Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kempen Dadah Itu Haram berjaya sebar mesej menerusi sokongan menyeluruh masyarakat: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kempen Dadah Itu Haram menerima sokongan kuat masyarakat.

Penilaian itu dibuat oleh Menteri Negara Kementerian Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hasil tinjauan yang dijalankan tentang kempen itu baru-baru ini.

Beliau mendedahkan demikian di acara penghargaan bagi para relawan dan rakan sokong pada Ahad (9 Okt).

"Baru-baru ini sebuah tinjauan yang kita lakukan menunjukkan hasil yang positif. Lebih daripada 70 peratus responden mengatakan mereka sedar akan kempen Dadah Itu Haram dan mempunyai tanggapan yang positif. Ini menunjukkan bahawa kempen kita mempunyai sokongan padu daripada masyarakat," kata Dr Faishal.

Sejak dimulakan pada 2017, program dan inisiatif Dadah Itu Haram yang dijalankan bersama Biro Narkotik Pusat (CNB) dijayakan lebih 230 sukarelawan dan 340 pertubuhan.

Kesemua 71 masjid setempat kini terlibat menyebarkan mesej tentang bahaya dadah.

Sebagai usaha berterusan, Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu Islam akan terus menjalankan program pemulihan bagi pesalah dadah.

Ini selain menyediakan sokongan kepada bekas pesalah dan keluarga mereka.

Antara rakan sokong kempen Dadah Itu Haram ialah sebuah pusat pendidikan swasta, Pusat dan Akademi MZ Quran.

"Kami pernah bekerjasama dengan kempen Dadah itu Haram untuk menganjurkan program 'Daddy and Child Bonding Session' di mana kita mengundang bapa dan anak untuk belajar memasak bersama-sama. Kami melihat bahawa ini ada nilai-nilai kekeluargaan yang penting dalam memastikan institusi kekeluargaan itu dapat dipertahankan demi untuk mengelak gejala yang tidak sihat," kata Encik Md Zuhaili, Pengasas Pusat dan Akademi MZ Quran.

Jumlah pesalah dadah Melayu yang diberkas pada 2021 merosot kepada 1,282 daripada 1,618 pada 2017.

Bagaimanapun profil penyalahguna dadah baru menimbulkan keprihatinan.

Seramai 39 peratus daripada pesalah dadah baru adalah Melayu.

Dr Faishal menekankan bahawa usaha mencegah penyalahgunaan dadah bermula dari rumah dan menyeru lebih ramai anggota masyarakat untuk tampil menyokong dan menyumbang sumber dan suara mereka untuk menyebarkan mesej tentang bahaya dadah.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan