Kementerian Kesihatan akan tingkatkan sokongan bagi penjaga warga tua
Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Selasa (23 Okt) bahawa ia sedang menerajui satu semakan semula terhadap cara-cara memberi sokongan lebih baik kepada mereka yang menjaga warga tua.
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Selasa (23 Okt) bahawa ia sedang menerajui satu semakan semula terhadap cara-cara memberi sokongan lebih baik kepada mereka yang menjaga warga tua.
MOH mula mengadakan sesi-sesi perbincangan dengan para penjaga, penyedia khidmat dan pelbagai pihak berkepentingan pada September bagi memahami keperluan mereka. Usaha itu akan diteruskan sehingga Disember.
"Semakan semula itu untuk mengenal pasti peluang-peluang bagi memperkukuhkan khidmat jagaan dalam masyarakat, meningkatkan khidmat sokongan kepada penjaga dan cara untuk memperkasa para penjaga," menurut MOH dalam satu kenyataan media.
Para penjaga semakin memainkan peranan penting sedang penduduk Singapura semakin menua, menurut kementerian.
Ia menekankan bahawa menjelang 2030, satu daripada setiap empat rakyat Singapura akan berusia 65 tahun ke atas. Dengan saiz keluarga semakin kecil, beban yang ditanggung oleh para penjaga akan bertambah.
"Kami ingin memastikan bahawa bantuan sedia ada bagi para penjaga. Bagaimanapun lebih penting lagi, kami mahu golongan warga tua melalui usia senja dengan baik dan untuk melakukan sedemikian, anda mesti mempunyai sistem sokongan penjaga yang kukuh," kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Edwin Tong di luar satu acara mendampingi masyarakat dengan para penjaga.
"Saya rasa ada beberapa kelemahan sekarang. Jadi, kami ingin menyemak semula, kami ingin melihat bagaimana ia boleh diperkukuhkan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.