Kempen Amal Ramadan 4PM sasar kumpul S$300,000, bantu lebih 850 keluarga
Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) melancarkan Kempen Amal Ramadan mereka pada Sabtu (22 Feb) dengan sasaran yang lebih tinggi untuk tahun ini.
SINGAPURA: Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) melancarkan Kempen Amal Ramadan mereka pada Sabtu (22 Feb) dengan sasaran yang lebih tinggi untuk tahun ini.
Tahun lalu, 4PM berjaya menggandakan bilangan keluarga yang dibantu daripada 300 kepada 580.
Kali ini, ia menyasarkan untuk mengumpulkan S$300,000 dan berhasrat membantu lebih 850 keluarga yang memerlukan, jumlah tertinggi setakat ini.
Majlis pelancarannya berlangsung sempena acara Penghargaan Penderma 4PM di Furama City Centre, dengan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, sebagai tetamu kehormat.
"Sejujurnya, kami tidak menjangkakan begitu ramai permohonan untuk tahun ini dan kita juga tidak meletakkan apa-apa jangkauan. Namun begitu, kita dapati bahawa ekonomi Singapura semakin kukuh dan semakin berkembang. Terutama tahun lepas, kita dapati bahawa ramai golongan yang memerlukan merasa kos sara hidup lebih mencabar," kongsi Presiden 4PM, Nassar Mohamad Zain.
Namun, Encik Nassar akur akan cabaran yang dihadapi 4PM dalam memastikan semua penerima dapat dibantu tahun ini.
"Ini satu cabaran yang paling besar untuk kami pada tahun ini kerana bukan sahaja kita menerima permohonan yang begitu ramai, tetapi tahun ini kita menerima lebih 850 permohonan berbanding tahun lalu di mana kami hanya menerima 580, atau pada tahun sebelumnya hanya 300," kata Encik Nassar.
Penerima bantuan 4PM termasuk keluarga berpendapatan rendah dengan anak bersekolah serta warga tua dari isi rumah berpendapatan rendah.
Encik Nassar turut menekankan pentingnya untuk memperkasa para belia dan sukarelawan 4PM.
"Dalam masa yang sama kita mahu memperkasakan para penerima kita, kita juga perlu memperkasakan para belia kita dan para sukarelawan kita dengan kemahiran yang seiring dengan bantuan yang ingin diberikan kepada para penerima," ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa kemahiran yang diperlukan oleh sukarelawan termasuklah pengurusan masa, kewangan, dan kemahiran lain untuk memastikan mereka lebih efektif dalam memberi sokongan.
"Saya amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh penderma korporat pada hari ini, tetapi lebih banyak lagi yang perlu kami lakukan untuk mencapai matlamat kami mengumpulkan dana sebanyak S$300,000.
"Jadi pada bulan Ramadan akan datang, kami mengalu-alukan dan mengharap sokongan masyarakat untuk membantu dan menghulurkan derma dan belas ihsan kepada para penerima kami pada tahun ini," kata Encik Nassar.
Dr Faishal memuji inisiatif kempen amal yang dilancarkan itu.
"Ini adalah satu inisiatif yang tahun demi tahun membangunkan dan memantapkan rasa keihsanan warga kita bersama untuk menyumbang kepada masyarakat. Saya rasa gembira kerana mereka yang menyumbang ini sudah lama menyumbang dan ada pihak-pihak berkepentingan serta mereka yang baru menyumbang dan mahu memainkan peranan dalam memberi sokongan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Ini yang kita mahu dilihat di Singapura," kata Dr Faishal.
Beliau menambah bahawa kempen itu adalah peluang baik untuk menunjukkan keihsanan kepada mereka yang lebih memerlukan sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang.
"Jadi, sama-samalah kita bukan sahaja meraikan atau menyambut bulan Ramadan, tetapi mengambil peluang untuk menjalankan kerja-kerja baik dan menolong mereka yang memerlukan. Sama-sama kita meningkatkan tahap keinsanan di kalangan masyarakat Singapura, terutama masyarakat Melayu Islam di Singapura," kata Dr Faishal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.