Kematian pelajar SJII disiasat sebagai ‘kes cuai’: Polis Maldives
Kematian seorang pelajar berusia 15 tahun semasa lawatan sekolah ke luar negara di Maldives lebih lapan bulan lalu kini disiasat sebagai "kes kematian akibat kecuaian", menurut polis Maldives pada Selasa (22 Jul).
Jenna Chan, 15 tahun, di lapangan terbang sebelum melakukan lawatan ke Maldives pada November 2024. (Gambar: Jennifer Liauw)
Keluarga Jenna Chan dimaklumkan mengenai proses siasatan tersebut menerusi kiriman emel, tetapi tiada dokumen rasmi berhubung siasatan itu dikongsi bersama keluarga mendiang, menurut polis dalam kiriman emel semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.
Jenna, seorang pelajar St Joseph's Institution International (SJII) maut semasa ekspedisi Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan pada 8 November lalu.
Menurut wadah berita Maldives, The Edition, pelajar itu terkena bilah bot yang sedang berundur ketika mangsa sedang melakukan kegiatan snorkel berhampiran Pulau Dhigurah di Alifu Dhaalu Atoll.
Ibu bapa remaja itu memberitahu Mediacorp pada minggu lalu bahawa mereka tidak menerima sebarang perkembangan daripada pihak berkuasa Maldives mahupun SJII.
Namun, pihak sekolah menyatakan mereka sudah berusaha sedaya upaya untuk mengumpul maklumat penuh tentang apa yang berlaku.
CEO SJII Michael Johnston berkata pihak sekolah juga tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak berkuasa Maldives berhubung siasatan mereka, walaupun selepas berulang kali meminta maklumat.
Polis Maldives menyatakan pada Selasa (22 Jul) bahawa keluarga itu "membuat permohonan secara tidak rasmi untuk bertemu dan menyoal individu tertentu berhubung kes tersebut".
"Di bawah undang-undang Maldives, interaksi sedemikian menerusi pihak polis tidak dibenarkan, dan justeru, tiada aturan dibuat berhubung permintaan tersebut," menurut polis.
SOP DISIASAT
Dalam responsnya, polis mengesahkan satu laporan awal yang disediakan oleh Program Penyelidikan Jerung Paus Maldives (MWSRP) - iaitu penyedia luar yang menjalankan lawatan itu - sudah diterima dan disertakan dalam siasatan.
Dr Johnston berkata pihak sekolah tidak mempunyai akses kepada bukti dari kru bot Maldives atau kakitangan dari MWSRP, yang bermakna SJII masih tidak mempunyai gambaran penuh mengenai kejadian itu.
Polis berkata pihaknya sedang meneliti prosedur operasi standard berhubung kejadian itu, serta dokumen-dokumen dari institusi-institusi yang lain.
"Sebaik sahaja lengkap kelak, maklumat lanjut akan didedahkan," dedah pihak polis.
Sejak siasatan dijalankan, sebarang perkembangan baharu dikongsi dan dibincangkan bersama Pejabat Pendakwa Raya untuk memastikan, jika sebarang pihak didapati bersikap cuai, tindakan undang-undang yang sewajarnya akan diambil selepas kes tersebut selesai."
Polis juga menyatakan di peringkat ini, ia tidak dapat mendedahkan butiran mengenai pengendali lawatan yang terlibat.
"Khidmat Polis Maldives kini sedang mengesahkan kesahihan dan peranan pihak-pihak yang bertanggungjawab menganjurkan program itu di Maldives. Maklumat relevan masih dikumpul," tambah pihak polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.