Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemeriahan Hari Raya melalui persembahan 'Lenggang Raya'; 'Lebaran Tales' oleh Sri Warisan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Berlenggang untuk kesihatan.

Itulah yang bakal dilakukan sekitar 10 warga emas dari pusat jagaan Monfort Care Goodlife! Bedok menerusi persembahan mereka di Luar Teater Dermaga Singtel di Esplanade, sempena Pesta Raya.

Berjudul 'Lenggang Raya', persembahan selama 30 minit itu bakal memaparkan kisah-kisah hari raya para pesertanya menerusi tarian gerak gemalai.

Selain menghiburkan orang ramai pada Sabtu dan Ahad (20 & 21 Mei) nanti, ia juga sebahagian usaha pusat tersebut untuk menggalak kehidupan aktif di kalangan warga emas di kawasan Eunos dan Bedok yang tinggal bersendirian.

"Kita memang ingin mengintegrasikan mereka dalam masyarakat supaya mereka tidak akan duduk bersendirian di rumah. Itu keutamaan kami. Yang kedua kami juga ingin mereka bersenam untuk kesihatan diri agar mereka sihat dari segi minda dan juga mental dan fizikal.

"Kita mahu dengan persembahan ini juga walaupun mereka mempunyai masalah mobiliti, tapi tidak mematahkan semangat mereka untuk belajar tarian Melayu. Itu yang kita lihat semangat untuk belajar itu ada pada diri mereka," kata Koordinator Program, Cik Mazni Kaswani.

Sejauh ini, kumpulan tarian yang baru ditubuhkan itu sudahpun membuat persembahan di Heartbeat@Bedok dan Hab Tampines Kita.

SERTAI AKTIVITI UNTUK KEKAL AKTIF

Antara peserta yang ghairah membuat persembahan pertama kali di Esplanade ialah Cik Halimah Awang, 84 tahun.

Meskipun bertongkat, peserta paling mapan dalam kumpulan itu memilih untuk menyertai aktiviti itu atas dorongan seorang teman dan keinginan untuk terus aktif.



"Saya ingat daripada saya duduk seorang diri, fikiran nanti jadi bosan kan. Jadi saya cakap bolehlah," kata Cik Halimah.

Meskipun tidak mempunyai sebarang latar belakang dalam tarian, ibu dan nenek itu berkongsi, beliau ada cara tersendiri untuk berlatih.

"Kalau belum tahu tarian itu, susahlah untuk belajar. Tapi kalau sudah tahu itu, amboi suka pula. Saya kalau duduk dalam rumah, nanti saya buka radio, nanti ada lagu itu, saya ikutlah. Dalam rumah itu, saya kunci pintu, tak ada orang kan, saya berlatih menari," ujarnya.

Turut berkongsi pandangan sama untuk kekal aktif ialah Cik Amraini Yaakob, 57 tahun.

Beliau mengganggap aktiviti tersebut sebagai cara untuk mengeratkan silaturrahim.

"Seronok dan dapat bergabung dengan orang-orang 'senior'. Dan saya pun dah nak jadi 'senior' kan. Jadi dapat merasakan satu kemesraan dan satu riadah," kata ibu tunggal, empat anak itu.

Beliau yang menyertai pusat itu sejak 2019 sudah dapat merasakan kebaikan pada dirinya menerusi berlenggang.

"Gerakan seperti tarian, lenggang, itu yang membuat kita lebih ceria dan kesegaran itu terasa semulajadi. Bukan memaksa diri. Kita ada senaman yang membuatkan pergerakan yang macam mana kita harus buat. Tapi yang pergerakan yang bila dah digabungkan, pergerakan itu buat badan kita rasa macam lebih ringan. Itu yang saya suka sekali," tambahnya.

Beliau juga berharap persembahan itu dapat mendedahkan golongan muda kepada seni tarian tradisional Melayu, supaya dapat terus dikekalkan.

"Saya nak anak-anak muda ini tengok, bukan muda sahaja, mereka bukan hip hop tahu tapi orang tua itu mereka punya lenggang yang zaman dahulu itu mungkin agak kaku tapi dapat jugalah dipersembahkan dengan cara yang tradisional lama. Jadi hendak mereka lihat orang macam senior ini yang buat jadi tak akan hilang. Kita hendak benda itu berlarutan jadi orang muda mengerti tentang tarian Melayu ini," jelas Cik Amraini.

Latihan bermula sejak Ramadan lalu dan diadakan online menerusi wadah zoom dan secara fizikal.

Pereka tari dari syarikat P7:1SMA, Hasyimah Harith, berkata, beliau menghargai peluang bekerjasama dengan warga emas kerana dapat bertukar-tukar idea untuk persembahan.

"Pengalaman bekerja dengan warga emas di Montfort Care ini sangat memberi saya ilham dan inspirasi. Setiap kali saya berjumpa dengan mereka mesti ada cerita dan pengalaman yang mereka memberitahu saya tentang kehidupan.

"Dalam persembahan ini, kita banyak menggunakan prop dan alat-alat untuk memasak. Dan saya sebagai seorang wanita memang tidak arif dengan bahasa dan juga kegunaan prop itu. Dan saya mendapat banyak ilham untuk memperbaiki diri dan juga memberi sesuatu pengalaman dengan tari," kata Hasyimah.

Persembahan ini dapat ditonton di Luar Teater Dermaga Singtel di Esplanade, pada Sabtu dan Ahad (20 dan 21 Mei), 6 petang.

SAJIAN TARIAN DAN MUZIK

Kemeriahan sambutan Hari Raya masyarakat Melayu sejak zaman nenek moyang bakal ditampilkan dalam sebuah lagi persembahan tarian, 'Lebaran Tales' oleh Sri Warisan.

Sepanjang 45 minit, para penonton dibawa melalui sambutan serta budaya Ramadan dan Syawal, termasuk amalan malam tujuh likur dan suasana beraya di kampung.

"Kita nak berkongsi dengan orang awam di luar sana sebab yang datang menonton bukan sahaja orang Melayu kita kan? Dari pelbagai bangsa. Jadi kita nak kongsi bagaimana persiapan Hari Raya itu. Apa yang signifikan tentang Hari Raya yang disambut pada masa-masa yang dahulu di kampung dahulu," kata Pengarah Kreatif Sri Warisan, Marina Yusoff.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Kali terakhir Sri Warisan membuat persembahan untuk Pesta Raya adalah sekitar 7 tahun yang lalu.

Lantaran itu, penonton boleh menjangkakan persembahan yang cukup bertenaga oleh barisan Sri Warisan yang lebih muda sekitar 20 anggota.

Selain tarian, penonton juga bakal dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu Hari Raya moden.

"Pastinya yang tradisi ada, yang traditional, yang Melayu, kekampungan, gotong royong mesti ada. Itulah kita Sri Warisan yang masih terus mengekalkan tradisi. Tapi pada masa yang sama, kita ada persembahan seperti lagu nyanyian lagu-lagu Hari Raya hari ini yang pop muzik yang sebagainya di mana kita nak tunjuk keseimbangan dulu dan sekarang. Dinyanyikan oleh artis kita juga, penyanyi Dina dan bersama penari kita. Jadi mereka boleh nampak pergerakan serta rasa yang berbeza daripada yang tradisional dan juga sekarang," tambahnya.

Persembahan itu boleh disaksikan pada Khamis (18 Mei), pada jam 7.00, 8.15 dan 9.30 malam di Teater Luar Esplanade.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan