Skip to main content

Singapura

Kemudahan jagaan masyarakat baru bagi pesakit COVID-19 stabil dengan penyakit lain: MOH

Kemudahan jagaan masyarakat yang baru akan dibangunkan untuk menyediakan jagaan klinikal kepada pesakit COVID-19 yang stabil namun menghidap penyakit lain, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (19 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Kemudahan jagaan masyarakat baru bagi pesakit COVID-19 stabil dengan penyakit lain: MOH

(Gambar: Google Maps/NTUC Health)

Diterbitkan : 20 Sep 2021 08:05AM Dikemas Kini : 20 Sep 2021 08:30AM

SINGAPURA: Kemudahan jagaan masyarakat yang baru akan dibangunkan untuk menyediakan jagaan klinikal kepada pesakit COVID-19 yang stabil namun menghidap penyakit lain, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (19 Sep).

Pesakit yang akan dimasukkan ke kemudahan sedemikian termasuk mereka yang mengalami simptom atau lazimnya sihat secara klinikal namun menghidap penyakit lain yang memerlukan pemantauan lebih teliti sepanjang tempoh menghidap penyakit itu.

Menurut MOH ini akan bantu mengurangkan beban hospital di Singapura, supaya hanya mereka yang benar-benar perlu rawatan perubatan khusus, seperti bantuan oksigen tambahan dan jagaan rapi akan mendapatkan rawatan perubatan di hospital.

Kemudahan jagaan masyarakat baru ini akan menyediakan perlindungan perubatan lebih menyeluruh dan menguruskan pesakit warga emas yang berada dalam keadaan stabil, mempunyai gejala ringan dan/atau menghidap penyakit atau keadaan perubatan kronik yang membuat mereka lebih mudah jatuh sakit.

MOH menambah bahawa sementara warga emas sedemikian tidak berisiko tinggi jatuh sakit teruk sehingga memerlukan bantuan oksigen tambahan atau jagaan dalam unit jagaan rapi (ICU), mereka memerlukan pemantauan teliti bagi sebarang tanda-tanda awal keadaan bertambah teruk dari segi klinikal.

"Bagi sebilangan kecil daripada mereka yang mana keadaan mereka bertambah teruk, mereka akan segera dihantar balik ke hospital bagi penjagaan lanjut," menurut MOH.

Kemudahan jagaan masyarakat baru yang dipertingkat itu juga akan dilengkapi dengan lebih ramai kakitangan perubatan dan disediakan alat pemantauan perubatan "bagi memastikan tahap jagaan optimal bagi pesakit", menurut MOH.

KEMUDAHAN PERTAMA DI TAMPINES

MOH menyatakan ia sedang bekerjasama dengan Woodlands Health untuk menubuhkan kemudahan pertama seumpamanya dengan mengubah suai Rumah Jagaan NTUC Health (Tampines).

Kemudahan itu akan mempunyai 250 katil dan mula beroperasi pada 23 September.

Penghuni di rumah jagaan itu sudah dipindahkan ke cawangan lain Rumah Jagaan NTUC Health, menurut MOH.

"Aturan jagaan alternatif juga sudah disediakan bagi mereka yang menunggu untuk dimasukkan ke rumah jagaan ini. Kami berterima kasih kepada keluarga dan waris penghuni rumah jagaan berkenaan dan NTUC Health atas pemahaman dan kerjasama mereka dalam memudahkan peralihan ini bagi memenuhi keperluan negara."

Pesakit COVID-19 dari rumah jagaan itu akan diberi keutamaan dimasukkan ke kemudahan baru tersebut, kata MOH, sambil menambah bahawa ini akan membantu mengurangkan penularan lanjut dalam kemudahan jagaan jangka panjang jika sebarang kes dikesan dalam kalangan penghuni.

MOH menyatakan ia juga sedang bekerjasama dengan penyedia khidmat sedia ada untuk mempertingkatkan beberapa kemudahan jagaan masyarakat menjadi kemudahan jagaan masyarakat yang dipertingkat.

Ini termasuk kemudahan jagaan masyarakat Raffles Medical Group di Connect@Changi. Kemudahan itu akan menyediakan 50 katil apabila ia beroperasi sepenuhnya pada 24 September.

JANGAN DATANG KE A&E JIKA TIADA SIMPTOM ATAU GEJALA RINGAN

Dengan lebih ramai pesakit COVID-19 dimasukkan ke kemudahan jagaan masyarakat, kemudahan-kemudahan itu akan beroperasi sepanjang masa, menurut MOH.

"Kami mohon pemahaman dan kerjasama pesakit COVID-19 untuk mematuhi waktu penghantaran yang ditetapkan meskipun jika ia pada lewat malam. Ini bagi memastikan mereka dapat dihantar dengan cepat ke kemudahan jagaan masyarakat itu."

MOH juga menyatakan bahawa ia sedang memantau kapasiti hospital dan menggesa mereka yang mengalami simptom ringan supaya berjumpa doktor di klinik Swab dan Hantar Pulang dan tidak ke hospital.

Kes COVID-19 yang tidak bergejala "harus terus duduk di rumah dan dapatkan konsultasi teleperubatan dahulu jika mereka mula berasa kurang sihat", menurut MOH.

"Ini bagi mengelakkan lawatan ke jabatan A&E (kemalangan dan kecemasan) yang mungkin meningkatkan risiko mereka menyebarkan COVID-19 kepada orang lain dalam masyarakat," menurut MOH. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita