Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemudahan baru bagi S'pore Boys' Home, lebih sokongan pemulihan bagi belia berisiko

Sebuah padang bola sepak, dewan sukan tertutup dan makmal sains adalah antara kemudahan-kemudahan baru di Singapore Boys' Home (SBH) yang pihak berkuasa berharap dapat menyokong perjalanan pemulihan para penghuni.

Anggaran Waktu Membaca:
Kemudahan baru bagi S'pore Boys' Home, lebih sokongan pemulihan bagi belia berisiko

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 22 Nov 2021 06:44PM Dikemas Kini : 22 Nov 2021 06:49PM

SINGAPURA: Sebuah padang bola sepak, dewan sukan tertutup dan makmal sains adalah antara kemudahan-kemudahan baru di Singapore Boys' Home (SBH) yang pihak berkuasa berharap dapat menyokong perjalanan pemulihan para penghuni.

Terdapat juga sebuah perpustakaan, blok kediaman yang mempunyai ciri-ciri "seperti di rumah" bagi para penghuni yang sedang menjalani skim pelepasan hari serta satu bahagian bagi lawatan ibu bapa yang dipertingkatkan.

Semua itu didedahkan pada Isnin (22 Nov) semasa pelancaran rasmi premis baru Singapore Boys' Home di Bulim Drive di Jurong.

Bangunan itu merupakan kemudahan kediaman belia yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Pemindahannya ke Bulim Drive pada 2019 membolehkan Pemerintah untuk "mempertingkatkan usaha pemulihan belia", kata Setiausaha Parlimen bagi Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua di majlis pelancaran itu.

(Gambar: Mediacorp)

Makmal sains di Singapore Boys' Home. (Gambar: Mediacorp)

"SBH sentiasa menyesuaikan pendekatan pemulihannya untuk kekal relevan dan berkesan.

"Sebelum peralihan abad ini, tumpuan SBH adalah untuk memastikan bahawa para penghuni dilengkapi dengan kemahiran 'hands-on' supaya mereka boleh mencari pekerjaan dan mendapatkan mata pencarian sebelum dibebaskan," katanya.

"Sepanjang sedekad lalu, kami membangunkan sebuah sekolah di bangunan itu, dengan guru-guru berkelayakan dari Kementerian Pendidikan (MOE)...Sekolah itu bersama dengan pelbagai program termasuk terapi, program keluarga, seni, sukan, muzik, pendampingan dan banyak lagi, memanfaatkan para penghuni dengan baik."

PROGRAM-PROGRAM UNTUK TINGKATKAN POTENSI

Misalnya, sebuah program bola sepak dilaksanakan bagi para penghuni remaja dengan kerjasama SportCares.

"Sukan sudah lama diiktiraf sebagai wadah bagi para penghuni untuk mempelajari tentang kemahiran sosial dan menghayati tabiat pro-sosial seperti semangat kesukanan dan saling menghormati," menurut MSF.

(Gambar: Mediacorp)

Dewan sukan tertutup di Boys' Home. (Gambar: Mediacorp)

Boys' Home juga menerapkan teknologi digital dalam pembelajaran kemahiran sosio-emosional dan pendidikan para penghuni, menurut MSF.

Pada tahun depan, para penghuni secara bertahap-tahap boleh menggunakan tablet untuk mengakses sumber dan aplikasi pembelajaran sendiri yang melengkapi pembelajaran secara bertemu muka di bilik darjah.

Inisiatif digital itu diharapkan dapat menggalakkan "pembelajaran kendiri" dan "kemahiran pertanyaan kritikal", sekaligus menyediakan para penghuni bagi ekonomi digital, menurut MSF.

Selain itu, Boys' Home juga sedang melakarkan latihan amali dan program bimbingan kemahiran bekerja bagi para penghuni. Salah satu rakan kongsi masyarakat sedemikian adalah Bettr Barista.

"Dari program-program barista kopi dalam SBH kepada program latihan amali dan bimbingan kemahiran bekerja dalam masyarakat, SBH sedang mencuba pelbagai cara untuk menawarkan pelbagai laluan kepada para penghuni untuk menceburi minat mereka, di mana mereka boleh menceburi kerjaya apabila mereka dibebaskan," kata Encik Chua.

TALIAN KELUARGA DAN MASYARAKAT ADALAH PENTING

Menjangkaui Boys' Home, mengukuhkan talian hubungan antara para penghuni, keluarga dan masyarakat adalah tumpuan utama mereka.

Keluarga penghuni "terlibat secara aktif" sejak tempoh kemasukan, kata Encik Chua.

"Para pegawai kes memudahkan penghuni dan keluarganya untuk membuat komitmen, seperti bersifat terbuka kepada pandangan lain yang dikongsi antara satu sama lain dan mengambil bahagian secara aktif dalam program-program keluarga bagi mengukuhkan hubungan yang terjalin.

(Gambar: Mediacorp)

Bilik bagi lawatan ibu bapa yang dipertingkatkan. (Gambar: Mediacorp)

"Keluarga-keluarga dengan lebih keperluan juga akan menghadiri sesi terapi keluarga yang dijalankan oleh pakar psikologi, untuk mengukuhkan keupayaan keluarga itu untuk menyediakan jagaan dan pemantauan yang berkesan."

Sebaik sahaja dibebaskan, para penghuni akan diberi sokongan oleh para pegawai selama setahun.

Para pegawai itu akan terus membimbing mereka untuk mengamalkan kemahiran yang dipelajari di Boys' Home.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan