Kematian Upper Bukit Timah: Polis bawa bapa ke tempat mayat dua anaknya ditemui
Bapa pasangan adik-beradik lelaki berusia 11 tahun, yang ditemui mati di dalam terusan di Upper Bukit Timah, dibawa polis ke tempat kejadian pada Khamis (27 Jan).
Xavier Yap Jung Houn, bapa kepada dua budak lelaki yang ditemui mati di sebuah terusan, diiringi polis di Greenridge Crescent di Upper Bukit Timah pada 27 Jan 2022. (Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)
SINGAPURA: Bapa pasangan adik-beradik lelaki berusia 11 tahun, yang ditemui mati di dalam terusan di Upper Bukit Timah, dibawa polis ke tempat kejadian pada Khamis (27 Jan).
Xavier Yap Jung Houn, 48 tahun, didakwa pada Isnin (24 Jan) atas tuduhan membunuh seorang anak lelakinya, Ethan Yap E Chern. Seorang lagi anak lelakinya dikenal pasti sebagai Aston Yap.
Yap tiba di tempat kejadian jenayah pada pukul 3.10 petang Khamis dalam sebuah van hitam. Dia memakai kemeja merah dan berseluar pendek berwarna gelap, digari serta diapit lima pegawai polis.
Dia kemudian dibawa ke taman yang sebelum ini dikepung oleh polis. Para pegawai polis kemudian membawanya turun tangga menuju ke terusan berdekatan.
Dua pegawai polis juga dilihat meletakkan pelekat tanda anak panah di sekitar taman - satu berhampiran taman permainan dan satu lagi di tangga menghala ke terusan tersebut. Mereka juga meletakkan satu pelekat di laluan pejalan kaki berdekatan tangga yang menuju ke terusan itu.
Mayat kedua-dua budak lelaki itu ditemui di dalam terusan tersebut yang terletak berhampiran sebuah taman permainan di Greenridge Crescent, antara jam 4.23 petang dengan 6.25 petang, pada Jumaat lalu. Yap diberkas sehari kemudian.
Kematian adik-beradik itu mencetuskan rasa duka dan simpati dan dalam kalangan masyarakat. Sesetengah anggota masyarakat meninggalkan jambangan bunga di sepanjang terusan tersebut pada Ahad lalu.
Satu sesi berdoa silang agama, dihadiri wakil dari enam pertubuhan agama, juga diadakan berhampiran terusan tersebut pada pagi Ahad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.