Skip to main content

Singapura

Kempen TAA Sinaran Hati 2025 berjaya kumpul $200,000 dalam masa sebulan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Oct 2025 07:37PM Dikemas Kini : 18 Oct 2025 10:43PM
SINGAPURA: Tabung Amal Adilfitri (TAA) sejauh ini berjaya mengumpulkan sekitar $200,000 menerusi kempen amalnya yang dijalankan sejak pertengahan bulan lalu.

Kempen Amal Sinaran Hati 2025 yang berlangsung selama dua bulan dari 15 September hingga 18 November 2025, menyasarkan pengumpulan dana sebanyak $350,000.

Pihak TAA memberikan perkembangan terkini itu kepada BERITA Mediacorp selepas satu sesi penstriman langsung, antara usaha mengumpul dana pihak TAA sepanjang kempennya.

Sesi yang berlangsung selama dua jam di acara Celebfest 2025 di Pusat Konvensyen Suntec City itu berjaya mengumpulkan lebih $42,000 menerusi sumbangan korporat serta orang awam.

Menurut Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Mohd Najiib Sahib, kempen amal tersebut diadakan sebagai usaha tambahan menyusuli kegiatan mengumpul dana pihak TAA semasa bulan Ramadan.

Beliau berkata: “Dana yang dikumpul pada Ramadan sahaja tidak mencukupi untuk mencapai matlamat agihan tahunan TAA sebanyak S$2 juta kepada keluarga berpendapatan rendah di seluruh Singapura. Justeru, kempen Sinaran Hati ini amat penting bagi memastikan TAA dapat terus memberikan bantuan bermakna kepada mereka yang memerlukannya.”

Menurut Encik Mohd Najiib, jumlah sebanyak S$2 juta itu adalah yang tertinggi pernah diketepikan TAA untuk menyokong para penerima bantuannya.

Sewaktu Kempen Dana Amal TAA-Ramadan yang dijalankan semasa tempoh bulan Ramadan dan Syawal, TAA telah berjaya mengumpulkan $818,000.

Baca: https://berita.mediacorp.sg/singapura/indahnya-ramadan-taa-kumpul-s818000-hampir-separuh-jumlah-sasaran-bagi-agihan-2026-924046

JUMLAH KUTIPAN DERMA SEMASA PENSTRIMAN LANGSUNG PECAH REKOD TAHUN LALU

Kutipan yang diterima menerusi penstriman langsung itu mencatat rekod baharu, melepasi jumlah tahun lalu sebanyak S$35,500 yang dikumpulkan dalam tempoh enam jam semasa acara Celebfest 2024.

Sebanyak S$40,000 daripada jumlah kutipan yang dikumpul semasa penstriman langsung itu adalah menerusi sumbangan oleh syarikat Maybank dan Kuok Group Singapore.

Syarikat-syarikat itu masing-masing menderma S$20,000 kepada kempen amal TAA Sinaran Hati 2025 itu.

Sesi itu disiarkan serentak di semua platform media sosial rasmi TAA iaitu di akaun Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Negara, Dr Syed Harun Alhabsyi turun padang ke acara Celebfest untuk merasmikan sesi penstriman langsung itu.

Ia turut dihadiri para tetamu jemputan, penderma, rakan kongsi serta penerima bantuan TAA.

Sebagai tambahan kepada rancangan penstriman langsung dan derma yang dikumpul di Celebfest 2025, TAA juga bekerjasama dengan stesen radio Mediacorp WARNA 942FM sepanjang bulan Oktober untuk melakukan promosi dan rayuan derma.

Dr Syed Harun berkata: "Gabungan antara TAA bersama Celebfest dan juga WARNA adalah gabungan penting. Ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat baik daripada badan-badan amal seperti TAA dan juga menggabung sumbangan daripada pihak korporat dan pihak swasta. Ini dapat meraih manfaat dari segi inovasi, sumber dan membawa para peniaga untuk memikirkan keperluan masyarakat. Inisiatif ini penting dan saya rasa patut diteruskan."

Antara acara menarik sepanjang penstriman langsung TAA itu termasuk persembahan istimewa oleh pemuzik tempatan, Art Fazil.

Beliau mempersembahkan buat pertama kali lagu rasmi kempen TAA Sinaran Hati 2025 yang bertajuk “Tabung Amal Aidilfitri – Sinaran Hati”.

Lagu tersebut digubah oleh beliau sendiri dengan lirik hasil kerjasama bersama Encik Mohd Najiib.

Selain daripada mengumpul dana, penyertaan TAA di Celebfest bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai, terutamanya di kalangan anak muda, tentang badan tersebut.

"Sebagaimana kita tahu, TAA ditubuhkan lebih 30 tahun lalu. Masyarakat yang bersama kita sejak awal penubuhan TAA, mereka sudah sampai umur tua. Jadi keterlibatan kita dalam Celebfest, kita harap dapat jalinkan hubungan TAA dengan masyarakat lebih muda dan harap hubungan ini dapat berterusan sebagaimana ia berlaku pada masa-masa lalu," jelas Encik Mohd Najiib.

Orang ramai boleh membuat sumbangan untuk kempen TAA Sinaran Hati 2025 dengan melungsuri laman www.taa.sg bagi butiran lanjut.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita