Skip to main content

Singapura

Kempen Raikan Ilmu jelajah ke dua lokasi baharu, tawarkan lebih banyak kegiatan bagi seisi keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masyarakat boleh jangkakan lebih banyak aktiviti baharu dan menarik dalam kempen Raikan Ilmu tahun ini.

Acara tahunan itu kembali lagi dengan lebih 100 aktiviti berbanding 80 kegiatan tahun lalu dengan kerjasama lebih banyak rakan kerja.

"Bagi Raikan Ilmu tahun ini, kita mempunyai pelbagai aktiviti daripada 60 pihak rakan kongsi iaitu daripada agensi pemerintah, institusi-institusi Melayu Islam, dan juga daripada kumpulan-kumpulan yang dari komuniti juga," kata Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad dalam satu siang media siang tadi (27 Jun).

"Kita akan membawa lebih daripada 100 aktiviti kepada masyarakat, bukan sahaja di Marina Bay Sands, tapi juga di tempat-tempat seperti di Yishun, Tampines dan juga di Choa Chu Kang. Saya rasa ini penting di mana kita mahu membawa semangat pendidikan," tambahnya.

RAIKAN ILMU JELAJAH KE YISHUN & CHOA CHU KANG

Dua lokasi baharu terpilih kali ini ialah SAFRA Choa Chu Kang dan Northpoint City di Yishun.

Raikan Ilmu@Kejiranan akan berlangsung di

1. Hab Tampines Kita pada 12 dan 13 Julai 2025
2. SAFRA Choa Chu Kang pada 19 dan 20 Julai 2025
3. Northpoint City pada 26 dan 27 Julai 2025

Setiap lokasi juga menjanjikan beberapa kelainan.

Di SAFRA Choa Chu Kang misalnya, para pengunjung boleh melakukan aktiviti-aktiviti mencabar dan seronok seperti panjat tembok dan kegiatan di Bouncetopia.

Keluarga yang mempunyai anak kecil pula boleh mengikuti bengkel lakonan peranan oleh Singapore Repertory Theater.
Ibu bapa dan golongan dewasa boleh mengikuti bengkel pembangunan kerjaya yang disediakan oleh Rangkaian Profesional MENDAKI. (Gambar: MENDAKI)
RAKAN KONGSI BAHARU TAWARKAN KEGIATAN MENARIK

Selain itu, antara kegiatan tahun ini menumpukan kepada kelestarian alam dan kemampanan.

Ini seperti kegiatan kitar semula sisa plastik oleh syarikat PLASTIFY yang mengambil bahagian dalam Raikan Ilmu buat pertama kalinya.

Para peserta boleh belajar menggunakan sisa plastik untuk menghasilkan alat berguna seperti 'carabiner'.

"Apabila saya mendapat emel jemputan, saya rasa ia kempen Raikan Ilmu ini sangat menyeluruh. Kelestarian merupakan salah satu teras utama acara ini dan ia adalah satu keputusan yang sangat mudah untuk saya menerima jemputan itu," jelas Pegarah PLASTIFY, Paul Lee.

Syarikat EYEYAH! dan Meta pula telah bekerjasama dalam menghasilkan ilustrasi untuk mendidik orang ramai tentang penipuan.

Kata Pegawai Perhubungan Pendidikan EYEYAH!, Nur Isabella Andrews, "Kerjasama dengan Meta sebenarnya adalah untuk mencipta ilustrasi visual bagi menggalakkan orang ramai untuk melambatkan tindakan mereka dan menjadi lebih peka, sambil bermain permainan dan menggunakan bahan penerbitan kami untuk mempelajari lebih lanjut tentang penipuan."

"Ini kerana kami percaya bahawa melalui pemerhatian, orang ramai boleh menjadi lebih berjaga-jaga dan lebih sedar diri tentang bagaimana anda boleh melindungi diri sendiri" tambahnya lagi.

Selain itu, ibu bapa dan golongan dewasa juga boleh mengikuti bengkel pembangunan kerjaya dalam bidang kejuruteraan, sains hayat dan pendidikan awal kanak-kanak yang disediakan oleh Rangkaian Profesional MENDAKI.

"Kami rasa ini penting bukan sahaja bagi belia atau pelajar, tetapi juga bagi ibu bapa yang mempunyai kerjaya pada hari ini. Kita berharap dengan melihat akan trend-trend terkini, ia akan membuat kita berfikir tentang apakah yang harus kita lakukan untuk meningkatkan kerjaya, kemajuan dan potensi kita dalam Singapura yang sedang berkembang" kata Encik Zaky.
PELUANG MENANGI PERADUAN BACA BERITA

BERITA Mediacorp juga akan membangunkan "studio mini" kami di OTH dan Northpoint City nanti bagi memberi peluang kepada mereka yang mahu cuba menyampaikan berita, berinteraksi dengan para wartawan dan penyampai berita kami dan peluang sertai peraduan Baca Berita.

Selain acara Raikan Ilmu@Kejiranan pada hujung minggu, beberapa acara juga akan diadakan termasuk Simposium MENDAKI yang akan menghimpunkan golongan pengkaji, penggubal dasar dan pihak-pihak berkepentingan.

Kempen Raikan Ilmu 2025 akan berlangsung dari 4 Julai hingga 27 Jun 2025.

Ia akan bermula dengan empat acara utama yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands di Marina Bay.

Acara lain Raikan Ilmu:

1. #MakingConnections
2. Persidangan Masyarakat Gemilang
3. Sesi Rangkaian YOUth@M3
4. Simposum MENDAKI
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita