Kementerian Undang-Undang kekalkan pendekatan namakan tertuduh dalam jenayah seks
Kementerian Undang-undang akan mengekalkan pendekatannya untuk menamakan individu yang dikenakan tuduhan bagi jenayah-jenayah seks, kata Menteri Undang-undang K Shanmugam pada Isnin (10 Mei).

Menteri Undang-undang K Shanmugam berucap di Parlimen pada Isnin (10 Mei).
SINGAPURA: Kementerian Undang-undang akan mengekalkan pendekatannya untuk menamakan individu yang dikenakan tuduhan bagi jenayah-jenayah seks, kata Menteri Undang-undang K Shanmugam pada Isnin (10 Mei).
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan parlimen daripada Anggota Parlimen Dilantik Tan Yia Swam tentang bagaimana laporan media mengenai perbicaraan jenayah seks yang masih berlangsung dikawal selia dan melindungi karyawan perubatan yang reputasinya terjejas akibat liputan kes sedemikian.
"Kementerian Undang-Undang sebelum ini menilai sama ada nama-nama individu tertuduh seharusnya disiarkan sehingga mereka disabit kesalahan," kata Encik Shanmugam di Parlimen pada Isnin.
Encik Shanmugam menarik perhatian dua pendekatan: Melindungi identiti individu tertuduh sehingga mereka disabit kesalahan dengan syarat memberikan anonimiti kepada tertuduh dalam kes-kes tertentu; dan mengadakan prosiding mahkamah terbuka di mana "semua perkara dikeluarkan segera", yang tidak memberikan kuasa umum kepada mahkamah untuk memberikan anonimiti kepada tertuduh bagi melindungi reputasi mereka.
"Kelemahan dalam pendekatan kedua ini adalah tentu sahaja reputasi tertuduh sering dicemari oleh publisiti yang timbul daripada liputan media mengenai perbicaraan jenayah yang sedang berlangsung walaupun mereka dibebaskan pada akhirnya," jelas beliau.
"Saya rasa soalan Dr Tan mungkin timbul daripada perbicaraan jenayah-jenayah doktor dan seks tetapi ini dikenakan kepada semua tertuduh meliputi pelbagai kes."
Encik Shanmugam berkata: "Setelah melakukan penilaian, kami memutuskan untuk mengekalkan pendekatan kami, yang bererti bahawa secara umum, tertuduh diadili secara terbuka dan keputusan itu diumumkan secara terbuka. Itu juga membolehkan individu tidak dikenali yang menjadi mangsa pesalah bersiri, misalnya, untuk tampil ke hadapan dan meminta pertolongan.
"Namun saya tegaskan kedudukan kami tentang isu ini, bagaimanapun, bukan muktamad. Kita juga dapat melihat kebaikan beralih ke beberapa versi pendekatan pertama. Oleh itu, kami akan terus mengkaji ini sementara kami mengekalkan keadaan sedia ada."
Di bawah pendekatan Kementerian Undang-undang sekarang, "anonimiti diberikan sekiranya ia diperlukan bagi kepentingan awam" dalam sesetengah keadaan, menurut menteri itu. Ini termasuk melindungi maklumat sulit berhubung keselamatan negara dan identiti kanak-kanak atau orang muda dan individu yang didakwa mangsa kesalahan seksual atau penderaan kanak-kanak.
“Tetapi sebab berbuat demikian adalah untuk melindungi mangsa-mangsa yang mudah terjejas dan kanak-kanak daripada dikenal pasti serta memberikan mereka kehidupan lebih baik," jelas Encik Shanmugam.
Beliau akur bahawa mahkamah memiliki kuasa untuk melarang penerbitan identiti tertuduh dan mengenakan beberapa syarat bagaimana perbicaraan boleh dilaporkan. Bagaimanapun Encik Shanmugam menekankan bahawa media juga harus mematuhi arahan-arahan tersebut ketika membuat liputan.
"Ada kebaikan dan keburukan pada kedua-dua pendekatan, sama ada untuk membenarkan atau melarang penerbitan nama tertuduh sehingga mereka disabit kesalahan. Kami akan terus mengkaji kedudukan kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.