Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kementerian Pengangkutan: Tiada rancangan larang PMD di laluan pejalan kaki

Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak merancang untuk melarang penggunaan alat mobiliti peribadi (PMD), di laluan pejalan kaki meskipun terdapat beberapa Anggota Parlimen (AP) yang menggesa agar alat-alat sedemikian tidak dibenarkan ekoran jumlah kemalangan yang meningkat membabitkan pejalan kaki.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 May 2019 03:26PM Dikemas Kini : 07 May 2019 11:41PM

SINGAPURA: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak merancang untuk melarang penggunaan alat mobiliti peribadi (PMD), di laluan pejalan kaki meskipun terdapat beberapa Anggota Parlimen (AP) yang menggesa agar alat-alat sedemikian tidak dibenarkan ekoran jumlah kemalangan yang meningkat membabitkan pejalan kaki.

Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Lam Pin Min berkata demikian di Parlimen pada Selasa (7 Mei).

Menjawab pertanyaan AP Lee Bee Wah, Dr Lam berkata MOT akan terus mengkaji undang-undang negara lain berhubung e-skuter, namun menekankan bahawa "terdapat banyak cara negara-negara melaksanakan undang-undang mereka."

Beliau memberi contoh Paris, yang bakal melarang penggunaan e-skuter di laluan pejalan kaki mulai September manakala Berlin pula mengehadkan kelajuan kepada 12 kilometer sejam.

Di Singapura sejak awal tahun ini, had kelajuan bagi PMD dan basikal di laluan pejalan kaki dikurangkan dari 15 kilometer sejam (km/j) kepada 10 km/j. MOT menyatakan had kelajuan lebih perlahan itu memberi pengguna PMD, penunggang basikal dan pejalan kaki, cukup masa untuk bertindak balas dalam situasi yang tidak diingini.

Dr Lam turut mendedahkan setakat ini, lebih 1,630 orang didapati melakukan kesalahan berkaitan e-skuter.

Namun, tegas beliau, cara menangani masalah ini perlu mengikut "konteks setempat dan keperluan warga Singapura".

"Jika kita melarang alat mobiliti aktif di laluan pejalan kaki, ini bermakna pengguna perlu menggunakan jalan raya. Ini menimbulkan lebih risiko bagi kedua-dua pengguna alat mobiliti aktif dan pengguna kenderaan lain termasuk motosikal, kereta, lori mahupun bas.

"Kami sedia maklum kemungkinan cedera yang lebih parah malah kematian adalah lebih tinggi jika kemalangan berlaku di jalan raya."

Tegas Dr Lam: "Lantaran itu, melarang penggunaan alat mobiliti aktif di laluan pejalan kaki bukan huraiannya. Kami akur bahawa mobiliti aktif memainkan peranan penting dalam visi menjadikan masyarakat Singapura kurang bergantung pada kereta.

MAKLUM BALAS DAN PELAKSANAAN

Beliau menambah MOT menggalakkan orang awam dan pengguna PMD sendiri untuk membantu memaklumkan kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) tentang pengguna PMD yang menyalahi undang-undang.

Dr Lam berkata sesiapa yang terlibat dalam kemalangan dengan PMD perlu memfailkan aduan polis dengan segera.

"Maklum balas sebegini membantu LTA mengenal pasti kawasan yang sering berlaku kemalangan untuk menentukan langkah-langkah pelaksanaan yang sewajarnya," kata beliau.

Berhubung insurans pihak ketiga bagi syarikat penghantaran makanan yang menggunakan khidmat pengguna PMD atau e-basikal, Dr Lam berkata LTA sudah berhubungan dengan syarikat penghantaran makanan utama seperti Deliveroo dan GrabFood untuk membeli insurans pihak ketiga bagi penunggang e-skuter mereka.

Beliau menambah Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP) sedang mempertimbangkan langkah-langkah lebih tegas bagi memastikan para penghantar makanan dilindungi insurans pihak ketiga apabila menunggang PMD mereka semasa bekerja.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan