Skip to main content

Singapura

Kembali selepas 7 tahun, pesta sukan perkukuh pembangunan menyeluruh pelajar madrasah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Hijau, merah jambu, putih, kuning dan ungu — warna-warna seragam madrasah di Singapura menambah rona dan keceriaan di Stadium Woodlands pada pagi Khamis (2 April), diiringi sorakan yang diselang-seli dengan nyanyian lagu sekolah masing-masing.

Selepas tujuh tahun tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19, sekitar 2,500 pelajar dan tenaga pengajar daripada enam madrasah berhimpun bagi acara Kejohanan Sukan Madrasah (MSG) 2026.

Enam madrasah itu ialah Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah, Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
SUKAN SEBAGAI WADAH PUPUK PEMBANGUNAN SAHSIAH PELAJAR

Acara sukan sebegini penting dan melengkapkan pembelajaran pelajar secara menyeluruh kata tetamu terhormat, Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan Rahayu Mahzam.

“Sukan ini adalah satu wadah yang amat berguna untuk mengajar nilai-nilai yang baik seperti kerja berpasukan, daya tahan dan sebagainya. Ia juga membantu untuk menguatkan jasmani, rohani dan mental mereka," kata Cik Rahayu.

Penerapan nilai-nilai itu adalah sesuatu yang mungkin sukar untuk di dalam dilakukan dalam bilik darjah, tambah beliau.

Sangat mengalu-alukan usaha seperti ini, beliau berharap inisiatif sedemikian wajar diteruskan sebagai peluang untuk melahirkan generasi muda yang lebih seimbang dari segi pembangunan diri.

Beliau turut serta dalam salah satu perlumbaan antara para asatizah madrasah.

Bertemakan “Strength in Faith, Unity in Play”, acara itu turut menonjolkan usaha dalam memperkukuh pembangunan sahsiah serta sosioemosi dalam kalangan pelajar madrasah.
Related article image
(Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
USAHA BERTERUSAN LENGKAPI PENDIDIKAN MADRASAH DI LUAR BILIK DARJAH

Meskipun tidak diadakan secara bersama, setiap madrasah masih tetap meneruskan pesta sukan masing-masing sepanjang tujuh tahun lalu.

“Ini memastikan bahawa para pelajar akan tetap kekal aktif dan mereka dapat meneruskan kegiatan luar darjah mereka,” kata Pengarah Bahagian Pendidikan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Mohamad Khidir Abdul Rahman.\
Related article image
Pengarah Bahagian Pendidikan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Mohamad Khidir Abdul Rahman. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Menurutnya, sukan sebagai sebahagian daripada kokurikulum juga merupakan antara usaha melengkapkan sistem pendidikan madrasah.

“Kami tidak hanya mementingkan bahagian akademik tetapi juga daripada segi kokurikulum ataupun aktiviti kegiatan luar darjah,” tambah Ustaz Khidir.

SOKONG PELAJAR DALAM BIDANG LUAR AKADEMIK

Antara pelajar yang menyertai MSG 2026 ialah Nur Humairah Al-Khatib, 12 tahun, yang aktif dalam sukan seperti bola jaring dan olahraga.

Lebih mengagumkan, di sebalik tubuh fizikalnya yang kecil, pelajar itu turut aktif dalam sukan lasak seperti sukan papan selaju.

Bahkan, Humairah pernah menyertai pertandingan di peringkat serantau bagi sukan itu dan meraih tempat pertama dalam satu kejohanan sekali gus disenarai bagi pemilihan ke Sukan SEA.

Baginya, acara seperti MSG menjadi ruang untuk menyalurkan minat dan kecenderungannya dalam sukan.

"Selain aktif dalam pertandingan papan selaju di luar, MSG memberi saya peluang untuk bersaing secara sihat bersama rakan-rakan dari madrasah lain," ujar Humairah.

MSG pertama kali dianjurkan pada awal tahun 2000-an, dan ketika itu dikenali sebagai Sukan antara Madrasah.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita