Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemerosotan hasil jualan dorong sesetengah pemilik gerai kantin sekolah tutup kedai

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sesetengah pengendali kantin sekolah sudah menutup gerai masing-masing disebabkan oleh pendapatan yang merosot selepas pandemik COVID-19.

Ini kerana sekolah-sekolah melaksanakan pembelajaran di rumah, dedah para pegerai kantin sekolah kepada Mediacorp.

Dalam kenyataannya, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan bahawa sebahagian besar sekolah pada masa ini mempunyai jumlah gerai yang "mencukupi" untuk memenuhi keperluan pelajar.

"Sungguhpun demikian, sekolah-sekolah kadangkala berdepan dengan cabaran untuk mencari pengendali gerai untuk kantin mereka dan sebabnya berbeza dari sekolah ke sekolah," tambah MOE.

KURANG PELUANG UNTUK BERKHIDMAT KEPADA PELAJAR

Di luar sesetengah sekolah, poster yang mempelawa bakal pemilik gerai untuk menjual makanan dan minuman di sekolah boleh ditemui. Banyak permintaan sedemikian juga dimuat naik online.

Pemeriksaan oleh Mediacorp mendapati kira-kira 60 iklan di laman web MOE.

Pengendali kantin, My NoNNa misalnya, kehilangan 20 peratus hasil pendapatannya setiap bulan.

Daripada mengendalikan tiga gerai semasa pandemik, ia kini hanya mempunyai satu gerai saja.

"Masih banyak hari e-pembelajaran di sekolah. Maka itu, anda akan mendapati bahawa hari e-pembelajaran pada asasnya adalah hari tanpa pendapatan bagi kami. Dan kosnya terus meningkat."

SESETENGAH IBU BAPA BEKALKAN MAKANAN UNTUK ANAK MEREKA

Disebabkan oleh kekurangan pilihan makanan, ibu bapa terpaksa mengambil tindakan untuk menangani masalah ini.

Sebagai contoh, seorang ibu, Ain Yuza, bangun pada pukul 4.30 pagi setiap hari untuk menyediakan makanan yang dibungkus untuk anak-anaknya, selepas beliau menyedari perubahan pada pengendali kantin di sekolah anak sulungnya.

Merujuk kepada sebuah gerai di kantin sekolah anaknya yang menjual makanan untuk dibawa pulang, beliau berkata: “Jadi apa yang berlaku ialah lesen gerai itu pada mulanya halal. Selepas itu, ia tidak lagi halal.

"Oleh itu, anak saya agak kecewa kerana ia menghadkan pilihan makanan untuk anak saya. Saya fikir cuma tinggal dua atau tiga gerai saja yang menjual makanan halal."

SEKOLAH MEMPUNYAI KEBEBASAN UNTUK MENGURUSKAN KANTIN

Menurut MOE, sekolah mempunyai hak untuk menguruskan kantin mereka sendiri berdasarkan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan bermacam-macam makanan yang secukupnya memenuhi keperluan pelajar Islam dan bukan Islam.

"Dalam situasi di mana pihak sekolah tidak berupaya mencari gerai yang sesuai selepas mencuba berkali-kali, mereka mungkin membenarkan pegerai kantin dan ahli keluarga mereka mengendalikan sehingga tiga gerai di sekolah yang sama atau sekolah lain untuk memenuhi keperluan segera pelajar," menurut MOE.

Sekolah-sekolah yang sedang mencari pegerai yang menyediakan pilihan halal "masih akan mencari jalan untuk memenuhi keperluan pemakanan pelajar Islam, seperti dengan menyediakan makanan yang dibungkus untuk mereka", tambahnya.

MOE menyatakan ia akan terus memantau keadaan untuk menilai sama ada dan bila sokongan lanjut mungkin diperlukan untuk pihak sekolah.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan