Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kematian pekerja akibat jatuh dari tempat tinggi merosot 66%

Jumlah kematian akibat kemalangan jatuh dari tempat tinggi merosot dengan ketara sepanjang 10 tahun lalu. Namun ia tetap merupakan salah satu punca utama kecederaan di tempat kerja, menurut Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohammad pada Khamis (14 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Nov 2019 06:01PM Dikemas Kini : 15 Nov 2019 12:42AM

SINGAPURA: Jumlah kematian akibat kemalangan jatuh dari tempat tinggi merosot dengan ketara sepanjang 10 tahun lalu. Namun ia tetap merupakan salah satu punca utama kecederaan di tempat kerja, menurut Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohammad pada Khamis (14 Nov).

Bagaimanapun, Encik Zaqy yang juga merupakan Menteri Negara Pembangunan Negara berkata beliau yakin Singapura boleh mencapai sasaran Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja dalam mengurangkan dan mengekalkan kadar kematian kepada satu daripada setiap 100,000 pekerja menjelang 2028.

Bercakap di acara tahunan Simposium Kerja di Tempat Tinggi, Encik Zaqy berkata pada 2009, terdapat 24 kematian melibatkan jatuh dari tempat tinggi.

"10 tahun berlalu, menerusi usaha bersama kesemua pihak berkepentingan, kita dengan ketara mengurangkan jumlah (kes) jatuh dari tempat tinggi kepada lapan pada 2018," tambah beliau. Bermakna, kemerosotan sebanyak 66 peratus.

Berucap di hadapan sekitar 500 hadirin termasuk rakan kerja industri dari sektor binaan, pengilangan dan marin, Encik Zaqy menekankan para pemain industri mesti terus "mengekalkan momentum dalam mengelakkan kes jatuh" supaya sasaran sifar kemalangan jatuh dapat dicapai.

"Tahun ini setakat ini, kita mencatat empat kes kematian melibatkan jatuh dari tempat tinggi," dedah beliau dalam ucapan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur. "Semuanya boleh dielakkan jika langkah kawalan secukupnya dilaksanakan."

Beliau menambah, industri-industri yang menghadapi risiko paling tinggi bahaya sedemikian adalah industri binaan, diikuti oleh marin dan pengilangan.

Dalam kalangan empat kemalangan yang berlaku tahun ini, dua adalah dari sektor binaan, satu dari pengilangan dan satu lagi diklasifikasi sebagai "lain-lain", yang merangkumi sektor-sektor makanan dan minuman (F&B) serta hiburan.

Mediacorp difahamkan kemalangan di Novena pada 4 Nov, di mana seorang pekerja maut apabila kren tumbang di sebuah tapak binaan di Jalan Tan Tock Seng, tidak dikategorikan sebagai insiden jatuh dari tempat tinggi.

"Untuk membantu syarikat-syarikat menangani risiko yang dikaitkan dengan kerja di tempat-tempat tinggi, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menjalankan operasi penguatkuasaan pada September tahun ini," kata Encik Zaqy

Beliau berkata sekitar 300 pemeriksaan dijalankan yang menyasarkan sekitar 250 syarikat dalam "industri berisiko tinggi".

Sebanyak 548 langkah penguatkuasaan diambil, termasuk empat arahan berhenti kerja dan 80 denda yang bernilai S$91,000.

"Kesalahan utama" menurut Encik Zaqy adalah kegagalan menghadang sudut-sudut terbuka, tidak menyediakan laluan selamat untuk keluar masuk dan gagal memastikan penghadang sewajarnya disiapkan pada pelantar kerja di atas perancah.

"Dapatan ini menunjukkan lebih banyak perlu diusahakan bagi menangani isu berterusan ini," tambah beliau.

Encik Zaqy menambah MOM akan "mengekalkan momentum" operasi penguatkuasaan dengan satu lagi pusingan pemeriksaan disasarkan akan dijadual pada Februari depan.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan