Kempen Sinar Kasih raih lebih S$97,000 - artis Melayu terima sumbangan wang tunai
SINGAPURA: Lebih S$97,000 berjaya dikumpul dalam kempen Sinar Kasih, yang diadakan buat julung-julung kalinya Ramadan tahun ini.
Kempen yang merupakan kerjasama antara Mediacorp dan dua pertubuhan Melayu, PRIHATIN Singapore dan Perkumpulan Seni Singapura ini bertujuan membantu dan mengiktiraf sumbangan beberapa artis yang telah menyinari persada seni Melayu tempatan.
"Kami rasa gembira kerana sumbangan dari masyarakat yang di luar jangkaan kami," kongsi Ketua Eaglevision dan Audiens Melayu, Sabariah Ramilan.
"Kami juga berterima kasih atas sokongan POS TKI dan sumbangan masyarakat yang dermawan bagi merancakkan lagi usaha murni kami ini," tambah beliau lagi.

Turut melahirkan rasa syukur atas sumbangan masyarakat itu ialah pertubuhan Penggiat Seni Melayu Singapura (PRIHATIN), yang baru pertama kali bekerjasama dengan Mediacorp dalam usaha murni ini.
"Kami harap usaha ini bukan hanya dapat memajukan rakan-rakan seni tetapi juga membawa ruang dan peluang untuk meringankan keperitan mereka," kongsi Presiden PRIHATIN, Jasmi Md Nor atau lebih dikenali sebagai Joe Jasmi.
Hasil daripada sumbangan ini disalurkan kepada sembilan bintang seni yang pernah menyinari kaca televisyen, dengan salah satu sesi pengagihan diadakan hari ini (17 Apr).
"ALHAMDULILLAH, MASIH ADA ORANG INGAT SAYA,"
Antara penerima sumbangan tersebut termasuk penyanyi Kumpulan Koosmangat, Ahmad Indra, 61 tahun.
Beliau juga menerima sebuah hamper buat persediaan Lebaran nanti.

"Alhamdulillah, saya gembira kerana saya rasa masih ada orang ingat saya, jadi saya gembira. Saya tengok Abang Joe, Mediacorp, mereka masih ingat saya lagi. Gembira," luah Encik Indra kepada BERITAmediacorp.
Penyanyi era 90an itu menghidap beberapa masalah kesihatan termasuk lemah jantung, masalah kolesterol serta kencing manis. Akibat komplikasi daripada penyakit kencing manis, kedua-dua kakinya terpaksa dikudungkan.
"Apa yang saya terima hari ini, Alhamdulillah ia banyak akan membantu kami sekeluarga kerana saya tidak bekerja, orang rumah pun tidak boleh bekerja," ujar Encik Indra.
Beliau menambah bahawa "rezeki" yang diterima ini akan digunakan sebaik mungkin.

Seorang lagi artis veteran yang menerima sumbangan wang tunai serta hamper ialah pelakon veteran Zainon Ismail, atau lebih dikenali sebagai Mak Otek.
Selepas ditimpa penyakit angin ahmar tahun lalu, keadaan Mak Otek, 77 tahun, kini uzur dan memerlukan penjagaan sepenuh masa.
TAMBAH JUMLAH ARTIS YANG TERIMA SUMBANGAN
Keseluruhannya, sekitar sembilan orang artis menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai, hasil kutipan dana di bawah kempen Sinar Kasih yang berlangsung sejak 15 Mac lalu.

Antara mereka merupakan penyampai berita dan radio, Riz Sunawan, pelakon Mahadi Shor dan Zamberi Abdul Patah serta penyanyi Zaleha Hamid dan Zubir Abdullah.
Walau bagaimanapun, dengan respons yang di luar jangkaan itu, pihak penganjur merancang untuk memperluaskan bantuan mereka untuk memberi penghargaan buat lebih ramai artis.
"Alhamdulillah kami sudah pun menerima begitu banyak sumbangan di luar jangkaan dan kami akan membantu lebih ramai artis, hasil daripada derma ke Projek Sinar Kasih ini menerusi Dana Darurat," kongsi Setiausaha Kehormat PRIHATIN, Chairul Fahmy.
BERITAmediacorp difahamkan bahawa PRIHATIN akan terus bekerjasama dengan Mediacorp untuk mengagihkan sumbangan kepada lebih ramai artis dan penggiat seni yang memerlukan di bawah kempen Sinar Kasih itu.
Pengagihan tersebut akan dijalankan dalam tempoh setahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.