Kementerian, lembaga berkanun SG bakal laporkan usaha kemampanan setiap tahun
Anggaran Waktu Membaca:

(Gambar: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Pemerintah Singapura akan menerbitkan laporan tahunannya untuk memperincikan kemajuan, usaha dan rancangan bagi kemampanan sekitaran mulai Tahun Kewangan 2023.
Demikian menurut Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Khamis (2 Mac).
Laporan tahunan itu diterbitkan di bawah inisiatif GreenGov.Sg, yang memberi butiran tentang bagaimana sektor awam akan menerajui usaha ke arah mendakapi pembangunan mampan.
Di bawah GreenGov.SG, Pemerintah menyatakan komitmen untuk mencapai beberapa sasaran kemampanan menjelang 2030, termasuk bagi tenaga, air dan sisa.
Ini di samping mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2045, iaitu lima tahun lebih awal daripada sasaran nasional.
"Kami akan mula melaporkan pelepasan Skop 1 dan 2, penggunaan elektrik dan air, dengan rujukan kepada piawai serta rangka kerja antarabangsa," jelas Cik Fu.
Skop 1 dan 2 merujuk kepada pelbagai jenis pelepasan yang dicipta oleh entiti dalam operasinya. Skop 1 merujuk kepada pelepasan langsung yang dibuat oleh syarikat manakala Skop 2 merujuk kepada yang dibuat secara tidak langsung. Terdapat juga Skop 3, yang melibatkan pelepasan yang dipertanggungjawabkan entiti itu secara tidak langsung.
Sehubungan itu, semua lembaga berkanun juga akan menerbitkan pendedahan kemampanan sekitaran tahunan mulai Tahun Kewangan 2024.
Ini sebahagian daripada langkah supaya sektor awam memimpin usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Beberapa lembaga berkanun khususnya Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Agensi Air Singapura (PUB) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) sudah pun menerbitkan pendedahan kemampanan masing-masing.
PERTIMBANGAN KEMAMPANAN SEKITARAN
Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) menyuarakan harapan untuk mengalak lebih banyak syarikat menjejaki, merancang dan mendedahkan prestasi sekitaran mereka dalam peralihan itu kepada ekonomi hijau.
Mulai tahun depan, Pemerintah juga akan memperkenalkan pertimbangan kemampanan sekitaran secara bertahap-tahap kepada proses penilaian tender, bermula dengan tender pembinaan besar dan tender maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT).
Kedua-dua sektor tersebut membentuk lebih 60 peratus daripada nilai kontrak perolehan pemerintah diberikan.
MEMPERBAIKI KEBERKESANAN TENAGA DALAM PERKILANGAN
Syarikat pengilangan lebih kecil kini boleh mendapat bantuan kewangan bagi memanfaatkan teknologi cekap tenaga di bawah geran pemerintah, tambah Cik Fu.
Dilancarkan pada 2017, Dana Kecekapan Tenaga menyokong firma pengilangan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (SME), dengan kadar pusing ganti jualan tahunan kumpulan sehingga S$500 juta.
Sumber : CNA/HA/SS/ss
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.