Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kempen perangi dadah terjejas dek COVID-19, relawan diajak sebar mesej pentingnya tingkatkan kemahiran

Bagi menyesuaikan cara dan keadaan bagi menyebar mesej antidadah di tengah-tengah COVID-19, para relawan turut diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pembelajaran sepanjang hayat. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi menyesuaikan cara dan keadaan bagi menyebar mesej antidadah di tengah-tengah COVID-19, para relawan turut diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.

Mereka juga diharap dapat berkongsi dan memberi nasihat yang baik kepada masyarakat serta cara-cara yang tersedia untuk meningkatkan kemahiran.

Untuk itu, sekitar 80 relawan kempen Dadah Itu Haram (DIH) diundang untuk menyertai satu sesi perkongsian yang diadakan secara maya pada Selasa (28 Sep).

Antara yang hadir termasuk para relawan dari Team Satu Naluri, Broadwalk Anglers, Subuhan Bikers, MZ Quran Services, serta rakan-rakan kongsi dari masjid An-Nur, Ma’arof, Khalid dan En-Naeem, rumah peralihan Pertapis dan Jamiyah dan Pejabat MUIS Fitrah.

Sekitar 80 relawan kempen Dadah Itu Haram (DIH) diundang untuk menyertai satu sesi perkongsian yang diadakan secara maya pada 28 Sep. (Gambar: CNB) 

(Gambar: CNB)

Turut menyertai mereka adalah Menteri Negara, Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang menganggap sesi tersebut sebagai satu usaha untuk terus mendampingi dan menyokong para relawan supaya terus mempertingkatkan diri masing-masing setelah kempen DIH terjejas akibat COVID-19.

"Situasi COVID-19 mencabar bagi semua orang. Ia juga menjejas kempen DIH kerana kita perlu mengurangkan sesi perjumpaan fizikal kita. Ia amat berbeza berbanding setahun lebih yang lalu berbanding apabila DIH bermula pada 2017," kata Dr Faishal.

"Seperti anda, saya juga rindu turun padang dengan anda untuk menyebarkan mesej DIH. Kami berharap apabila masanya sesuai, kita akan dapat kembali menggembleng usaha untuk bersama-sama masyarakat supaya mereka selalu sedar akan bahayanya dadah," tambahnya lagi.

Selain itu, Dr Faishal juga berkongsi akan kepentingan bagi orang ramai meningkatkan diri masing-masing.

Bagi berkongsi lebih lanjut mengenai pembelajaran sepanjang hayat, Penasihat SkillsFuture dari Institut bagi Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Majlis Pembangunan Masyarakat Barat Daya, Nurul Iman dijemput untuk memberi taklimat kepada para relawan dan menjawab sebarang pertanyaan mereka berhubung isu itu.

Ini supaya mereka dapat memberi nasihat yang berguna dan praktikal dengan pengetahuan mengenai wadah-wadah yang sedia ada bagi meningkatkan diri.

Duta kempen dan personaliti terkenal, Aaron Aziz turut hadir di sesi perkongsian tersebut.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan