boleh dipenuhi hanya menerusi "saluran tunggal" lulusan universiti sahaja, tambah beliau.

"Politeknik dan ITE kita merupakan sumber penting bakat bagi peranan-peranan ini."

Nvidia mempunyai ekosistem rakan kongsi yang "kuat", dan tujuannya adalah untuk para penuntut bekerjasama dengan syarikat pemula itu berhubung masalah dalam dunia sebenar, kata Encik Ang dari Nvidia.

Platform superkomputer Nvidia juga "sangat penting" bagi para penuntut yang ingin mengusahakan projek AI dan ia akan membolehkan mereka mempelajari cara menggunakan peralatan dunia sebenar apabila mereka mendapat pekerjaan dalam industri AI, tambahnya.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan