Skip to main content

Singapura

Kemudahan Debug diperluas; hasilkan 10 juta nyamuk Wolbachia seminggu

Sebuah kemudahan pembiakan nyamuk di Singapura kini mampu membiak 10 juta nyamuk jantan Wolbachia setiap minggu berbanding 6 juta pada 2024.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 May 2026 07:50PM Dikemas Kini : 09 Jun 2026 02:49PM
SINGAPURA: Sebuah kemudahan pembiakan nyamuk di Singapura kini mampu membiak 10 juta nyamuk jantan Wolbachia setiap minggu berbanding 6 juta pada 2024.

Debug, sebuah inisiatif Google, mengumumkan peluasan hab penyelidikan dan pengembangan (R&D) tersebut, yang mempercepatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam usaha globalnya untuk menangani penyakit bawaan nyamuk.

Menurut syarikat tersebut, ia akan memperkenalkan huraian yang terbukti lebih berkesan dari segi kos untuk melindungi masyarakat Asia Pasifik.

Nyamuk boleh dikatakan sebagai haiwan paling berbahaya di dunia.

Haiwan tersebut merupakan punca bagi sekurang-kurangnya 750,000 kematian di dunia setiap tahun kerana ia membawa penyakit seperti denggi, Zika dan Chikugunya.

Dengan bantuan kemudahan seperti yang diusahakan oleh Google, Singapura dapat menggunakan nyamuk untuk memerangi masalah yang disebabkan oleh serangga tersebut.

"Ideanya adalah untuk membawa teknologi ini ke sebuah negara untuk membangunkan lebih banyak program Wolbachia dan melaluinya, kami dapat melindungi lebih ramai orang.

"Kami berharap penyakit bawaan nyamuk akan berkurangan pada masa akan datang," kata Ketua Pembangunan Perniagan Debug, Google, Monica Tsai.

Projek Wolbachia Singapura membiak nyamuk Aedes aegypti jantan yang membawa bakteria Wolbachia.

Apabila nyamuk jantan tersebut mengawan dengan nyamuk betina, telurnya tidak menetas.

Lantas, perkembangan tersebut mengurangkan jumlah nyamuk sebanyak 90 peratus di sebilangan estet perumahan di negara ini.

Malah, nyamuk jantan tersebut juga tidak menggigit manusia.

Syarikat Debug menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan automasi untuk mengasing-asingkan nyamuk mengikut jantina pada skala besar dan kepantasan yang tinggi.

Dengan cara sedemikian, hanya nyamuk jantan disimpan.

Pembantu robot menjaga serangga-serangga tersebut pada setiap tahap kitaran kehidupannya, termasuk memberi makanan dan mengasingkan jentik-jentik jantan yang lebih kecil.

Dengan meluaskan operasi, Debug berharap ia dapat memanfaatkan kepakaran Singapura untuk membantu seluruh rantau ini.

"Singapura negara sangat penting bagi kami di Google di mana kami percaya banyak inovasi berlaku. Dan terdapat himpunan bakat yang sangat mendalam di sini.

"Jadi kami ingin memanfaatkannya dan berpusat di mana masalahnya berada. 70 peratus beban global hanya berada dalam jarak beberapa jam penerbangan dari Singapura.

" Jadi kami menyelesaikannya dari Singapura untuk Asia Tenggara dan selanjutnya berhubung salah satu masalah yang paling lama wujud," kata Cik Tsai.

Pada 2025, Singapura mencatat lebih 4,000 kes demam denggi, iaitu 70 peratus lebih rendah berbanding 2024.

Dalam pada itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) meluaskan Projek Wolbachia ke Bukit Panjang, Little India, Pioneer, Toa Payoh dan Ang Mo Kio, dari April hingga Oktober.

Menjelang akhir tahun, projek itu disasar meliputi separuh estet perumahan di Singapura.
Sumber : CNA/QA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita