Skip to main content

Singapura

KembaraUstaz.sg & PERGAS jalin kerjasama baharu, ingin perkasa golongan asatizah di SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para asatizah akan mempunyai lebih banyak peluang untuk cuba menimba pengalaman baharu menerusi satu kerjasama antara KembaraUstaz.sg dengan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS).

Dilancarkan pagi tadi (15 Okt), inisiatif itu akan memberi peluang pekerjaan yang lebih pelbagai kepada golongan asatizah untuk membina kemahiran dalam bidang-bidang yang berbeza.

"Kami menyediakan ruang bukan sahaja buat para asatizah akan tetapi graduan-graduan madrasah untuk cuba mendapatkan pekerjaan bersama kami di KembaraUstaz.sg dan peluang pekerjaan yang disediakan adalah antaranya peluang kerja dalam pentadbiran, eksekutif pelancongan ataupun sampai ke rekaan grafik," Pengarah Eksekutif KembaraUstaz.sg, Fizar Zainal.

Ustaz Fizar juga berkongsi gaji purata yang akan diraih para asatizah boleh mencecah $2,850 bagi peringkat eksekutif manakala bagi peringkat pengurusan pula, mereka boleh mendapat gaji $3,500 ke atas.

Sebagai permulaan, syarikat itu menawarkan khidmat pelancongan yang akan diterajui sepenuhnya oleh para asatizah.

Buat masa ini, mereka sudah menggajikan tiga asatizah bagi pekerjaan pentadbiran dan rekaan kreatif.

"Ia adalah juga untuk kita membantu perkembangan asatizah di Singapura dalam sektor dan industri seperti pelancongan, hospitaliti, perkhidmatan dan sebagainya," tambah Ustaz Fizar.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
PERGAS ALU-ALUKAN KERJASAMA, BINA KEMAHIRAN ASATIZAH

Di bawah usaha sama ini, peluang-peluang pekerjaan KembaraUstaz.sg akan dikongsikan dalam kalangan asatizah menerusi platform PERGAS.

Kerjasama itu disokong sepenuhnya dan amat dialu-alukan oleh PERGAS.

"Saya rasa ini adalah satu langkah ke hadapan di mana para asatizah bergabung tenaga jadi dengan matlamat KembaraUstaz.sg untuk menjalankan kerja perniagaan dan sosial adalah satu yang kami ingin menyokong. Saya rasa untuk pembangunan asatizah kita perlukan lebih banyak asatizah untuk ke hadapan bagi menjayakan projek-projek tersebut," kata CEO PERGAS, Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman.

Dalam pada itu, PERGAS menekankan kepentingan untuk melengkapi para asatizah dengan kemahiran baru seperti perniagaan dan khidmat pelanggan.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
"Para asatizah bukan sahaja memberikan panduan agama, mereka juga berada di barisan hadapan semasa berhadapan dengan isu-isu keagamaan jadi perlu untuk para asatizah memberikan perkhidmatan yang berkualiti melalui pendedahan yang diberikan, melalui program-program kenaikan kemahiran dan juga pengetahuan," kata Ustazah Nurdiana.

Di samping itu, KembaraUstaz.sg juga akan menyalurkan sehingga 10% keuntungannya kepada rakan-rakan CSR mereka termasuk PERGAS.

"Dengan sumbangan ataupun kerjasama yang kita pupuk dengan KembaraUstaz.sg pastinya kami ingin mempelbagaikan lagi program-program untuk memperkasakan asatizah di Singapura," kongsi Ustazah Nurdiana.

Beliau turut menanam harapan agar para asatizah dapat bersatu dan bergabung tenaga demi kemaslahatan masyarakat.

"Para asatizah, mereka datang daripada latar belakang yang sama tetapi selepas mereka ke alam pekerjaan, mereka menembusi sektor yang berbeza jadi bagaimana kita ingingabungkan kemahiran tersebut untuk kebaikan masyarakat," ujarnya.

Tetamu terhormat acara pelancaran itu, Ustaz Pasuni Maulan yang juga merupakan Anggota Masyaikh PERGAS turut meluahkan keterujaannya atas kerjasama ini.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
"Saya fikir satu langkah yang amat positif kerana PERGAS sebagai sebuah pertubuhan yang mewakili para ustazah dan ulama sememangnya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti dari sudut pendidikan para asatizah kita terutama masa kini, menghadapi pelbagai cabaran dan kita juga menghadapi isu-isu baru."

"Dengan kerjasama ini diharapkan PERGAS mampu untuk meningkatkan keupayaan masyarakat dalam menghadapi ragam dunia yang semakin berubah," kata Ustaz Pasuni.

MERANCANG UNTUK KOLABORASI DENGAN IECP LAIN DI SG

Selain PERGAS, KembaraUstaz.sg juga merancang untuk mendekati dan berkolaborasi dengan pusat-pusat pendidikan agama dan khidmat di Singapura untuk menjalankan khidmat pelancongan yang berteraskan pendidikan agama yang bermakna.

"Kami juga di KembaraUstaz.sg merupakan satu agensi yang mempunyai IECP iaitu Penyedia Khidmat Pengajaran Islam, satu kelulusan yang diberikan oleh Majlis Ugama Islam di Singapura," kata Ustaz Fizar.

KembaraUstaz.Sg ditubuhkan pada 22 April 2019 dan sehingga kini sudah menjalankan 22 keberangkatan umrah.

Pada ketika itu, usaha mereka terjejas akibat COVID-19 dan kini aktif semula.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita