Kempen Ramadan TAA kumpul S$1.48 juta, lepasi sasaran $1.32 juta yang ditetapkan
SINGAPURA: Tabung Amal Aidilfitri (TAA) berjaya mengumpul S$1.48 juta setakat ini, melepasi sasaran S$1.32 juta yang ditetapkan bagi kempen Ramadan tahun ini.
Demikian kemas kini yang dikongsi Ketua Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) TAA, Najiib Sahib kepada wartawan Nazirah Jamzuri pada Isnin (29 Apr) tentang usaha pengumpulan dana yang berakhir esok (30 Apr).
Encik Najiib berkata pihak TAA terharu dengan sokongan kukuh dan berterusan masyarakat meskipun menghadapi cabaran di peringkat awal kempen seperti kerja-kerja peningkatan di sekitar Geylang Serai dan usaha-usaha pengumpulan derma yang lain.
"Walaupun masyarakat kita telah menempuhi banyak banyak kempen-kempen lain untuk mencari dana, kami yakin rasa simpati, rasa simpati mereka terhadap golongan yang susah, prihatin mereka, mendorong mereka untuk terus menderma dan membantu usaha-usaha seperti yang dijalankan oleh TAA kerana mereka percaya bahawa segala derma yang mereka keluarkan itu tidak akan merugikan mereka malah memberi kebaikan kepada semua," kata Encik Najiib.
AGIHAN TAMBAHAN UNTUK 500 PENERIMA
Pada Ramadan lalu, TAA telah membantu lebih daripada 3,100 keluarga berpendapatan rendah, termasuk mereka yang terlantar di rumah dan kurang upaya.
Setiap penerima bantuan menerima antara S$400 hingga S$450 lebih tinggi daripada jumlah S$350 yang diberikan pada tahun lalu.
Hari ini (29 Apr), pihak TAA mengumumkan akan memberi bantuan tambahan kepada keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih sekolah dan memenuhi beberapa kriteria lain.
"Bajet yang kita tetapkan untuk agihan ini mungkin dalam S$300,000, jadi kuantum untuk setiap pemohon itu akan lebih tinggi daripada apa yang mereka dapat pada Ramadan yang lepas.
"Untuk kali ini, kita akan menyasarkan kepada dalam 500 penerima bantuan tertentu kerana ada kriteria tertentu yang kita tetapkan dan mereka harus menepati kriteria ini sebelum mereka mendapat agihan tambahan itu," jelas Encik Najiib.
Cik Lynn (bukan nama sebenar), 48 tahun, di antara penerima bantuan TAA yang dijangka meraih manfaat daripada agihan tambahan itu.
Sembilan daripada 10 orang anaknya masih bersekolah.
Beliau juga merupakan penjaga sepenuh masa bagi suaminya yang tidak bekerja kerana beberapa masalah kesihatan.
"Alhamdulillah, saya sudah bertahun juga terima bantuan daripada pihak TAA yang selama ini dapat meringankan beban untuk perbelanjaan rumah, keperluan anak-anak dan keperluan barang dapur asas semua," kongsi Cik Lynn kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Bantuan yang diberikan TAA, menurut beliau, sangat membantu dalam perbelanjaan keluarganya, lebih-lebih lagi dengan kos barangan yang meningkat ekoran inflasi.
"Harga barang-barang makanan sekarang semua sudah meningkat. Bukan itu sahaja, keperluan harian seperti tambang sekolah, jadi sedikit sebanyak dengan bantuan TAA, ia dapat juga meringankan beban saya," uajr Cik Lynn.
Meskipun kempen Ramadan bagi tahun ini berakhir esok (30 Apr), orang ramai yang ingin menderma kepada TAA masih boleh terus berbuat demikian melalui laman www.taa.sg
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.