Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kempen Dadah Itu Haram dekati lebih 650,000 orang sejak 5 tahun lalu

Ini dapat dicapai hasil kerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam untuk menyebarkan mesej hidup sihat dan hidup bebas dadah.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Kempen Dadah Itu Haram dekati lebih 650,000 orang sejak 5 tahun lalu

(Gambar: Dadah Itu Haram/Facebook)

SINGAPURA: Kempen Dadah Itu Haram (DIH) berjaya mendekati lebih daripada 650,000 orang menerusi lebih 140 acara sejak lima tahun lalu.

Ini dapat dicapai hasil kerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam untuk menyebarkan mesej hidup sihat dan hidup bebas dadah.

Demikian menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri (MHA) Dr Faishal Ibrahim semasa menyampaikan perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi kementerian tersebut di parlimen hari ini (3 Mac).

Beliau juga berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim berhubung maklumat terkini kerjasama MHA dengan masyarakat Melayu/Islam dalam usaha memerangi dadah.

340 RAKAN KONGSI

"Kini, kami mempunyai lebih daripada 230 sukarelawan dan penyokong, bersama dengan 340 rakan kongsi yang dianggotai pelbagai MMO (pertubuhan Melayu/Islam), kumpulan masyarakat, kumpulan berkepentingan khas, kedai gunting rambut dan tempat makan yang turut serta dalam kempen ini.

"Untuk mengekalkan penglibatan berterusan di dalam situasi COVID-19, CNB telah menjalankan lebih daripada 20 acara maya dan hibrid pada tahun 2021," kata Dr Faishal.

Malah pada November tahun lalu, sebuah rangkaian yang dianggotai 26 badan Melayu/Islam dan 11 rangkaian bandar M³ juga dilancarkan bagi mengukuhkan kolaborasi dan sokongan bagi pesalah-pesalah dadah, bekas pesalah dan keluarga mereka.

Ini termasuk FITRAH dan AMP, yang menyediakan program-program intervensi dan jangkauan.

Pada tahun lalu juga, menurut Dr Faishal, kesemua 71 masjid di merata Singapura menyertai Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pemerdagangan Haram.

Usaha tersebut dijalankan buat kali pertamanya dan kempen antidadah itu termasuklah khutbah Jumaat yang disiapkan khusus oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang menekankan larangan penyalahgunaan dadah dan juga meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah.

KEMPEN DADAH ITU HARAM "AMAT MENGGALAKKAN"

Menurut Dr Faishal, tinjauan terkini berhubung DIH sebagai "amat menggalakkan" dan ada "sokongan padu" masyarakat terhadap kempen itu.

"Ia menunjukkan sokongan padu masyarakat terhadap kempen ini dan kejayaannya dalam menyebarkan mesej antidadah kepada kumpulan yang ditujukan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

"Kami sedang mengkaji kempen DIH untuk mengenal pasti titik pembelajaran yang boleh digunakan untuk meningkatkan jangkauan kami kepada kumpulan lain.

"Kami berterima kasih kepada masyarakat atas sokongan yang diberi untuk memerangi dadah, dan kami mengharapkan lebih banyak usaha kerjasama," kata Dr Faishal.

Dalam perbahasan tersebut, Dr Faishal juga mengumumkan sesi-sesi Kemahiran Penyeliaan Masyarakat (CoSS) yang dirintis sejak tahun 2019, akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang bulan Mac tahun depan.

CoSS membolehkan para pegawai penyeliaan Biro Narkotik Pusat (CNB) membantu dan menilai keperluan renintegrasi mereka yang diselia termasuk keperluan kewangan, keluarga dan pekerjaan.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan