Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kematian siswa NUS terjatuh dari asrama kemalangan tragik, kata Koroner

Kematian seorang mahasiswa asing, 18 tahun di Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah satu kemalangan tragik, kata Koroner Negara Kamala Ponnampalam hari ini (2 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian siswa NUS terjatuh dari asrama kemalangan tragik, kata Koroner

Gambar fail.

Diterbitkan : 02 May 2018 11:19PM Dikemas Kini : 02 May 2018 11:25PM

SINGAPURA: Kematian seorang mahasiswa asing, 18 tahun di Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah satu kemalangan tragik, kata Koroner Negara Kamala Ponnampalam hari ini (2 Mei).

Hasil penemuan itu didedahkan menyusuli siasatan berhubung kematian mahasiswa dari Korea Selatan Jung Haelin, yang terjatuh dari tingkat tujuh Sheares Hall, salah sebuah asrama universiti tersebut.

Kejadian itu berlaku pada 28 Oktober 2017. Cik Jung, mahasiswa tahun pertama di NUS, terjatuh ketika cuba memanjat masuk ke biliknya selepas pintu terkunci. Beliau tertinggal kad matrikulasi yang juga merupakan kuncinya, dalam bilik itu.

Dalam menyampaikan hasil siasatan, Hakim Daerah Kamala menarik perhatian bahawa NUS sudahpun menjalankan semakan dan membuat perubahan untuk mencegah berlakunya insiden serupa.

Sebelum ini, pintu bilik asrama akan terkunci secara automatik sebaik saja ia ditutup tetapi sekarang ini, ia hanya boleh dikunci oleh penghuni bilik itu sendiri.

Rakaman kamera di koridor Sheares Hall menunjukkan Cik Jung cuba mengetuk pintu jiran-jirannya tetapi tiada orang yang menjawab.

Beliau kemudian dilihat berulang alik dua kali di pantri sebelum ditemui sudah terjatuh. Sekitar 11.30 pagi, seorang mahasiswa menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) selepas menemui Cik Jung terbaring di kaki bangunan dan susah bernafas.

Jantung Cik Jung berhenti berdegup semasa di ambulans, dalam perjalanan ke Hospital Universiti Nasional dan beliau kemudian meninggal dunia.

Satu laporan bedah siasat mendedahkan bahawa Cik Jung mengalami beberapa kecederaan disebabkan terjatuh dari tempat yang tinggi. Hakim Daerah Kamala mendapati tiada unsur khianat dalam kematiannya.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan