Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kempen 'Dadah Itu Haram' dedah bahaya dadah kepada murid Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah

Pengaruh daripada media sosial dan rakan-rakan sebaya antara sebab ramai yang mudah terjerumus ke dalam kancah dadah hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pengaruh daripada media sosial dan rakan-rakan sebaya antara sebab ramai yang mudah terjerumus ke dalam kancah dadah hari ini.

Demikian menurut Menteri Negara Ehwal dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di satu acara pendampingan program 'Dadah Itu Haram (DIH)' di Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah pada Rabu (3 Jan).

Beliau berkata, profil pesalah dadah yang sudah kian berubah boleh menjejas semua lapisan masyarakat.

"Kalau dulu kita sering mendengar mereka mengambil dadah ataupun terjerumus dengan kerja-kerja jenayah yang ada kaitan dengan dadah adalah mereka yang mungkin mereka tidak mempunyai wang, mereka datang daripada keluarga miskin dan mereka mahu menggunakan wadah ini untuk mendapatkan wang.

"Pada hari ini, motivasi untuk mengambil dadah itu sudah berlainan. Ada yang mengambilnya semasa mereka bergembira, semasa mereka pergi ke parti. Mereka mendapatkan keseronokan dengan rakan-rakan mereka. Mereka mendapatkan perspektif-perspektif liberal daripada media sosial dan lain-lain. Mereka mengambil kerana kawan mereka semua mengambil. Kerana pengaruh rakan sebaya. Jadi ini penting kerana kita dapat tahu motivasi mereka dan ia boleh menjejas banyak golongan belia termasuk pelajar-pelajar madrasah," kata Dr Faishal kepada wartawan Syawal Yusoff.

Sebagai permulaan, pihak sekolah membuka sesi tersebut kepada sekitar 200 pelajar perempuan peringkat menengah.

Dengan pendidikan yang positif menerusi program sebegitu, Dr Faishal berharap golongan pelajar itu dapat menjadi pengaruh yang baik buat rakan-rakan sebaya mereka.

"Mereka boleh pulang mengambil pengajaran, berkongsi dengan ibu bapa juga dengan adik beradik mereka dan berkongsi dengan rakan sebaya mereka. Pada pendapat saya ini adalah satu wadah yang sangat padat dan berguna kerana apabila kita menukar naratif kepada positif, ia akan membuka lebih banyak ruang kepada golongan belia kita untuk mengambil peluang-peluang yang bermanfaat dan mendatangkan kebaikan kepada kehidupan mereka," jelas Dr Faishal.

MADRASAH KE-4 YANG DIDAMPINGI

Sesi pertama untuk tahun 2024 juga adalah yang keempat dianjurkan setakat ini.

Sebelum ini, program DIH sudahpun diadakan di Madrasah Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah dan Persatuan Khidmat Sosial India Muslim (IMSSA).

Dr Faishal berkata usaha akan dipergiatkan untuk menyediakan pendidikan yang lebih menyeluruh di masa hadapan.

"Kami akan melihat bagaimana kita boleh mendekati keluarga mereka, kami akan bekerjasama dengan madrasah-madrasah untuk membuka lebih banyak ruang pendekatan supaya kita boleh berkongsi dengan lebih ramai ahli masyarakat kita supaya usaha ini akan bermula di rumah masing-masing di mana ibu bapa boleh berkongsi tentang bagaimana kehidupan yang positif yang jauhi daripada dadah boleh mendatangkan lebih banyak peluang, peluang-peluang yang membangun untuk anak-anak mereka," kata Dr Faishal yang juga Menteri Negara.

PAMERAN; PERKONGSIAN DADAH DARI SUDUT ISLAM

Di samping sebuah pameran, para pelajar juga berpeluang melihat sampel palsu pelbagai jenis dadah.

Dua ceramah turut dianjurkan buat pelajar menengah atasan termasuk perkongsian daripada Biro Narkotik Pusat (CNB) dan pembentangan tentang penyalahgunaan dadah dari perspektif agama oleh seorang asatizah madrasah itu sendiri.

"Murid-murid ini akan lebih memahami 'ya dadah itu haram'. Tetapi kenapa ia haram daripada perspektif Islam saya rasa itu yang lebih penting kerana mereka akan lebih memahami. Dadah ini tidak berdiri atas dasar sendiri. Ia pun termasuk dari ruang Islam, sudut Islam jadi ilmu itu akan diintegrasikan dalam 'Pendidikan Islam' kami.

"Murid-murid atau anak remaja sekarang boleh dapatkan dadah daripada online. Jadi kalau kami tidak memberi ilmu itu pada murid-murid kami dan mereka tidak tahu mungkin penglibatan mereka dengan dadah ini mungkin secara tidak langsung," kata Mudirah Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah, Cik Maisarah Kasim.

Selain para pelajar, Cik Maisarah menambah pihak sekolah juga akan mempergiatkan usaha untuk mendekati para ibu bapa tentang bahaya dadah.

Beberapa pelajar berkongsi kepada BERITA Mediacorp, program tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada mereka.

"Dadah itu amat membahayakan kerana ia tidak sahaja menjejaskan diri kami tetapi keluarga dan juga orang terdekat kami. Saya dapat tahu apakah penyebab-penyebab dan juga penyebab-penyebab itu juga boleh datang dari orang terdekat kami seperti kawan-kawan kami dan juga pengaruh kami," kata pelajar Zahratun Mohamadali.

Bagi Sorfina Sulaihi pula: "Saya akan berkongsi dengan kawan-kawan dan keluarga terdekat agar mereka tidak mengambil dadah dan mereka boleh menjauhkan diri daripada dadah kerana ia satu jenayah yang sangat berat."

DAMPINGI LEBIH BANYAK MADRASAH; ALUKAN KERJASAMA MMO

Dr Faishal berharap untuk meluaskan lagi kempen DIH ke madrasah-madrasah lain dan bekerjasama dengan lebih banyak Pertubuhan Melayu/Islam (MMO).

"Kita akan mendekati lebih banyak organisasi dan juga tempat-tempat yang mungkin kita boleh berkongsi maklumat tentang dadah itu haram dan juga bagaimana setiap individu dan organisasi ini boleh memainkan peranan mereka.

"Dengan adanya rangkaian MMO yang telah dibangunkan, ia memberi lebih banyak peluang kepada kita untuk mendekati masyarakat jadi kita mahu memperkasakan badan-badan Melayu Islam untuk menjalankan usaha ini supaya kita boleh meluaskan pendedahan dan juga bagaimana kita boleh berkongsi maklumat ini," ujar Dr Faishal.

Kempen DIH dimulakan sejak 2017.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan